kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Mengenali etnik banjar Malaysia, Adat tradisi yang masih diamalkan, Siapakah orang Banjar?

Adat tradisi yang masih diamalkan

KUNJUNGAN
penulis ke Kampung Sungai Manik, Teluk Intan, Perak memberi pandangan berbeza terhadap penduduk kampung itu.

Rata-rata penduduknya berasal dari suku Banjar yang datang dari wilayah Kalimantan Selatan pada abad ke-19. Namun sesuatu yang mengujakan penulis adalah kebanyakan penduduk kampung itu dan sekitarnya yang didiami suku Banjar masih mengamalkan adat dan budaya sejak turun temurun itu sehingga ke hari ini.



BAPUKONG merupakan adat unik masyarakat Banjar bagi menidurkan bayi dengan selesa. gambar- youtube.com

Menurut isteri kepada Ketua Kampung Permatang, Parit 7 Sungai Manik, Noor Zaharah Zainuddin, 53, antara adat yang masih dapat dilihat diamalkan oleh suku Banjar di Kampung Sungai Manik adalah tradisi ‘bapukong’.

Sekilas pandang, ramai yang akan menganggap tradisi bapukong itu kelihatan seperti suatu perbuatan mendera bayi tetapi sebenarnya, ia bukan seperti disangka.

Katanya, adat bapukong dilakukan oleh ibu bapa untuk menidurkan bayi mereka di dalam buaian. Ia biasanya dilakukan ketika ibu bapa mereka mahu melakukan aktiviti atau kerja di bendang sambil menjaga bayi yang masih kecil.

“Bayi tersebut diletakkan di dalam buai dalam keadaan seolah-olah duduk dan satu kain akan digunakan untuk melilit di bahagian leher bayi itu agar dia dapat duduk dengan tegak. Dengan cara itu, bayi akan tidur nyenyak dan ibu atau bapa boleh melakukan kerja dengan tenang.

“Biasanya ibu bapa yang mengerjakan sawah padi perlu menidurkan bayi agar mereka boleh melakukan kerja. Jadi, inilah antara cara yang digunakan untuk mengasuh bayi itu agar dia tidak mengganggu tugas mereka,” katanya.

Lebih menarik, rata-rata penduduk suku Banjar di situ masih bertutur menggunakan bahasa Banjar. Bukan sahaja orang-orang tua, generasi muda juga bertutur menggunakan bahasa Banjar.

Menurut Noor Zaharah, generasi muda yang menetap bersama keluarga mereka di kampung itu fasih berbahasa Banjar, selain berasa bangga kerana masih mampu mengekalkan bahasa itu.

Begitu juga dengan Saniah Md. Yusof, 65, yang berasal dari Sekinchan, Selangor namun menetap bersama anak-anaknya di Sungai Buloh, Selangor. Katanya, dia masih lagi bertutur bahasa suku itu dengan anaknya di rumah.

“Anak-anak juga tidak kekok bertutur dengan saya. Mereka masih boleh memahaminya,” katanya.

Menurutnya, beliau tidak kekok malah mahu terus mengekalkan penggunaan bahasa itu, selain tradisi-tradisi lain yang menjadi kebanggaan suku Banjar.

Adat dan tradisi masyarakat Banjar terlalu banyak untuk disenaraikan, namun kesemuanya mempunyai ciri-ciri menarik dan ada keistimewaan tersendiri. Antara adat yang masih dapat dilihat sehingga hari ini termasuklah adat perkahwinan, adat membuai bayi, adat wanita mengandung dan adat upacara kematian.

Malah, ada adat-adat itu hampir serupa dengan adat masyarakat suku lain seperti Jawa dan sebagainya.

Adat tradisi yang masih diamalkan

Mengenali etnik banjar Malaysia,

PADA akhir abad ke-19, masyarakat yang berasal dari Kalimantan Selatan dengan sebahagian besarnya orang Banjar mengambil keputusan berhijrah ke sekitar Nusantara termasuk Tanah Melayu.

Penjajahan Belanda yang menekan ekonomi penduduk di wilayah berkenaan pada ketika itu menjadi punca utama masyarakat Banjar meninggalkan kampung halaman untuk mencari sinar hidup baru.


MASYARAKAT Banjar terkenal dengan aktiviti di sungai termasuk Pasar Terapung yang popular di Kota Banjarmasin. GAMBAR - bubuhanbanjar.wordpress.com

Berikutan itu, ada yang merantau ke Kepulauan Jawa dan Sumatera, sebahagian yang lain pula melakukan penghijrahan ke Singapura, kemudian belayar ke Pulau Pinang dan seterusnya ke Perak.

Bermula dari situ, masyarakat Banjar yang terkenal dengan kebolehan bertani diberi kebenaran oleh pihak British di Tanah Melayu ketika itu membuka tanah untuk bercucuk tanam.

Masyarakat itu menjadikan beberapa kawasan di Johor, Selangor dan Perak sebagai penempatan baru dan membuka tanah-tanah baru bagi tujuan pertanian.

Apa yang uniknya mengenai orang Banjar? Seperti orang Jawa, Melayu, Mandailing, Minang dan lain-lain yang berasal dari Kepulauan Nusantara, masyarakat Banjar mempunyai keistimewaan tersendiri.

Dari aspek bahasa, makanan, pakaian, amalan tradisi dan kesenian, masyarakat Banjar memaparkan corak kehidupan yang sederhana tetapi mempunyai keunikan, selain warisan yang masih kekal sehingga hari ini.

Masih ramai orang Banjar yang wujud di Malaysia bertutur dan mengamalkan sosiobudaya masyarakat itu sejak sekian lama. Malah, ia menjadi sebati dengan kehidupan masyarakat Malaysia termasuk orang Melayu pada hari ini.

Wartawan S2, FAIZAH IZZANI ZAKARIA mendekati masyarakat Banjar di Malaysia, selain menyingkap asal-usul serta sejarah penghijrahan mereka ke negara ini suatu masa dahulu.

Siapakah orang Banjar?



ULAMA tersohor Banjar suatu ketika dahulu, Syeikh Muhammad Arshad Al-Banjari

Menurut pengkaji sejarah dan arkeologi Badan Penelitian dan Pengembangan Daerah Provinsi Kalimantan Selatan, Wajidi Amberi, asal-usul suku Banjar yang banyak mendiami bahagian Kalimantan Selatan masih belum dapat dipastikan memandangkan banyak pendapat hanya berdasarkan data-data yang masih belum disahkan.

Namun, Wajidi berkata, mengikut beberapa kajian yang telah wujud, etnik Banjar merupakan orang yang tinggal di Kalimantan Selatan dan terdiri daripada beberapa sub etnik Banjar iaitu Banjar Kuala, Banjar Hulu dan Batang Banyu.

“Bagaimanapun mengikut sejarah, etnik Banjar dikatakan merupakan hasil pencampuran yang berlangsung sekian lama antara suku Melayu Tua (Proto Melayu) yang mendiami daerah Kalimantan Selatan dengan suku yang datang kemudian iaitu Melayu Muda (Deutero Melayu) yang mendiami daerah-daerah pantai dan tepian sungai besar.

“Atas dasar pola genealogis masyarakat Banjar maka istilah Banjar sebenarnya bukan sekadar konsep etnik semata-mata, namun juga dikaitkan dengan konsep politik, sosiologi dan keagamaan,” katanya yang menulis di dalam blog https://bubuhanbanjar.wordpress.com.


MASYARAKAT Banjar mempunyai keunikan tersendiri.-Sumber https://hasanzainuddin.wordpress.com

Katanya, Banjar juga adalah sebuah nama kerajaan Islam yang pada awalnya terletak di Banjarmasin. Dalam proses pembentukan Kerajaan Banjar maka Banjar Masih dengan pelabuhan perdagangannya yang disebut sebagai Bandar Masih atau bermaksud bandar orang Melayu dijadikan ibu kota Kerajaan Banjar yang kemudian bertukar nama sebagai kota Banjarmasin.

Dalam Hikayat Banjar katanya, ada disebutkan bahawa proses ‘pembanjaran’ bermula daripada kedatangan seorang saudagar bernama Ampu Jatmika di Pulau Hujung Tanah. Keturunannya kemudian mendirikan Kerajaan Negara Dipa, Negara Daha dan Kesultanan Banjarmasin.

“Dalam hikayat itu ditemui istilah-istilah yang ada menyebut perkataan ‘Banjar’ yang pada umumnya bermakna wilayah kesultanan di mana kerajaan dan penduduknya dikenali sebagai orang Banjar dan rajanya disebut Raja atau Sultan Banjar,” katanya.

Kemudian katanya,pengaruh kesultanan Banjar telah berkembang meliputi gabungan seluruh wilayah yang pada hari ini dikenali sebagai provinsi Kalimantan Selatan, Kalimantan Tengah dan sebahagian Kalimantan Timur, bahkan ada yang melibatkan provinsi Kalimantan Barat.

Tags: adat, etnik, tokoh
Subscribe

Posts from This Journal “adat” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments