kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Budaya bodek di kampus , Bina hubungan rapat pensyarah

Budaya bodek di kampus

MEMBODEK pensyarah semata-mata mahu mencapai objektif tertentu bukanlah perkara baharu dilakukan penuntut. Ia adalah amalan kebiasaan yang sering dilakukan mahasiswa dalam memenuhi keinginan peribadi mereka sendiri.

Si kaki bodek dalam kalangan penuntut sebenarnya seorang yang panjang akal. Banyak cara yang dilakukan oleh mereka hanya kerana mahukan sesuatu. Walaupun begitu, jika bodek anda itu beretika dan kena pada caranya, mungkin anda akan dapat apa yang dimahukan sebaliknya jika mahasiswa itu membodek melampaui batas, anda akan terima nasibnya nanti.

Seperti kata Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Utara Malaysia, Muhamad Aiman Mohd Nahzeri, wujud seribu satu cara lain untuk menambat hati pensyarah selain menggunakan taktik bodek yang boleh dikatakan taktik bagi mereka yang terdesak.

Mahasiswa seharusnya lebih bijak dalam merangka strategi untuk mendapatkan perhatian pensyarah seterusnya keputusan yang cemerlang. Misalnya, seorang mahasiswa boleh menarik perhatian pensyarah dengan mempamerkan hasil tugasan yang berkualiti, sering terlibat dalam perbincangan ketika kuliah, menunjukkan prestasi cemerlang dalam ujian mahupun kuiz serta menunjukkan akhlak dan adab yang baik ketika bersama pensyarah. Jika mahasiswa mampu melaksanakan perkara tersebut, insya-Allah usaha keras yang dilakukan akan dikenal pasti oleh pensyarah tanpa usaha bodek yang melampau.

Katanya, banyak kaedah yang digunakan oleh kaki bodek di universiti seperti memuji pensyarah dengan puji-pujian yang berlebihan dan memberikan hadiah mahal demi menambat hati pensyarah. Malah ada juga yang sanggup mengiakan arahan atau kenyataan dari pensyarah yang dirasakan menyusahkan mahasiswa demi untuk mendekatkan diri dengan pensyarah tersebut.

Itu antara pandangan Muhamad Aiman berkenaan isu ini. Bagaimana pula dengan yang lain? Isu Kampus mendapatkan pandangan daripada mereka yang berkaitan dengan isu ini. Diharapkan ia mendapat perhatian semua penuntut pusat pengajian tinggi agar tidak menjadikan amalan suka membodek pensyarah terus melanda universiti masing-masing.


Bina hubungan rapat pensyarah

MENDENGAR perkataan ‘kaki bodek’ pasti ramai yang mempunyai persepsi agak negatif terhadap individu yang suka membodek. Isu ini biasa melibatkan bodek kepada bos, ibu bapa, rakan, pensyarah atau sesiapapun.

Kali ini saya terpanggil untuk berkongsi mengenai isu bodek kalangan penuntut kepada pensyarah mereka, dan uniknya saya akan memberi penjelasan kepada kesan positif dan negatif yang mampu membawa kepada kebaikan serta keburukan tertentu terhadap kedua-dua belah pihak.

Ada antara kita mendefinisikan bodek sebagai individu yang mengampu seseorang untuk mendapatkan apa sahaja matlamat yang dihajati. Manakala ada juga sesetengah pihak yang berpendapat bodek adalah tingkah laku atau komunikasi memanipulasi seseorang secara tidak beretika untuk mencapai kemahuan yang kurang sesuai dengan keadaan si pelaku pada ketika itu.

Pada hemat saya pula, secara umum saya nyatakan bodek sebagai kemahiran untuk membina hubungan secara sedar atau tidak untuk mempengaruhi seseorang atau untuk menunjukkan kebaikan diri sendiri dengan tujuan tertentu.



Afizul Mohammad

Senario bodek yang biasa berlaku ialah sentiasa menolong pensyarah mengangkat barang, membelikan air atau makanan kepada pensyarah, sentiasa bertanya khabar pensyarah di bilik pensyarah atau terkini melalui telefon (Facebook dan WhatsApp), mengajak pensyarah makan bersama serta sanggup membayar makanan pensyarah, menghadiahkan hadiah tertentu kepada pensyarah, memberi makanan ringan setiap kali kuliah berlangsung, dan mengajak pensyarah bermain sukan bersama.

Isu bodek kalangan penuntut terhadap pensyarah terutamanya di kampus memang banyak berlaku secara sedar atau tidak sedar. Namun kita harus ketahui dan peka bahawa keadaan ini berlaku mempunyai pelbagai sebab.

Ada sesetengah siswa sanggup membodek bagi mendapatkan bayangan kertas soalan untuk peperiksaan, dan ada bertujuan untuk mendapatkan markah yang tinggi.

Dalam masa sama, ada antara mereka sanggup untuk bodek kerana untuk mempunyai hubungan yang baik bagi jangka masa panjang. Sebagai contoh, bagi siswa yang ingin bekerja dalam dunia akademik sendiri perlu sentiasa peka untuk membina hubungan baik dengan pensyarahnya bagi memperoleh kepercayaan dan maklumat bersesuaian.

Oleh demikian, terpulanglah kepada setiap individu itu sendiri untuk melakukan bodek atas tujuan apa. Setiap yang berlaku pasti ada baik dan buruknya. Contohnya, seorang penuntut malas dan selalu tidak hadir kelas, namun sentiasa berbuat baik terhadap pensyarahnya bagi mendapatkan markah yang selesa, ini tentunya adalah budaya bodek yang negatif dan memberi kesan buruk kepada mereka sendiri.

Di masa hadapannya, mereka ini pasti akan bekerja dan tabiat ini akan berterusan iaitu bekerja sambil lewa tetapi boleh lakukan bodek untuk mendapat hasil yang baik.

Sebaliknya ia akan jadi budaya positif apabila seseorang mahasiswa lakukan bodek untuk perhubungan yang baik selama-lamanya. Seperti kita maklum, penuntut bidang kejuruteraan akan sentiasa memerlukan networking atau pendapat pensyarahnya yang sama bidang pada masa depan kelak.

Sama seperti penuntut lain dalam bidang apa sekalipun. Oleh itu sentiasa tanya diri dan sentiasa berdikari untuk mencapai sesuatu secara adil dan berhak mendapatkannya. Orang yang positif selalunya menghasilkan keputusan yang sangat positif.

Bagi pensyarah pula, tentu sekali mereka sebagai golongan terpelajar dan berpengalaman luas, tahu bagaimana untuk membezakan bodek positif dan negatif ini atau membandingkan yang mana kaca dan yang mana permata. Cuma bagi pensyarah yang masih baru berjinak dalam dunia kampus pasti akan menempuhi pelbagai cabaran yang menarik.

Suka saya kongsikan, pensyarah yang bijak akan melatih setiap mahasiswanya untuk bertindak dengan betul dan tahu di mana batasnya. Tidak salah melayan pelaku yang membodek kerana ini akan melatih siswa untuk proses mempengaruhi seseorang, namun jangan dilayan ajakan bodek negatif sehingga termakan umpan.

Berbuat baik kepada penuntut adalah amalan mulia, kerana mereka adalah masih lemah ilmunya. Oleh itu pensyarah patut berterus terang mengenai amalan bodek tidak sihat jika berlaku dan terangkan mana yang bagus dan sebaliknya.

Ayuh semua kita tukar persepsi bahawa bodek ini bagus untuk mendidik kita menjadi baik kepada semua orang. Mungkin awalannya niat tidak baik, namun setiap manusia boleh berubah.

Tingkatkan kecerdasan emosi kita sebagai pelajar yang mempunyai hubungan baik kepada semua orang apatah lagi seorang guru yang mendidik kita iaitu pensyarah. Biarlah apa orang nak kata kita bodek atau tidak, namun yang pasti kita memang ingin punyai hubungan yang terbaik kepada semua orang.

Pesanan saya kepada diri sendiri dan semua masyarakat di luar sana, sentiasa kuatkan jati diri, dan perlulah kita meningkatkan kualiti diri menjadi lebih baik dari hari ke hari. Pekakkan telinga untuk kata-kata yang menjatuhkan kita, dan bukalah hati dan minda kita kepada kata-kata yang membangunkan kita. Jadilah seperti katak yang melompat jauh ke luar kotak. Kita berhak hebat.

Tags: sikap
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments