kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Masalah ekonomi: Beri alasan wajar

SELASA lalu, masa makan tengah hari di sebuah restoran makanan Cina ala-Pulau Pinang di sebuah kompleks beli-belah di ibu negara, taukenya sembang dengan Kunta Kinte.

Dia cam Kunta Kinte sebab kerap makan di kedainya, tapi daripada air mukanya dia tak tahu siapa Kunta Kinte. Jadi perbualan kita bebas dan tak terbatas.

Kadang-kadang bila orang tahu kita wartawan atau penulis, mereka tak berapa terbuka atau selesa pasal takut apa mereka kata masuk surat khabar.

Dia kata, semua kedai dan jenis perniagaan di kompleks itu sedang alami kejatuhan bilangan pelanggan dan jumlah penjualan. Pembeli kurang belanja.

Kunta Kinte kata, perniagaan yang tahan kemelesetan adalah kedai makan sebab macam mana susah pun orang akan makan.

Dia kata betul, tapi bilangan yang makan di restoran makin kurang, manakala yang masih datang, tak makan banyak macam dulu lagi.

Boleh jadi jugalah tambah ramai orang makan di rumah, bawa bekal atau makan di tempat lebih murah macam kedai kopi biasa, warung dan gerai tepi jalan.


Sebelum itu Kunta Kinte dengar cerita seorang kawan yang berniaga barang emas. Kisahnya lebih kurang sama. Pelanggan kurang dan jumlah yang mereka belanja lebih kecil.

Dia kata, penjualan jatuh teruk sejak Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikuatkuasakan April lalu, tapi naik semula pada Disember.

Yang menarik, katanya majoriti pelanggan adalah wanita Indonesia yang memiliki gerai makan atau bekerja di gerai-gerai.

Bila Kunta Kinte pergi jumpa doktor Kunta Kinte di sebuah kompleks beli-belah kelas antarabangsa, Kunta Kinte nampak beberapa buah kedai sudah ditutup.

Tapi pemilik kompleks itu pandai. Setiap kali ada kedai yang ditutup sebab bankrap atau pindah kerana tak mampu bayar sewa, ia akan siarkan iklan berbunyi Always Something New untuk bagi gambar sesuatu yang baharu akan dibuka.

Jumlah muflis bertambah

Pasal bankrap ni bukan Kunta Kinte saja-saja buat cerita. Memang bilangan individu dan perniagaan yang muflis bertambah. Ini kerajaan yang kata.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri, bagi tahu Dewan Rakyat, Rabu lalu, kes muflis naik antara tahun 2007 dan 2013.

Dia kata, bilangan orang yang diisytiharkan muflis naik hampir dua kali ganda antara tahun 2007 dan 2013.

Pada akhir Disember 2013 seramai 253,635 orang diisytiharkan muflis berbanding 122,169 pada masa yang sama tahun 2007.

Dalam suasana ekonomi yang lembap macam sekarang, tak hairan kalau orang yang susah jadi tambah susah, tapi yang senang belum tentu akan jadi susah.

Kita pun tahu ada ramai orang kaya atau berkuasa di negara kita yang ada sampai dua, tiga buah jet peribadi, helikopter, rumah di merata tempat di dunia dan nilai perniagaan atas angin berbilion-bilion ringgit.

Tak cukup dengan itu mereka dapat kontrak dan konsesi sampai 60 tahun. Lepas itu dibagi pula pinjaman mudah.

Bukan sikit-sikit, ada yang sampai hampir satu bilion ringgit untuk bina lebuh raya, bangunan mewah dan projek hiburan.

Tapi yang betul-betul berniaga, ertinya yang bukan berniaga atas angin, ramai yang susah. Kos pengeluaran naik sebab nilai ringgit jatuh.

Permintaan jatuh sebab ekonomi satu dunia merosot. Harga saham jatuh. Hutang bank kena bayar. Jadi banyaklah masalah yang hendak ditangani. Bila dah tak boleh buat apa-apa, buang pekerja untuk jimat kos.

Kadar pengangguran naik

Tak hairanlah kalau kadar pengangguran kita naik dengan banyak. Ini bukan Kunta Kinte kata, tapi Jabatan Perangkaan.

Pada November lalu, ada 453,300 orang sedang cari kerja. Banding dengan setahun lalu, bilangan ini naik 20.8 peratus.

Dalam masa 12 bulan lalu bilangan orang yang menganggur bertambah 78,200. Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) pula kata, 400,000 graduan, ramainya Melayu, pun menganggur juga.

Tu dia, dekat-dekat setengah juta. Alasan PEMANDU, mereka tak fasih bahasa orang putih. Takkan la tak fasih bahasa penjajah sampai 400,000 tak dapat kerja? Susah nak masuk akal.

Kalau ini betul, cukup bahaya. Ertinya sistem pendidikan kita dari TADIKA sampai universiti gagal laksana dasar dwibahasa dan ekonomi kita pula gagal wujudkan peluang kerja bagi yang tak fasih bahasa orang putih.

Kunta Kinte nak tanya, pekerja dari Bangladesh, India, Myanmar, Indonesia, Nepal, Syria, Ghana, China, Nigeria, Thailand, Kemboja dan macam-macam lagi negara di dunia yang ada di Malaysia ni semua boleh cakap orang putih ka?

Kunta Kinte harap kalau nak dolak-dalik pun bagilah alasan yang masuk akal. Jangan bagi alasan atau lepas cakap yang buat orang lagi marah.

Kita dah beberapa kali hadapi masalah ekonomi, tapi taklah kelam-kabut macam sekarang. Wallahuaklam.
Kunta Kinte Berita Harian Kolumnis Sabtu, 6 Februari2016 @ 6:02 AM
Tags: ekonomi, muflis
Subscribe

Posts from This Journal “ekonomi” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments