kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Nasib, ketentuan politik , Formula selesai kemelut Kedah

Formula Selesai Kemelut Kedah

APABILA berakhirnya pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan kepemimpinan UMNO Kedah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kelmarin, penulis menerima pelbagai mesej. Ada yang menceritakan apa yang berlaku dan ada pula yang berunsur "maki hamun".

Bagi kelompok yang berfikiran cetek dan taksub dengan politik kebencian, mereka menganggap pertemuan itu gagal kerana Najib tidak membuat sebarang pengumuman mengenai kedudukan Datuk Seri Muhkriz Tun Mahathir sebagai Menteri Besar (MB) Kedah.



Mukhriz Mahathir

Kepada mereka, pertemuan itu dianggap berjaya kalau Najib membuat kenyataan menerima desakan dan permintaan pemimpin-pemimpin UMNO Kedah yang diketuai oleh Timbalan Pengerusi Perhubungannya, Datuk Ahmad Bashah Md.Hanipah supaya Mukhriz disingkirkan.

Sedangkan pertemuan itu diadakan bagi membolehkan Najib yang juga Presiden UMNO mendengar sendiri daripada pemimpin-pemimpin UMNO Kedah apa yang berlaku bagi membolehkan beliau membuat keputusan sebaik-baiknya demi UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri itu.

Membuat keputusan yang sebegitu penting tidaklah semudah tindakan "konco-konco" mana-mana ahli politik di negeri tersebut menghantar mesej memaki hamun sesiapa yang mereka tidak suka. Ini soal masa depan UMNO di Kedah dan melibatkan kedudukan MB.

Sudah pastilah Najib seperti mana kata seorang pemimpin yang turut hadir dalam pertemuan tersebut, Perdana Menteri minta diberi masa bagi membolehkan beliau mengkaji segala aspek sebelum membuat keputusan termasuklah kesan kepada kedudukan UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sepanjang berada di Kedah sejak kelmarin, penulis akui proses untuk menggantikan Mukhriz bukanlah mudah.

Kemelut boleh diselesaikan jika semua pihak yang bertelagah mengamalkan keikhlasan, kepatuhan dan kesetiaan


Ahmad Bashah

Selain anak kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, beliau juga dianggap ikon anak muda di Kedah dan menyatukan rakyat Kedah. Oleh itu apa juga keputusan atau tindakan yang hendak dibuat mestilah dilaksanakan secara hati-hati.

Bagaimanapun kemelut politik di negeri Jelapang Padi itu bukanlah terlalu sukar untuk diselesaikan, tambahan pula ini bukanlah kali pertama Kedah menempuh situasi ini.

Sejak 1985 lagi pelbagai kontroversi melanda kerusi MB Kedah sehingga memaksa penyandangnya mengundurkan diri.

Datuk Seri Syed Nahar Tun Syed Sheh Shahabudin, Tan Sri Osman Aroff, Tan Sri Sanusi Junid, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain Barakhbah, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Tan Sri Azizan Abdul Razak, merupakan pemimpin-pemimpin yang telah merasai "kehangatan" kerusi MB Kedah.

Tetapi perlu difahami situasi politik di sesebuah negeri itu menjadi panas atau sejuk, segala-galanya bergantung kepada pemimpin-pemimpin dan penyokong mereka. Kelompok inilah yang mampu mengawal keadaan supaya ia tidak sampai memudaratkan parti dari segi sokongan rakyat.

Kemelut tidak boleh diselesaikan melalui mesej-mesej yang memaki hamun seseorang, kemelut tidak mampu ditamatkan akibat ketaksuban kepada seseorang dan sudah pasti kemelut tidak mampu diredakan jika kepentingan parti tidak menjadi keutamaan.

Begitulah juga situasi di Kedah, segala yang berlaku hanya boleh diselesaikan jika semua pihak yang bertelagah mengamalkan keikhlasan, kepatuhan dan kesetiaan.

Ikhlas untuk menyelesaikan masalah, patuh kepada keputusan pucuk pimpinan dan setia kepada parti biarpun apa yang berlaku.

