kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Sampai bila hendak harap pekerja asing? Timbang dengan sewajarnya keperluan 1.5j pekerja Bangladesh

Timbang dengan sewajarnya keperluan 1.5j pekerja Bangladesh

TERKEJUT saya apabila membaca berita bahawa kerajaan Bangladesh telah meluluskan draf perjanjian persefahaman (MoU) berhubung penghantaran sebanyak 1.5 juta rakyatnya untuk bekerja di Malaysia.

Masakan tidak, saya yakin jumlah pekerja asing di negara kita sudah terlalu ramai hingga dikatakan sudah mencecah antara tiga hingga lima juta orang.


Apakah kita masih tidak mahu ambil iktibar dan lupa tentang satu laporan yang pernah dibentangkan satu ketika dahulu yang menyatakan hampir 90 peratus tenaga kerja asing menguasai peluang pekerjaan di sektor pertanian dan pembinaan di negara kita. GAMBAR HIASAN.

Malah dalam satu berita yang pernah disiarkan pada 12 November 2014 di Utusan Malaysia, Kementerian Sumber Manusia menganggarkan jumlah pekerja asing di Malaysia adalah sebanyak 6.7 juta dalam pelbagai sektor.

Menterinya, Datuk Seri Richard Riot Jaem dalam siaran berita tersebut memaklumkan daripada jumlah tersebut didapati hanya 2.1 juta pekerja asing mempunyai permit manakala selebihnya memasuki negara ini secara haram.

Saya yakin anggaran jumlah berkenaan masih tidak berubah sehingga sekarang walaupun dinyatakan lebih setahun yang lalu. Jika ada perubahan sekalipun disebabkan ada program pemutihan atau pengusiran ke negara asal jumlahnya tidak jauh berbeza.

Sebagai rakyat Malaysia saya kira kemasukan 1.5 juga lagi pekerja Bangladesh ke negara kita hanya mengundang banyak masalah dari segi sosial dan tidak terkecuali ekonomi.

Kita sendiri banyak mendengar isu sosial yang timbul antaranya kisah-kisah percintaan wanita tempatan dengan ‘mat bangla’ kerana terpengaruh dengan filem hindi yang akhirnya mengundang seribu satu penderitaan.

Saya difahamkan pada masa ini terdapat lebih 300,000 rakyat Bangladesh yang bekerja secara sah di negara kita khususnya dalam sektor perladangan tetapi banyak pihak percaya jumlahnya lebih daripada itu jika dicampurkan dengan mereka yang tiada permit.

Kerajaan dalam hal ini perlu membuat pertimbangan sewajarnya. Tidak salah untuk kita mendapatkan pekerja asing terutama sektor-sektor yang kurang diminati oleh rakyat tempatan antaranya pembinaan dan perladangan tetapi biarlah berpada-pada.

Saya tidak nafikan keperluan kita terhadap penggunaan pekerja-pekerja asing dalam sektor-sektor tertentu namun jumlah 1.5 juta itu bagi saya terlalu besar.

Bayangkan dengan jumlah sebanyak itu akan pasti pertambahan populasi pekerja asing di negara kita akan meningkat secara mendadak.

Saya amat berharap kerajaan mempertimbangkan dari segala sudut sebelum menerima pekerja Bangladesh sebanyak itu walaupun kerajaan negara tersebut telah meluluskannya. Jika ada keperluan sekalipun angkanya hendaklah munasabah. Haikal Kajang Selangor Utusan Malaysia Rencana 11 Februari 2016 12:09 AM

Sampai bila hendak harap pekerja asing?


BARU-BARU ini pihak kerajaan memutuskan untuk membuat penyusunan semula kadar levi pekerja asing di negara ini. Kadar baharu itu menetapkan mereka yang berada di sektor pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan dike-
nakan bayaran RM2,500 dan yang bekerja di sektor ladang dan pertanian pula dikenakan RM1,500 bagi setiap pekerja. Secara umumnya pelaksanaan kadar ini dijangka memberi pendapatan tambahan RM2.5 bilion kepada negara.

Sejak pengumuman kadar baharu ini pihak majikan mula menyuarakan rasa tidak puas hati kerana dikatakan kadar ini agak tinggi dan membebankan majikan. Antaranya, Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) yang mahukan kerajaan menarik balik pelaksanaan kenaikan kadar levi baharu untuk pekerja asing khususnya dalam sektor pembinaan kerana dikatakan kenaikan itu membebankan dan akan menjejaskan pelaksanaan sesuatu projek pembangunan, selain menyebabkan peningkatan kos operasi.

Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) juga dilaporkan menolak langkah kerajaan menaikkan kadar levi pekerja asing daripada RM1,250 kepada RM2,500 setahun dan mahu keputusan itu ditarik balik. Pertubuhan itu menganggap kadar itu terlalu membebankan terutama ketika sektor pembuatan berhadapan situasi ekonomi mencabar dan peningkatan kos operasi.

Walaupun secara prinsipnya kita nampak rungutan pihak majikan ada asas kukuh terutamanya pada ketika keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan dan mungkin kerajaan boleh mempertimbangkan semula kadar kenaikan itu, namun dalam hal ini penulis berpandangan inilah masa terbaik untuk kita mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing seterusnya membuka ruang dan peluang kepada pekerja tempatan. Sampai bila kita hendak bergantung harap kepada pekerja asing ini?

Desakan dari pihak majikan yang mahukan kerajaan mengurangkan kadar levi atas alasan dikhuatiri akan mewujudkan situasi di mana Malaysia menjadi destinasi kurang menarik untuk pekerja asing sekali gus mencetuskan masalah yang serius kekurangan pekerja dalam bidang yang memerlukan tenaga mahir seperti pembinaan, pengilangan dan perladangan wajar membuka mata kita semua.

