PUTRAJAYA 5 Feb. - Kajian yang mendalam dan terperinci telah dilakukan oleh Kementerian Pendidikan bagi mentransformasikan kurikulum pendidikan Malaysia supaya bergerak seiring dengan peredaran zaman dan melahirkan insan yang seimbang.
Menurut Ketua Sektor Dasar dan Penyelidikan Bahagian Pembangunan Kurikulum Kementerian Pendidikan, Dr. A'Azmi Shahri, pihaknya tidak membuat sebarang semakan atau pembaharuan terhadap sesuatu kurikulum secara sesuka hati sebaliknya, ia dibuat mengikut keperluan semasa.
Beliau berkata, proses tersebut bermula dengan kitaran pembangunan kurikulum yang mana ia akan disemak selepas beberapa tempoh dilaksanakan dan lazimnya mengambil masa antara lima hingga 10 tahun untuk diubahsuai.
"Kitaran pembangunan ini bermula dengan kitaran analisis keperluan, perancangan perkembangan dan pengembangan, ujian rintis ke atas kurikulum baharu dan langkah seterusnya ialah membuat tindakan penyebaran dan pelaksanaan kurikulum tersebut.
"Berdasarkan gelombang kedua pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, kurikulum ini perlu diubah suai kerana beberapa perkara iaitu bagi memastikan setiap murid mencapai enam aspirasi, penekanan terhadap kemahiran abad ke-21 dan memberi peluang kepada murid untuk menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa yang diajar di sekolah," katanya dalam sidang akhbar di sini.
A'Azmi berkata, ketika ini di sekolah rendah misalnya, selain perlu menguasai bahasa pengantar iaitu Bahasa Melayu dan mempelajari Bahasa English, mereka juga diajar bahasa tambahan seperti bahasa etnik antaranya Semai, Mandarin, Tamil, Iban, Arab dan Kadazandusun.
Berikutan itu, katanya, transformasi yang dilakukan dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) adalah bagi memastikan setiap murid bersedia menghadapi cabaran global di masa akan datang.
Dalam pada itu, katanya, transformasi yang bakal dilaksanakan itu juga akan mengambil kira elemen perpaduan dan keharmonian kaum dalam negara ini yang merupakan asas utama kepada pembentukan sistem pendidikan negara.
Pada masa sama, katanya, perubahan juga akan diterapkan terhadap mata pelajaran elektif untuk pelajar Tingkatan Empat dan Lima dengan memperkasakan lagi bidang pengkhususan mengikut kecenderungan dan bakat masing-masing.
Sementara itu, katanya, maklum balas daripada orang ramai terutamanya guru, murid dan ibu bapa juga telah diadakan sebelum penambahbaikan itu dibuat.
Katanya, dalam sesi penerangan yang dibuat sejak dua tahun lalu, semua pihak terutamanya guru menyambut baik usaha tersebut namun, berharap pelaksanaan kurikulum baharu itu tidak menambahkan lagi beban kerja guru.
"Kita akan meneruskan usaha memberi penerangan kepada persatuan guru, Majlis Guru Besar, Majlis Pengetua dan orang awam pada tahun ini bagi memberikan lebih kefahaman mengenai kurikulum baharu ini.
"Kita mahu melahirkan murid yang kritis, kreatif dan inovatif serta mampu memberi sumbangan kepada negara dan mengharungi cabaran-cabaran di peringkat global pada masa akan datang, jadi, kurikulum yang kita gubal perlu sesuai dengan zaman mereka, bukan seperti zaman kita lagi, ini perlu difahami oleh semua lapisan masyarakat termasuk pendidik," katanya.
Kurikulum sekolah Malaysia diberi nafas baharu
PUTRAJAYA 5 Feb. - Bermula tahun hadapan, kurikulum pendidikan Malaysia iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) akan ditransformasikan bagi memberi nafas baharu terhadap pembangunan dan perkembangan murid di peringkat sekolah rendah serta menengah.
Elemen baharu yang bakal diterapkan itu akan memberi penekanan terhadap kaedah pentaksiran dan reka bentuk kurikulum bagi melahirkan insan yang seimbang, berfikiran kreatif, kritis dan inovatif selain, memberi peluang setiap murid melibatkan diri dalam aktiviti sukan dan kurikulum.
Menurut Ketua Sektor Dasar dan Penyelidikan Bahagian Pembangunan Kurikulum Kementerian Pendidikan, Dr. A'Azmi Shahri, semakan semula terhadap kurikulum itu bakal menyaksikan beberapa perubahan akan dilaksanakan termasuk jumlah jam dalam tahun persekolahan dan mengeluarkan kandungan serta kemahiran yang bukan lagi menjadi keutamaan bagi mengelak kepadatan kurikulum.
"Walaupun KSSR ini baharu dilaksanakan pada 2011 di peringkat sekolah rendah, atas dasar keperluan semasa serta mengikut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, kurikulum ini perlu disemak semula.
Sehubungan itu, katanya, murid yang berada di Tahun 6 sekarang akan menjadi kumpulan pertama menggunakan kurikulum baharu peringkat menengah di tingkatan satu pada tahun hadapan. Jelasnya, tujuan transformasi itu dilaksanakan ialah bagi memberi penambahbaikan kepada kurikulum sedia ada supaya setiap murid memperoleh pengetahuan, kemahiran dan nilai yang relevan dengan keperluan serta cabaran di abad ke-21.
Mengulas lanjut, katanya, di bawah transformasi itu juga pihaknya akan melakukan satu proses perubahan yang bersifat holistik atau menyeluruh di peringkat sekolah menengah iaitu berkaitan reka bentuk, kandungan dan organisasi kokurikulum selain, subjek yang ditawarkan.
"Selain itu, turut diberi penekanan ialah mengenai aspek pedagogi iaitu kaedah pembelajaran dan pengajaran di bilik darjah oleh guru, pada masa sama, perubahan juga akan dilakukan terhadap masa mengajar di bilik darjah sama ada di peringkat sekolah rendah atau menengah.
"Sebagai contoh ketika ini, masa mengajar menggunakan minit yang mana sekolah rendah menggunakan 30 minit manakala, sekolah menengah selama 40 minit untuk sesuatu mata pelajaran, jadi di bawah transformasi ini masa pembelajaran akan berubah dengan tujuan memberikan guru lebih masa mengajar dengan lebih berkesan dan cekap," katanya.
Sambil mengambil contoh sistem masa pembelajaran yang digunakan sekarang, katanya, ketika ini guru di sekolah tidak dapat mencurahkan ilmu sepenuhnya disebabkan kekangan waktu namun, berdasarkan transformasi baharu itu guru dapat berkongsi lebih banyak elemen baharu yang dimuatkan dalam kurikulum seperti Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan kemahiran abad ke-21.
Selain itu, katanya, transformasi kurikulum yang akan dilaksanakan di peringkat menengah itu juga akan mengurangkan kepada fokus peperiksaan.
Dalam pada itu, A'Azmi berkata, penambahbaikan terhadap kurikulum itu akan turut memberi fokus kepada dokumen kurikulum baharu di peringkat sekolah menengah seperti yang digunakan oleh peringkat sekolah rendah iaitu Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) bagi setiap sukatan mata pelajaran.
Pada masa sama, katanya elemen KBAT dalam kalangan guru juga akan diperkasakan bagi memudahkan mereka mengaplikasikannya ketika waktu pengajaran dan pembelajaran.