Sungai Manik sinonim dengan orang Banjar
KAMPUNG Sungai Manik yang terletak kira-kira 10 kilometer dari bandar Teluk Intan, Perak begitu sinonim dengan masyarakat Banjar di negara ini.
Sebahagian besar penduduk kampung itu merupakan etnik Banjar yang berhijrah dari Kalimantan Selatan sejak abad ke-19 lagi dan menetap terus di situ sehingga kini.
Penulis yang berpeluang berkunjung ke Kampung Sungai Manik baru-baru ini melihat sendiri kehidupan masyarakat Banjar di Perak yang masih mengekalkan adat dan tradisi orang Banjar.
Menurut Ketua Kampung Permatang, Parit 7 Sungai Manik, Abdul Halim Abdul Rashid (gambar), 55, kebanyakan orang Banjar di sekitar Perak datang ke negeri itu terutama di Sungai Manik ketika proses migrasi pada abad ke-19 dan menetap di situ untuk memulakan kehidupan baharu.
“Mereka bercucuk tanam terutama menanam padi. Sehingga hari ini, sawah padi merupakan pekerjaan utama di sini. Selain itu, ada yang berladang dan bertani serta berniaga. Malah, pada 1970-an, ramai juga masyarakat Banjar dari kampung ini berhijrah untuk menyertai projek penerokaan tanah-tanah Felda di seluruh negara,” katanya kepada S2 baru-baru ini.
DI Jambatan Sungai Tungku inilah berlaku peristiwa Perang Sungai Manik yang menyaksikan pengganas komunis dibunuh oleh penduduk Sungai Manik. |
Namun, sesuatu yang lebih menarik membuatkan penulis mengunjungi kampung itu adalah mengenai kisah Perang Sungai Manik yang melibatkan penduduk kampung itu yang terdiri daripada orang Banjar yang bergabung dengan orang-orang Melayu asal di situ bagi menentang keganasan komunis yang bermaharajalela di situ sekitar 1940-an sehingga 1960-an.
Menurut Abdul Halim, sejurus selepas tentera Jepun menyerah kalah di Tanah Melayu, pengganas komunis sempat menguasai Tanah Melayu walaupun tidak lama. Ketika itu, Sungai Manik menjadi antara kawasan yang dikuasai komunis yang mengancam penduduk setempat.
“Di kampung inilah bermulanya markas yang menghimpunkan penduduk kampung berpakat untuk menyerang pengganas komunis. Orang-orang berketurunan Banjar telah bertindak menyatukan seluruh penduduk kampung untuk menyerang komunis yang menguasai Sungai Manik serta kawasan sekitarnya,” katanya.
Parti Komunis Malaya (PKM) ketika itu rancak merekrut anggotanya dan penduduk kampung tersebut antara kawasan yang menjadi sasaran mereka. Walaupun ramai penduduk kampung tidak mahu menyertainya, ada juga mereka yang terpengaruh dengan hasutan PKM itu.
“Jika hendak diceritakan keganasan komunis di sini waktu itu, memang tidak habis. Keganasan mereka satu tragedi hitam buat kampung ini. Tetapi kerana kuatnya semangat dan kekentalan penduduk kampung, pengganas komunis berjaya dihapuskan waktu itu,” katanya.
Beliau berkata, antara tokoh di kampung itu yang disegani ialah Tuan Guru Haji Bakri yang sentiasa menjadi sebutan di kampung itu. Kerana ketinggian ilmu agamanya, tokoh itu sentiasa menjadi rujukan penduduk kampung yang memerlukan bantuan dan pertolongan sewaktu saat genting kampung itu dikuasai pengganas komunis suatu ketika dahulu.
Menurutnya, satu kisah bagaimana sekumpulan penduduk kampung berketurunan Banjar berjaya membunuh beberapa pemimpin komunis yang bermarkas di Sungai Manik masih lagi diceritakan kepada generasi muda di situ sehingga hari ini.
“Ketika itu, setelah kematian seorang anak murid Tuan Haji Bakri dikenali sebagai Utoh Putih yang mempunyai kehandalan melawan musuh kerana dibunuh komunis, penduduk kampung telah berkumpul dan berpakat untuk membalas dendam serta menghapuskan kekejaman pengganas komunis.
“Kebetulan, sebelum itu, pihak pengganas komunis telah meminta agar beberapa wanita di kampung itu diserahkan kepada mereka untuk bekerja di dalam hutan. Jika tidak, penduduk kampung diancam dibunuh komunis,” katanya.
Maka, penduduk kampung berpakat menjadikan beberapa pemuda Banjar sebagai umpan untuk menjerat ketua-ketua komunis itu dengan cara menyamar menjadi perempuan.
Kisah Perang Sungai Manik turut diceritakan oleh Asmuni Abdul Rahman, 90, yang pernah berguru dengan Tuan Guru Haji Bakri ketika itu. Menurutnya, setelah penyamaran berjaya, pemuda-pemuda tersebut yang bersenjatakan parang dapat membunuh kesemua ketua komunis tersebut. Malangnya, kejayaan tersebut sebenarnya membuatkan pengganas komunis berterusan menyerang kampung itu tidak lama kemudian.
Katanya, untuk beberapa bulan, Kampung Sungai Manik bagaikan hidup di dalam neraka apabila sentiasa diancam pengganas komunis yang membunuh ramai penduduk kampung itu. Ini kerana, usaha komunis untuk menarik kemasukan lebih ramai anak-anak kampung menjadi anggota komunis masih belum tercapai.
Akhirnya, komunis mengalah dan lari meninggalkan kawasan itu setelah ramai anggotanya berjaya dibunuh penduduk kampung.
Peristiwa tersebut benar-benar meninggalkan kesan hitam buat penduduk kampung yang terkesan dengan keganasan komunis. Namun, kekuatan semangat orang Banjar yang bersatu-padu dengan orang Melayu di sekitar kawasan itu berjaya menghapuskan kekejaman tersebut.
Sementara itu, Penghulu Mukim Sungai Manik, Jamaluddin Mohd. Nor berkata, terdapat tujuh kampung utama yang menjadi penempatan masyarakat Banjar di Sungai Manik sehingga ke hari ini.
Katanya, kesemuanya menjalankan aktiviti bersawah padi yang menjana pendapatan utama penduduk kampung itu. Sehingga kini katanya, pesawah di Sungai Manik sudah maju dan rancak menjalankan pekerjaan dengan bantuan teknologi terkini sawah padi sehingga mampu menghasilkan pengeluaran padi yang setanding negeri lain.
Hidangan tradisi tidak dilupakan
Wadai kepeng atau Bubur Gayam terkenal sebagai hidangan dalam masyarakat Banjar. gambar - kgpermatang.pi1m.my |
Menurut Masniah Arim, 52, antara makanan yang masih popular dalam kalangan masyarakat Banjar di Malaysia adalah wadik iaitu ikan yang diperam bersama beras. Wadik ini kemudian akan digoreng seperti ikan masin.
“Sebenarnya, wadik ini, kalau kita di Malaysia lebih popular dengan nama pekasam. Rupa dan cara buat serta memasak sama seperti pekasam,” katanya.
“Bubur gayam begitu sinonim dengan majlis perkahwinan orang Banjar. Bubur ini terdiri daripada dua jenis adunan tepung yang digentel bersama kelapa parut dan satu lagi tanpa kelapa parut.
“Bubur gayam ini juga dipanggil wadai kiping. Ia dimasak bersama santan, gula merah, daun pandan, garam dan kadang-kala dimasukkan durian,” katanya.
Kalakatar iaitu sejenis bingka merupakan makanan tradisi Banjar yang masih dihidangkan sehingga ke hari ini. gambar - kgpermatang.pi1m.my - |
Terlalu banyak untuk disenaraikan tetapi makanan tradisi lain yang biasanya dihidangkan termasuklah ampal (masakan ayam atau daging dipotong besar-besar), pais ikan (ikan bakar bersambal), bubur sum sum, tapai pulut, pulut pasung, wajik, kuih cincin, kuih sagu, apam baras, kuih dangai dan ikan haruan karing masak basahang.
Menurut Masniah yang masih lagi memasak hidangan suku Banjar, ada antara makanan tradisi ini turut menjadi hidangan masyarakat Melayu yang lain.
“Seperti ikan haruan, orang Banjar sangat menggemari hidangan ikan haruan. Setiap masakan mereka pasti ada ikan ini,” katanya.
Selain itu, kuih surabi yang diperbuat daripada tepung beras, yis dan air gula merah juga akan dihidangkan ketika ada peristiwa kematian. Ia sering disajikan apabila ada sesuatu kematian bagi menjamu tetamu yang hadir di rumah keluarga yang terlibat. Namun, kuih itu kini dimasak tanpa mengira waktu atau peristiwa.