Ini membuktikan betapa majikan kita selama ini terlalu bergantung harap kepada tenaga kerja luar berbanding pekerja tempatan. Apakah kita masih tidak mahu ambil iktibar dan lupa tentang satu laporan yang pernah dibentangkan satu ketika dahulu yang menyatakan hampir 90 peratus tenaga kerja asing menguasai peluang pekerjaan di sektor pertanian dan pembinaan di negara kita. Apakah kita mahu membiarkan perkara ini berterusan?

Hakikatnya kita perlu melihat isu ini dari perspektif yang lebih positif dan demi kebaikan negara jangka masa panjang. Sudah tiba masanya kita menilai semula kemasukan beramai-ramai pekerja asing ke negara ini dalam semua sektor. Malah baru-baru ini juga didedahkan ketika ini ada dua juta pekerja asing tanpa dokumen di negara ini. Sewajarnya kita perlu mengambil peluang ini untuk secara perlahan-lahan mengurangkan dan seterus-nya menghentikan sepenuhnya kemasukan pekerja asing.

Persoalan klise yang sering diaju-kan ialah apa jadi dengan pekerja tempatan? Adakah benar segala dakwaan selama ini bahawa warga kita sememangnya tidak mahu dan tidak berminat bekerja dalam sektor yang berfokus kepada aspek 3D (difficult, dirty and dangerous) (kasar, kotor dan bahaya) yang menyediakan banyak peluang pekerjaan dan selama ini dikuasai oleh pekerja asing? Atau majikan yang sengaja menggunakan alasan ini supaya dapat meraih keuntungan yang lebih besar apabila menggaji pekerja asing dengan gaji yang lebih rendah.

Perkara ini perlu dirungkai dan dibuat kajian yang sewajarnya. Hal ini kerana apa yang pelik adalah pada hari ini masih kedengaran masalah pengangguran dan kekurangan peluang pekerjaan yang dihebahkan oleh pelbagai pihak dengan menyalahkan pihak kerajaan kononnya tidak dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. Justeru wujud konflik yang cukup ketara. Satu pihak mendakwa pekerja tempatan tidak berminat manakala satu pihak lagi mendakwa tiada peluang pekerjaan dalam negara.

Apapun jawapannya, kita perlu terima kenyataan betapa negara ini sebenarnya mempunyai banyak peluang pekerjaan tetapi gagal direbut rakyat sendiri atas pelbagai alasan. Antara alasan klasik yang sering kali didengari adalah gaji yang rendah, tidak relevan dan sesuai dengan tahap pendidikan yang dimiliki serta kerja yang terlalu susah dan berat serta tiada standard. Jika kita terus beralasan seperti ini kita khuatir satu hari kelak 100 peratus semua peluang pekerjaan dalam semua sektor di negara ini akan dikuasai sepenuhnya oleh orang luar.

Baru-baru ini penulis terbaca satu laporan dalam akhbar mengatakan lebih 19,000 calon yang kebanyakannya penuntut lepasan universiti atau kolej sanggup memohon pekerjaan sebagai tukang sapu sampah di sebuah daerah di India walaupun kerja itu menawarkan gaji rendah iaitu sekitar 17,000 rupee (RM1,075) sebulan. Dilaporkan mereka bukan saja tidak memilih pekerjaan malah ribuan graduan berebut untuk mendapatkan pekerjaan tersebut memandangkan hanya terdapat 114 kekosongan sebagai tukang sapu. Ini kerana kadar pengangguran yang sangat tinggi menyebabkan lepas universiti dan kolej tidak mempunyai pilihan untuk mendapat pekerjaan yang lebih baik.

Rakyat kita wajar mengambil iktibar dengan situasi pengangguran global seperti ini. Kita akui pada hari ini kita sedang berhadapan dengan zaman ketidaktentuan ekonomi yang agak serius di samping kenaikan kos sara hidup yang cukup membebankan. Sudah mula kedengaran beberapa syarikat korporat yang besar kemungkinan akan mula berhentikan sejumlah pekerja mereka sebagai langkah penjimatan.

Maka kita nasihatkan agar masyarakat buang jauh-jauh sikap memilih, buruk sangka dan persepsi negatif tentang kerja-kerja berat atau yang dikategorikan sebagai 3D supaya dapat merebut peluang kerjaya yang disediakan oleh sektor berkaitan.

Ambillah contoh dari negara maju seperti Jepun dan Korea yang boleh bangun dari kehancuran dan membina empayar ekonomi yang hebat dengan bantuan dan kudrat rakyat mereka sendiri tanpa mengharapkan tenaga kerja dari luar. Justeru diharapkan agar semua pihak yang terlibat tidak hanya melihat kepada aspek negatif melalui kenaikan kadar levi ini semata-mata sebaliknya fokuslah kepada sisi positif yang boleh membantu membangunkan rakyat dan negara pada masa hadapan.

Tags: pekerja
Subscribe

Posts from This Journal “pekerja” Tag

  • Galakkan pekerja bersuara

    Artikel ‘ Jujur dan Bersuaralah’ ( Be honest and speak up) bertarikh 29 Jun 2019 adalah dirujuk. Alangkah bahagianya para kakitangan…

  • Hargai pekerja berbakat

    Apabila diberkati dengan pekerja yang berbakat, ia adalah tugas pengurusan untuk terus mencari dan memberi peluang di mana pekerja boleh…

  • Kriteria pekerja untuk keperluan masa depan

    Pekerjaan untuk masa hadapan dikatakan berkemungkinan akan menimbulkan banyak pekerjaan baru. Bilangan yang tidak dapat dipastikan namun turut…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments