kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Waspada viral yang mengundang fitnah

Media sosial adalah medium paling berpengaruh dalam menyebarkan maklumat. Adakalanya mak­lumat dikongsi sama ada dalam bentuk video, berita atau imej mendapat perhatian ramai sehingga menjadi viral.

Maklumat yang menjadi viral boleh jadi betul atau palsu. Jika perkara yang baik diviralkan pastinya kita akan mendapat manfaat dan pahala berterusan sampai akhirat namun jika perkara itu tidak tepat boleh sahaja mengundang fitnah dan dosa sehingga akhirat. Lebih buruk jika tidak diurus dan dipantau dengan baik mampu mendatangkan suasana bahaya.

Segelintir individu yang gemar menyebarkan maklumat, berita, cerita dan video-video yang tidak baik, malah apa sahaja yang dilihatnya di media sosial pantas sahaja jari-jemarinya  menekan butang share tanpa usul periksa. Kadang-kadang perkara yang dikongsi itu tidak langsung ada kena-mengena dengannya.  Apabila diviralkan benda tidak elok sebegini secara tidak sedar kita telah menunjukkan keburukan akhlak kita.

Hasilnya bukan sahaja maklumat  diviralkan itu me­ngundang dosa dan fitnah malah bagi yang gagal mengawal emosi mendorong reaksi caci-maki dan tokok-tambah cerita. Hari ini dosa dan fitnah boleh beranak-pinak de­ngan cepat.

Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang begitu pesat sememangnya telah membuka peluang amat besar kepada individu tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan berita palsu. Golongan ini sentiasa menanti peluang dan ruang untuk mencapai keinginan mereka. Mereka akan merasa puas apabila sesuatu berita itu yang tidak benar tersebar.

 Dengan adanya telefon pintar dan tablet memudahkan lagi perkongsian  sesuatu maklumat tersebar dengan cepat menerusi grup WhatsApp, Telegram dan WeChat yang diwujudkan.  Bayangkan jika satu-satu grup itu terdiri daripada 100 ahli, berapa ramai akan mendapat berita palsu atau imej-imej memalukan individu tertentu jika dikongsi pula dengan grup-grup lain?

Rasulullah SAW pernah mengingatkan bahawa “Sesiapa yang menutup aib seorang Muslim, Allah pasti menutup aibnya di dunia dan akhirat.” Apakah tawaran itu tidak lumayan buat kita?

Sewajarnya sebagai seorang Muslim kita harus menggunakan kemajuan teknologi komunikasi ini sebagai medan untuk berdakwah secara berhikmah. Meskipun media sosial ini dianggap khazanah yang menyajikan beraneka jenis maklumat, namun ada maklumat yang perlu diproses dan ditapis terlebih dahulu.

Dalam menentukan keutamaan maklumat ini telah dijelaskan oleh al-Quran melalui firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (Al-Hujurat: 6).

Ayat tersebut menuntut agar kita menyelidik terlebih dahulu sumber maklumat sesuatu berita bagi menentukan kebenarannya.  Memang benar, kita boleh membaca dan mendengar semua berita tetapi tidak semua cerita atau berita itu kita boleh kongsikan. Kita perlu menapis terlebih dahulu apa yang kita dengar dan lihat serta berfikir sebelum berkongsi dengan rakan-rakan lain di laman sosial.  Manakala sebarang maklumat yang menyeleweng serta bahan-bahan paparan yang memberi kesan negatif kepada fikiran perlu dihindarkan.

Dalam menangani hal ini kita mengharapkan agar masyarakat khasnya pengikut laman sosial sewajarnya lebih rasional apabila berhadapan dengan beberapa isu dan maklumat yang belum tentu kesahihannya. Kita  perlu sentiasa diingatkan supaya sebelum berkongsi apa jua maklumat dengan rakan-rakan kita perlu tahu bahawa sumber tersebut diyakini kebenaran dan kesahihannya terlebih dahulu. Di sinilah peranan kita untuk terlebih dahulu merujuk sumber yang di­nyatakan atau tunggu ke­nyataan rasmi sebelum me­nyebarkan sesuatu per­kara.

 Selain itu, ilmu agama yang dimiliki  turut memainkan peranan penting yang boleh bertindak selaku sistem penapis dalam membentuk minda yang sihat dan sejahtera.  De­ngan adanya ilmu agama kita bukan sekadar menjadi pengguna dan pengikut media sosial yang biasa-biasa sahaja bahkan mampu untuk berjihad.

Berjihadlah dengan penuh berhikmah dengan menyaring terlebih dahulu segala maklumat; tidak semua maklumat boleh diterima bulat-bulat dan terus disebarkan.
Kita juga perlu ingat anggota kita ini akan menjadi saksi semasa di akhirat. Dalam al-Quran Allah turut berfirman yang bermaksud: “Pada hari ini kami tutup mulut mereka; tangan mereka yang akan berkata kepada kami dan kaki mereka akan menjadi saksi terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan.” (Surah Yassin: 65).

Oleh yang demikian, sama-samalah kita menjaga anggota kita ini untuk memulakan perkara yang baik. Janganlah kita menjadikan alam maya terutama media sosial sebagai wakaf dosa. Sentiasalah berwaspada dengan perkara yang ingin dikongsikan agar perkara yang diviralkan itu tidak mengundang fitnah dan dosa yang berpanjangan. - Nor Hartini Saari Utsan Malaysia Rencana 25 Januari 2016 6:02 PM

Tags: fitnah, ict, media, sosial
Subscribe

Posts from This Journal “media” Tag

  • Hampir semua berita berbaur politik

    Kita terlampau berpolitik, setuju? oleh Merrepak 24 Mac 2019 adalah dipersetujui. Setiap hari tentunya kita akan membaca dan memperolehi berita…

  • Print media still has a role

    Avoid straining your eye and outlook and ‘never say die’ is maybe what I understand of the writing by the NST group editor, Rashid Yusof…

  • Media cetak masih relevan

    Elakkan dari menyakitkan mata dan pandangan anda dan 'jangan mengalah' mungkin apa yang saya faham tentang penulisan oleh editor kumpulan…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments