kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Orang Banjar 
garang dan tegas, Migrasi pada abad ke-19

Migrasi pada abad ke-19

PENGHIJRAHAN masyarakat suku Banjar ke Tanah Melayu berlaku dalam beberapa gelombang besar pada pertengahan abad ke-19 sehingga awal abad ke-20. Melalui proses itu, ada antara mereka meninggalkan Kalimantan Selatan menuju ke Pulau Jawa dan Sumatera.

Menurut bekas Pensyarah Antropologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohamed Salleh Lamry, antara tujuan orang Banjar bermigrasi ke Tanah Melayu ketika itu adalah untuk merebut peluang ekonomi yang terbuka luas khasnya dalam sektor perladangan dan membuka tanah-tanah baharu yang dianjurkan pihak British.

“Pada waktu itu, wilayah Kalimantan Selatan dijajah oleh Belanda. Jadi, penjajah ketika itu mengenakan pelbagai tekanan kepada penduduk di situ termasuk bebanan cukai yang terlalu tinggi serta layanan buruk kepada rakyat,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Mohamed Salleh yang mengkaji mengenai orang Banjar berkata, sebelum itu, telah berlaku juga penghijrahan masyarakat Banjar ke Pulau Sumatera. Pada 1780, orang Banjar yang menyokong seorang bangsawan Banjar bernama Pengiran Amir meninggalkan kampung halaman apabila pemimpin mereka itu kalah dalam perang saudara yang berlaku menentang Raja Usurpatur Pangeran Tahmidullah.

Kemudian pada 1862, Perang Banjar membabitkan penyokong Pangiran Antasari juga terpaksa melarikan diri dari pusat pemerintahan Banjar di Kota Martapura kerana Belanda telah berjaya menguasai kota-kota besar wilayah kerajaan Banjar.

“Dipercayai orang Banjar sudah mula datang ke Tanah Melayu sejak tarikh ini. Tetapi tarikh paling awal penghijrahan tidak dipastikan,” katanya.

Katanya, orang Banjar dikatakan mula berhijrah ke satu tempat bernama Tongkal di Pantai Timur Pulau Sumatera dan kemudian ada yang menyeberangi Selat Melaka sebelum menjadikan Tanah Melayu sebagai tempat tinggal mereka.

“Salah seorang pembesar Banjar yang terawal sampai ke Tanah Melayu ialah Gusti Anang. Beliau dikatakan datang ke Tanah Melayu sekitar 1880-an dan mula-mula tinggal di Batu Pahat, Johor kemudian berpindah ke Perak sebelum meninggal dunia pada 1973,” katanya.

Menyentuh mengenai lokasi, Mohamed Salleh berkata, pada hari ini, orang Banjar banyak tinggal di sekitar Teluk Intan dan Bagan Datoh di Perak, Sabak Bernam di Selangor dan Batu Pahat di Johor.

“Mereka terus menetap di Tanah Melayu setelah berusaha membuka tanah dan kampung halaman. Dengan itu, kawasan yang menjadi tumpuan migrasi orang Banjar pada zaman sebelum Perang Dunia Kedua seperti Kerian dan Perak Tengah, Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Batu Pahat terus kekal sebagai penempatan utama mereka sehingga kini,” katanya.

Katanya, menurut satu kajian pada pertengahan 1970-an, orang-orang Banjar keturunan Pangiran terdapat di Teluk Intan sementara yang berketurunan Gusti pula masih terdapat di Bagan Datoh, Sabak Bernam dan Batu Pahat.

Kemudian pada awal abad ke-20, orang Banjar sekali lagi melakukan migrasi secara besar-besaran ke Pulau Sumatera. Kematian Sultan Muhammad Seman yang menjadi raja di Banjar ketika itu di tangan pihak Belanda menyebabkan rakyat wilayah itu meninggalkan kampung halaman kerana tidak mahu hidup di bawah cengkaman penjajah.

Ini adalah masa yang sama dengan penghijrahan sebahagian besar orang Banjar lain yang terus ke Tanah Melayu ketika itu.

Mohamed Salleh turut tidak terlepas menceritakan mengenai arwah datuknya yang turut berhijrah dari daerah Banjar ke Tanah Melayu ketika itu. Katanya, arwah datuknya, Andin Amin ketika itu datang bersama keluarganya ke Selangor sebelum berpindah ke Johor untuk membuka ladang.

Dia kemudian kembali semula dan menetap di Jeram, Selangor sambil mengusahakan ladang kelapa ketika itu.

Katanya, rata-rata, masyarakat Banjar yang datang ke Tanah Melayu melakukan pekerjaan seperti berladang, bercucuk tanam dan menanam padi. Malah, generasi Banjar pada hari ini juga dapat dilihat masih mengekalkan pekerjaan seperti itu terutamanya menanam padi.

Dari segi agama Islam, Mohamed Salleh berkata, orang Banjar yang berasal dari wilayah Kalimantan Selatan menganut agama Islam sejak sekian lama yang dipercayai mula dibawa masuk dari Sumatera.

Beliau berkata, perkembangan agama Islam di wilayah itu agak kuat sehingga melahirkan beberapa tokoh agama terkenal dan terbilang seperti Syeikh Muhammad Arshad Al-Banjari, Syeikh Abdul Hamid Abulung Al-Banjari, Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Abdullah Al-Banjari dan Amad Zuhdiannor.

Sementara di Malaysia, tokoh agama seperti Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, bekas Mufti Kedah, Syeikh Hussein Al-Banjari, bekas Mufti Selangor, Datuk Ishak Baharom serta Ulama Tasawuf, Muhammad Saman Muhammad juga merupakan keturunan suku Banjar.

Katanya, seperti di Jawa dan Sumatera, wilayah Kalimantan Selatan terutama beberapa daerah seperti Banjarmasin dan Martapura menjadi pusat perkembangan agama Islam yang utama.

Mengenai migrasi pada masa kini, Mohamed Salleh berkata, masih berlaku penghijrahan masyarakat Banjar keluar dari wilayah Kalimantan Selatan, namun tidak ada yang ke Semenanjung Malaysia.

“Ramai yang berhijrah kini tertumpu ke Timur Tengah, Sabah, Sumatera dan Jawa. Tetapi hampir tiada lagi yang ke Semenanjung Malaysia. Ramai yang pergi ke Timur Tengah untuk bekerja dalam sektor-sektor yang memerlukan ramai pekerja, selain menawarkan gaji lumayan,” katanya.


Orang Banjar 
garang dan tegas

ANTARA
karekter orang Banjar adalah mereka dikenali sebagai orang yang garang dan tegas. Mungkin gelaran itu diberi kerana dikatakan ada di antara mereka berperwatakan kasar.

Hal ini mungkin disebabkan faktor keadaan di wilayah Kalimantan Selatan yang sejak dahulu sering berdepan dengan peperangan dan pelbagai tekanan sehingga memaksa suku itu bersedia dari segi mental dan fizikal untuk mempertahankan diri.

“Namun bukan semua yang mempunyai karekter sedemikian. Banjar Karuak mungkin lebih tegas berbanding suku Banjar Alai yang lebih lemah lembut,” jelas bekas Pensyarah Antropologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohamed Salleh Lamry yang mengkaji mengenai masyarakat Banjar.

Katanya, Perang Sungai Manik di Perak yang berlaku sekitar 1940-an menunjukkan sifat orang Banjar yang tegas melawan musuh (komunis).

Orang Banjar juga terkenal dengan sifat berpegang teguh pada ajaran agama Islam, selain mengamalkan cara hidup yang sederhana. Maka tidak hairan ramai ulama-ulama dan tokoh agama lahir dari dalam kalangan masyarakat Banjar sejak sekian lama.

Selain berkemahiran dalam bercucuk tanam, orang Banjar mahir berladang dan berniaga kerana mereka tidak gemar bekerja makan gaji. Tetapi, di Malaysia, keadaan itu mungkin sudah berbeza memandangkan generasi orang Banjar kini sudah mempunyai pelbagai kemahiran lain, setaraf dengan kaum lain.

“Jika di daerah Banjar di Kalimantan Selatan, boleh dikatakan masyarakat Banjar rata-rata bertani dan melakukan aktiviti di air seperti menangkap ikan, berniaga dan sebagainya,” katanya.

Masyarakat Banjar di Malaysia sudah berkembang dan sama maju dengan masyarakat dan suku kaum yang lain. Mereka sudah tidak hidup berkelompok seperti dahulu lagi dan lebih terbuka serta bercampur gaul dengan semua lapisan masyarakat.

Pengkaji budaya Banjar yang juga seorang penulis, Wajidi Amberi berkata, kehidupan orang Banjar di Kalimantan Selatan lebih rapat dengan budaya sungai iaitu kehidupan yang berasaskan aktiviti di atas sungai.

Ini terbukti dengan kewujudan aktiviti dan pasar terapung yang sememangnya terkenal di wilayah itu.

Menurut Wajidi, kampung-kampung tradisional orang Banjar banyak terdapat di sekitar sungai besar ataupun kecil seperti di sepanjang Sungai Barito dan cabangnya Sungai Nagara, Sungai Paminggir dan Sungai Martapura. Malah, sepanjang Sungai Nagara, terdapat pula Sungai Tabalong Kiri, Sungai Tabalong Kanan, Sungai Balago, Sungai Batang Alai, Sungai Amandit dan Sungai Tapin.

Oleh itu tidak hairan Daerah Banjar dikenali sebagai kota seribu sungai sehingga kini dan kehidupan masyarakatnya tidak dapat lari daripada aktiviti di sungai. Sungai menjadi peranan yang penting bagi kehidupan masyarakat Banjar sehingga kini, malah kepada sebahagian besar penduduk Kalimantan Selatan.

Budaya pasar terapung pula kata Wajidi, terjadi sejak dahulu kala apabila pedagang dan pembeli melakukan aktiviti di atas perahu. Ia menjadi satu aktiviti perdagangan yang penting dalam menjana ekonomi masyarakat Banjar.

Namun menurut Wajidi, kini aktiviti pasar terapung semakin berkurangan kerana sudah ramai berpindah menjalankan perniagaan di pasar. - Utusan Malaysia Rencana 13 Februari 2016 3:00 PM

Tags: adat, etnik
Subscribe

Posts from This Journal “etnik” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments