Murid terima manfaat
Dengan menggunakan Model Reka Bentuk Pengajaran Integral ASIE, guru dapat memahami dan menghayati elemen-elemen yang terdapat dalam pembelajaran abad ke-21 yang berpusatkan murid.
Pengasas Model ASIE, Dr. Ismail Zain berkata, aspek perancangan merupakan langkah awal ke arah proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang berkesan dalam membangunkan modal insan yang berdaya saing di peringkat global.
“Model ASIE memberi penekanan terhadap beberapa aspek penting yang guru harus menganalisisnya untuk diintegrasikan dalam perancangan pengajaaran iaitu profil pengajaran, profil murid yang melibatkan aspek perbezaan individu pelajar seperti mana yang terdapat dalam data ujian psikometrik, dan profil media pengajaran.
“Maklumat ini akan membentuk strategi pengajaran guru berkonsepkan pembelajaran abad ke-21 dan seterusnya membentuk murid yang memiliki ciri-ciri berfikiran kritis, pencipta, mahir berkomunikasi dan berkolaborasi,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika mengendalikan bengkel pengintegrasian pembelajaran abad ke-21 dalam PdP melalui aplikasi Model Reka Bentuk Pengajaran Integral ASIE di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Burong, Tanjung Karang, Selangor, baru-baru ini.
Guru-guru boleh mencuba Model ASIE atas talian ini dengan melayari www.asiemodel.com dan mereka akan diberi pengenalan diri berserta kata laluan.
Sementara itu, seorang peserta bengkel, Hendon Jerkaasi, pengintegrasian persekitaran pembelajaran abad ke-21 menggunakan Model ASIE amat baik dan memerlukan komitmen guru untuk memahami dan melaksanakannya.
“Pendekatan ini lebih efektif,” kata guru Matematik ini ringkas tetapi penuh makna.
Rakannya. guru Bahasa Malaysia, Nor Wahida Sidek berpendapat, Model Reka Bentuk Pengajaran Integral ASIE sangat membantu guru dalam membuat perancangan pengajaran yang berkesan dan juga dapat membantu guru mengintegrasikan kesemua fitur bagi memenuhi keperluan PdP abad ke-21.
“Model ASIE merupakan satu perancangan yang menggabungkan keseluruhan persediaan guru dalam kepelbagaian teknik PdP dalam menghadapi pendidikan abad ke-21 dan ini mencakupi satu bentuk perancangan pengajaran secara global,” ujarnya. Utusan Malaysia Rencana Pendidikan 08 Februari 2016 1:48 AM
Model ASIE mekanisme terbaik perancangan guru
Pembelajaran abad ke-21 bukan sekadar menyediakan kemudahan fizikal sahaja tetapi juga merangkumi perancangan secara keseluruhan termasuk aspek strategi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam bilik darjah.
Model Reka Bentuk Pengajaran Integral ASIE memenuhi keperluan itu sebagai satu mekanisme atau kerangka untuk guru mengintegrasikan aspek pembelajaran abad ke-21 ke arah membentuk perancangan pengajaran yang berkesan bagi memenuhi keperluan pendidikan masa kini.
Untuk membuktikan keberkesanannya, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Selangor melaksanakan projek rintis penggunaan Model ASIE atas talian ini di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Burong, Tanjung Karang, Selangor.
Baru-baru ini di sekolah itu, 35 guru dan beberapa Pegawai PPD Kuala Selangor mengikuti bengkel pengintegrasian pembelajaran abad ke-21 dalam PdP melalui aplikasi Model Reka Bentuk Pengajaran Integral ASIE.
Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Selangor, Shashim Shah Harun berkata, Model ASIE amat berketepatan dengan landskap pendidikan masa kini kerana memberi penekanan terhadap pengurusan pembelajaran abad ke-21 yang melengkapkan keperluan ke arah mewujudkan Bilik Darjah Abad Ke-21.
“Program aplikasi reka bentuk pengajaran Integral ASIE atas talian ini sangat sesuai untuk sekolah rintis dan perlu disebar luaskan kepada sekolah-sekolah lain,” katanya.
ASIE adalah akronim bagi komponen A – Analyse (Analisis), S – Strategise (Menyusun strategi), I – Implement (Melaksana) dan E – Evaluate (Menilai).
Model ASIE ini dibangunkan oleh Mantan Pensyarah Cemerlang Gred Khas B Institut Pendidikan Guru, Kampus Ipoh, Perak, Dr. Ismail Zain dengan akademia Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Balakrishnan Muniandy dan Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim.
Model ini mendapat pengiktirafan dalam dan luar negara melalui penganugerahan persembahan terbaik dalam persidangan pendidikan antarabangsa di Beijing dan di London pada tahun lalu.
Artikel Model ASIE juga diterbitkan dalam Jurnal Antarabangsa serta mendapat tawaran untuk dibukukan oleh penerbit antarabangsa Scholar Press yang berpusat di Jerman.
Sementara itu, Guru Besar SK Sungai Burong, Abdul Rahman Marhaban berkata, dengan menggunakan Model ASIE ini semua guru boleh merancang secara spesifik dan berkesan untuk diaplikasikan dalam PdP.
"Perancangan yang berfokus ini boleh dikongsi bersama guru lain bagi meningkatkan lagi pemahaman pengajaran dan seterusnya memberi impak yang besar dalam pencapaian murid," katanya yang berhasrat menjadikan SK Sungai Burong sebagai sekolah contoh pembelajaran abad ke-21 secara keseluruhan.
Pendapat ini disokong Ketua Unit Pengurusan Akademik PPD Kuala Selangor, Ahmad Radzi Shaari bahawa penggunaan Model ASIE memberi respon yang baik untuk merancang PdP guru secara menyeluruh. -Utusan Malaysia Rencana Pendidikan 08 Februari 2016 1:48 AM