Apabila perkara sebegini berlaku, ia tidak dapat lari daripada keperluan meneliti kembali program tatanegara kita, sama ada dalam bidang pendidikan atau lain-lain.
Sehubungan ini, Rukun Negara yang mula diperkenal pada 31 Ogos 1970, sebagai peranti sosiobudaya mengenai kehidupan rakyat Malaysia yang berkongsi sejarah negara, tradisi dan nilai timur sepunya, bahasa kebangsaan dan aspirasi yang sama, tidak pun dimanfaatkan sepenuhnya.
Ia lebih banyak dihafal untuk mengingati sejumlah prinsip di dalamnya, tidak pernah dilaksanakan dalam bentuk serius melalui penghayatan yang rinci untuk menonjolkan bukan sahaja kepentingannya, tetapi kemuliaannya dalam pembentukan negara bangsa kita.
Masih tidak terlambat langsung untuk kita mengangkatnya semula untuk digemblengkan bagi tujuan pemupukan perwatakan nasional dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya generasi muda.
Melalui Rukun Negara ini, dengan menggunakan pelbagai cara dan bentuk hasil inovasi dan kreativiti kita, satu pemikiran dan kelakuan sepunya diyakini dapat diwujudkan untuk memperlihat unsur perkongsian perasaan kenegaraan yang sama oleh seluruh rakyat Malaysia.
Sebenarnya pemikiran dan kelakuan ini sudah pun lama tercetus dalam Rukun Negara, iaitu dalam bentuk minat dan sikap, kehendak dan kecenderungan, pandangan dan gagasan, dorongan dan panduan, serta keyakinan dan aspirasi yang perlu dikongsi bersama rakyat Malaysia.
Semua ini boleh dirujuk dengan cepat lagi nyata pada lima prinsipnya untuk diterapkan dalam semua aspek kehidupan segenap rakyat Malaysia, bukan sahaja sebagai panduan asas pembentukan negara bangsa kita, tetapi juga selaku bimbingan sahsiah unggul yang perlu ada pada mereka.
Dengan kata lain, kita menggunakan Rukun Negara untuk mempamerkan peribadi kita yang bukan sahaja berhemah dari segi susilanya, tetapi juga yang unik kerana berjaya mendukung asas kenegaraan yang dipercayai bersama oleh semua etnisiti di tiga wilayah, iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Dengan adanya prinsip pertama, iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, sifat yang dianjurkan adalah rakyat Malaysia yang dibekalkan panduan dan nilai melalui agama masing-masing, bukan sahaja membolehkan mereka membezakan kebaikan dengan keburukan.
Malah berjaya mempererat solidariti sosial antara rakyat yang berlainan kepercayaan seperti yang diperintahkan setiap agama.
Prinsip kedua, iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, menganjurkan patriotisme, khususnya melalui perasaan keterikatan kuat dan kecintaan abadi kepada negara dalam konsep tanah air.
Dengan ini, kita bukan sahaja berkongsi destini yang bersama, tetapi juga kesediaan semua rakyat tanpa mengira keturunan untuk mempertahan negara ini.
Kontrak secara bersama
Keluhuran Perlembagaan yang menjadi prinsip ketiga mengajukan kemuliaan kanun tertinggi negara, yang berjaya menggarap perjanjian antara kaum ketika kemerdekaan ke dalam pelbagai fasal.
Ianya bukan sahaja adalah hak dan keistimewaan bersama, tetapi juga kontrak yang perlu dilangsai bersama-sama dengan penuh tanggungjawab dan keikhlasan.
Kedaulatan Undang-Undang selaku prinsip keempat menunjukkan keperluan semua pihak tanpa mengira kedudukan, untuk bukan sahaja mematuhi perundangan yang digubal, tetapi juga menerima kewibawaannya sekali.
Dengan ini, rakyat dikehendaki mematuhi dan menghormati undang-undang negara pada setiap masa.
Prinsip kelima, iaitu Kesopanan dan Kesusilaan, mencuarkan sikap saling menghormati sesama kita, selain keperluan rakyat memiliki kelakuan yang baik.
Sudah tentu, ini akan mempererat perpaduan di samping memperlihat pengamalan tradisi dan nilai kita bersama sebagai budaya nasional.
Melalui semua prinsip ini, pasti satu sikap positif mengenai perwatakan nasional akan terbentuk dalam kalangan semua rakyat.
Kehidupan etnik berlainan dalam tiga wilayah yang diikat sebagai satu yang dipunyai bersama, bersandar kepada pemahaman bersama tentang sejarah dan tradisi negara serta pembabitan bersekali dalam semua sistem negara.
Sehubungan ini, Rukun Negara yang dimanfaatkan untuk pembentukan perwatakan nasional ini hendaklah dirancangkan dengan penuh hemat sebagai kepercayaan negara, khususnya dalam bidang pendidikan dan bukannya dibiarkan difahami sendiri oleh rakyat, khususnya generasi muda untuk diamalkan dalam kehidupan harian mereka.