Atas sebab itulah Najib tidak membuat keputusan terburu-buru untuk menerima desakan, permohonan dan hasrat hati UMNO Kedah yang mahukan Mukhriz digantikan.

Perdana Menteri mahu melaksanakan pendekatan ibarat "menarik rambut dalam tepung" supaya ia tidak memberi kesan buruk kepada UMNO negeri itu apabila keputusan dibuat.

"Dalam konteks ini, demi kebaikan Kedah dan menutup ruang kerosakan politik daripada berterusan, maka hormati hak Presiden yang akan menjadi hakim untuk membuat keputusan terbaik.

Oleh itu tidak perlulah ada rapat umum dan pelbagai sesi seolah-olah kempen dalam parti, serta membawa rakyat ke kancah dilema kuasa,’’ kata Pensyarah Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa di Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS) Universiti Utara Malaysia (UUM), Md. Shukri Shuib kepada penulis ketika dihubungi.

Perlekeh
Bagi membolehkan Najib membuat keputusan terbaik, maka keikhlasan, kepatuhan dan kesetiaan pemimpin UMNO Kedah amat diperlukan. Jika benar berjuang untuk parti, maka mereka mesti ikhlas mahu menyelesaikan masalah yang berlaku secara tenang dan damai.

Janganlah tindakan dilakukan semata-mata kepentingan politik sama ada dalam soal mahu menggantikan atau mempertahankan kedudukan MB.

Apabila keputusan dibuat, semua pihak mesti patuh. Janganlah berlaku seperti sekarang, apabila sudah ada pemimpin yang merasakan dia paling layak menggantikan Mukhriz sehingga sanggup memperlekehkan pemimpin lain yang sebelum ini bersama-samanya membuat desakan mahu Mukhriz "diturunkan".

Kalau benar semua yang terlibat tidak hipokrit, maka mereka perlu menunjukkan kesetiaan yang tinggi apabila pucuk pimpinan membuat keputusan. Kesetiaan bukanlah membabi buta kepada mana-mana pemimpin tetapi setia kepada parti bagi memastikan UMNO tidak porak peranda dan BN tidak rosak.

Ketika ini secara jujur penulis melihat ketiga-tiga sikap itu terlalu nipis dalam kalangan pemimpin UMNO terlibat. Masing-masing mahu menegakkan pendirian dan kehendak sendiri. Sepatutnya yang menjadi pertimbangan utama ialah kepentingan parti dan kemahuan rakyat.

Kalau mahu mengikut "nafsu politik" mereka, sampai bila pun kemelut di Kedah tidak akan dapat diselesaikan. Oleh itu mereka perlu menyerahkan kepada Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO untuk membuat keputusan.

Sama ada suka atau tidak seperti mana ditegaskan oleh Md. Shukri, "Keutamaan harus diletakkan pada Presiden dalam memilih mana-mana pemimpin UMNO untuk menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri seterusnya pelantikan MB dalam kalangan wakil rakyat UMNO, itu adalah hak mutlak Presiden UMNO selaku Pengerusi BN".

Kenyataan itu menunjukkan bahawa apa pun keputusan sama ada menggantikan atau tidak Mukhriz sebagai MB Kedah, ia terpulang kepada Najib untuk menentukannya. Beliau sudah pasti akan membuat pertimbangan semasak-masaknya termasuklah soal sentimen dalam kalangan orang Kedah.

Tidak boleh dinafikan orang Kedah tengah marah, orang Kedah bak kata seorang kawan, "dah jadi tak tentu hala dah" berikutan apa yang berlaku, malah sudah ada gerakan melalui aplikasi Whatsapp dan Facebook untuk menyeru anak Kedah supaya tidak lagi mengundi UMNO dan BN dalam PRU-14.

Tetapi sama ada kemarahan itu dapat diredakan, "keadaan tak tentu hala" tersebut dapat dipulihkan segala-galanya bergantung kepada pemimpin-pemimpin UMNO Kedah. Mereka yang boleh mengawal penyokong-penyokong sendiri tidak kira apa pun keputusan pucuk pimpinan parti.

"Pertarungan" politik di Kedah bukan soal kedudukan seorang MB atau siapa yang akan menjadi pengganti tetapi soal survival politik UMNO dan BN. Apabila UMNO tumbang di Kedah pada 2008, ia sudah menjadi isyarat bahawa Kedah sama tarafnya dengan Terengganu dan Kelantan.

Pemimpin-pemimpin suka bertelagah sesama sendiri, lupa daratan bila dapat jawatan, mengamuk bila tidak dapat jawatan, soal berjuang untuk parti dan meletakkan kepentingan parti di hadapan hanyalah retorik.

UMNO Kedah tidak boleh berada dalam "satu kelab" dengan situasi di Terengganu dan Kelantan. Oleh itu pucuk pimpinan parti perlu membuat keputusan sebaik-baiknya manakala kesemua yang terlibat perlu ikhlas, patuh dan setia dalam menamatkan konflik.

Bagi meredakan keadaan adalah wajar jika mana-mana pemimpin tidak menunjukkan kekuatan masing-masing dengan menghimpunkan penyokong di sana sini.

Kalau setakat 30 orang datang kemudiannya menjerit di pinggir jalan akan mempertahankan seseorang pemimpin itu habis-habisan, ia hanya memalukan UMNO sahaja.

Masalah dalaman UMNO biarlah diselesaikan secara musyawarah dan kematangan bukanlah mengikut kehendak politik mana-mana pihak. Jangan mengamalkan sikap merasakan "aku paling layak menjadi MB" sehinggakan sanggup menghina pemimpin lain atau berpendapat, "jika seseorang pemimpin itu tidak ada UMNO akan kalah".

Kalau masing-masing merasakan layak dan mendapat sokongan rakyat, sudah pasti, ia menyukarkan pucuk pimpinan membuat keputusan.

Oleh sebab kemelut ini diserahkan kepada Najib, berilah kepercayaan kepada Perdana Menteri untuk menyelesaikannya.

Apa yang penting, jangan ada dalam kalangan pemimpin UMNO mahu menjadi pengkhianat kepada parti sendiri sehingga sanggup "mengorbankan" parti kerana kemahuan politik mereka tidak tercapai.

Bak kata seorang veteran UMNO Kedah kepada penulis, "Dalam bab politik ni, orang Kedah pelik sikit.’’ – Apakah maksudnya? Tunggulah apabila keputusan dibuat oleh Najib. Yang penting, kalau ada sikap ikhlas, patuh dan setia diamalkan, tiada apa yang perlu dikhuatirkan.


Nasib, ketentuan politik
BAGAIMANA seorang Menteri Besar mengharapkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Exco menyokong beliau dalam politik peringkat negeri, begitu jugalah seorang Perdana Menteri inginkan sokongan dan kesetiaan daripada semua pihak.

Yakni, dari menteri-menteri, pegawai-pegawai dan termasuk orang-orang yang menerima bantuan daripada beliau.

Seringkali beliau menyatakan seorang menteri tidak perlu taat kepada beliau, tetapi mesti taat kepada parti dan kerajaan memerintah. Memang benar, tetapi pada hakikatnya beliau memerhati menteri-menteri yang taat pada beliau - dilihat melalui percakapan atau rujukan-rujukan tertentu.

Banyak perkara yang dapat dipelajari melalui ‘suara-suara garau’ kerajaan dan parti, menerusinya Perdana Menteri mendapat maklumat-maklumatnya melalui pelbagai sumber.

Seseorang itu, dalam mana-mana senario di setiap negara, yang paling utama mesti disukai oleh Perdana Menteri untuk menjadi salah seorang menteri atau menteri besar. Jika pendirian politik anda mengenai isu-isu tertentu tidak disukainya, kemungkinan anda untuk dipilih amat tipis.

Dalam kes senario negeri, Menteri Besar memainkan peranan penting dalam mencorakkan masa depan politik seorang ADUN. Tidak ada faedahnya jika seseorang itu `bermegah’ dengan keupayaan dan bakat istimewanya sahaja.

Mungkin di sinilah letaknya kebenaran. Orang yang melantik dan menyingkir selalunya adalah orang yang berkuasa. Orang yang berkuasa adalah orang yang anda berkhidmat kepadanya. Adalah suatu kelemahan jika seorang ahli politik terlepas pandang perkara ini.

Orang awam akan tahu pemimpin mana kaki ampu atau bodek dan yang mana benar-benar berfikir. Ini juga bermakna seorang ahli politik tidak boleh kelihatan terlalu pandai sehingga ketua yang beliau berkhidmat dilihat kurang bijak.

Mesti ada sedikit sifat Machiavelli di sini, tetapi orang yang tidak mempunyai persepsi klasik Itali ini tidak akan bertahan lama dalam politik.

Jangan dilupai, bahawa nasib dan ketentuan masa adalah penting. Terdapat banyak personaliti pada masa lalu mempunyai peluang dan keupayaan untuk menjadi pemimpin muktamad. Tetapi disebabkan nasib tidak menyebelahi mereka, terpaksa berhenti pada satu tahap dalam kerjaya politik mereka dan akhirnya tergolong dalam kumpulan yang biasa.

Anda mungkin bijak tetapi nasib yang diperlukan dan rezeki yang mendatang, cita-cita akan hancur begitu sahaja. Allahyarham Tun Ghazali Shafie atau King Ghaz seperti mana beliau dikenali dalam kalangan rakan-rakan, melonjak daripada peringkat bawah perkhidmatan awam dan diplomatik.

Beliau dikagumi dan dihormati sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Luar. Kemudian, beliau terus meningkat apabila dilantik oleh Tun Abdul Razak sebagai menteri luar yang ranggi dan pada akhir tahun 70-an, sebagai Menteri Dalam Negeri yang sangat digeruni dalam kerajaan Datuk Hussein Onn (1976-1981). Beliau mempunyai daya pemikiran, kebijaksanaan dan mendapat perhatian dari kedua-dua, Tun Abdul Razak dan Hussein.

Hussein pernah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau sebagai Perdana Menteri sebenarnya bukanlah orang yang pandai atau yang terbaik untuk jawatan itu. Ia cuma kerana, seperti mana beliau berfalsafah, nasib beliau yang baik kerana berada di tempat dan pada waktu yang sesuai.

Beliau tidak menyembunyikan pilihan beliau terhadap King Ghaz sebagai Menteri Dalam Negeri yang boleh pergi lebih tinggi dalam hierarki parti dan kerajaan. Malahan pada tahun 70-an, merupakan zaman kecemerlangan Ghaz.

Apabila Hussein menggantikan Tun Abdul Razak pada 1976, Ghaz ialah orang yang paling hangat diperkatakan. Tetapi beliau bukan Naib Presiden UMNO. Oleh yang demikian, beliau tidak mendapat jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri. Sebaliknya yang dapat menjadi nombor dua adalah Dr. Mahathir Mohamad, salah seorang daripada tiga Naib Presiden UMNO pada 1976. Dan beliau bukanlah orang yang mendapat undian paling tinggi dalam kalangan Naib Presiden itu. Dalam kes Tengku Razaleigh Hamzah dan Musa Hitam, entah bagaimana mereka terhenti di landasan dalam perjalanan mereka mendaki tangga kemuncak politik.

Seseorang perlu menjadi orang penting dan memperoleh sokongan kuat dalam parti jika ingin menerajui kerajaan dan kerajaan negeri. Tetapi jika ia hanya satu perkara untuk menjalankan tugas dengan baik, di peringkat also ran, maka tiada apa yang perlu dibimbangkan. Di sinilah, ‘nasib politik’ memainkan peranan yang penting. - Zulkifli Jalil Utusan Malaysia Rencana 23 Januari 2016 6:15 PM

Tags: politik
Subscribe

Posts from This Journal “politik” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments