kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Syor mansuh elaun pelajar IPG

SAUDARA PENGARANG,

SUASANA kegawatan ekonomi negara mutakhir ini cukup dirasai lebih-lebih lagi dengan harga minyak dunia yang semakin menurun. Hal ini menyebabkan peruntukan bajet negara untuk sesetengah kementerian terpaksa dikurangkan.

Antaranya membabitkan Institut Pendidikan Guru (IPG) sehingga ada sesetengah kampus IPG yang terpaksa memotong peruntukan untuk surat khabar dan majalah serta buku di perpustakaan. Keadaan ini boleh menjejaskan mutu keilmuan dan perolehan maklumat bakal guru.

Maka untuk membantu mengatasi masalah kekurangan peruntukan di IPG, bertepatan pula dengan masa pengubahsuaian bajet 2016, eloklah direalisasikan beberapa cadangan antaranya pemansuhan pemberian elaun kepada penuntut IPG.

Sebaliknya, untuk menampung kos pengajian, mereka bolehlah memohon pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagaimana pelajar universiti yang lain.

Cadangan ini dilihat baik untuk pelajar dan kepada IPG sendiri, kerana peruntukan itu boleh disalurkan kepada perkara yang lebih memerlukan se-perti pembelian bahan-bahan bacaan di perpustakaan.

Pemansuhan elaun itu juga bertujuan memberikan keadilan kepada semua pelajar peringkat ijazah sarjana pertama termasuk di peringkat diploma. Selama ini mereka yang belajar di universiti awam atau universiti swasta tidak mendapat sebarang elaun atau bantuan daripada pihak kerajaan seperti mana yang diterima oleh pelajar IPG.

Baru-baru ini timbul isu kekangan kewangan dalam kalangan pelajar universiti awam disebabkan kos hidup yang semakin meningkat tetapi rakan-rakan mereka di IPG tidak terkesan dengan masalah tersebut.

Walhal pelajar universiti awam juga adalah rakyat negara ini. Ibu bapa sebahagian besar mereka juga adalah pembayar cukai kepada negara dan mereka juga akhirnya akan menyumbang kepada pembangunan negara sama seperti pelajar-pelajar IPG.

Di samping itu, pemansuhan elaun itu dijangka dapat memberikan suntikan motivasi dan semangat bersaing yang lebih kepada pelajar-pelajar IPG dalam usaha meningkatkan mutu akademik mereka, sekali gus boleh mendapatkan pengurangan bayaran pinjaman PTPTN atau Mara sebagaimana pelajar-pelajar di universiti awam.

Namun, sebagai alternatif terbaik kepada cadangan pemansuhan elaun itu, pihak kerajaan disyor memberikan bantuan elaun atau biasiswa kepada semua pelajar peringkat ijazah pertama dan diploma di semua institusi pengajian (tidak kira di universiti awam atau IPG) dalam kadar yang sama.

Tentunya ini adalah suatu yang lebih adil kepada semua di samping menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam menangani isu yang dihadapi oleh golongan pelajar semasa memenuhi ke-perluan dunia akademik mereka. Bagaimanapun, hal ini pastinya bergantung kepada kemampuan kewangan negara jua. - Rakyat Prihatin 1Malaysia Perak Utusan Malaysia Rencana Pengarang 26 Januari 2016 12:53 AM

Tags: elaun, ipg
Subscribe

Posts from This Journal “ipg” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments