?

Log in

No account? Create an account

Previous Entry | Next Entry

Cerita dari kampung

POJOK kali ini Kunta Kinte tulis waktu Subuh di rumah emak Kunta Kinte di Kedah. Sekarang musim kemarau. Siang panas tapi berangin.

Malam dingin. Zaman dulu, musim ini dipanggil musim timur sebab angin bertiup dari arah timur.

Pada waktu inilah kita tuai padi, main wau, keringkan parit dan paya untuk memungut ikan, buat kenduri kahwin, berpesta dan perbaiki rumah.

Menuai pada orang Kedah kata mengerat. Kita tanam padi setahun sekali pasal bergantung kepada air hujan.

Masa itu, bila orang Kedah dan Perlis menuai, ramailah pekerja bermusim dari Kelantan dan wilayah-wilayah selatan Thailand datang ambil upah sebab tak cukup tenaga buruh.

Waktu itu Kunta Kinte belajar 'ngecek' Kelantan. Boleh kata semua kerja kena buat dengan tangan daripada tuai kepada banting, bersih dan keringkan padi, masukkan padi dalam guni, angkut balik ke rumah, masukkan ke dalam jelapang atau hantar ke kilang.

Sawah keluarga Kunta Kinte ada yang jauh dari rumah. Jadi antara tugas Kunta Kinte dan adik Kunta Kinte yang tertua adalah jaga padi yang sudah dituai takut dicuri atau dirosakkan kerbau dan lembu. Ini tugas waktu malam.

Rasa takut campur seronok. Di satu pihak kita bebas dan boleh tidur dan bangun sesuka hati berbumbung langit dan berlampu bulan serta bintang.

Takut pasal itu ada penyamun yang kerjanya samun orang tunggu padi. Sebentar tadi sebelum mula menulis, Kunta Kinte keluar ke tepi sawah dan mendongak ke langit melihat jutaan bintang berkerlipan.

Cuma sekarang kerlipan bintang diganggu oleh lampu jalan manakala keheningan pagi diganggu bunyi kenderaan bermotor.

Sekarang Kunta Kinte mula didendangkan oleh kicauan merbah, murai, kelicap dan raja udang. Sebentar lagi burung bangau akan mula terbang dari barat ke timur untuk mencari makan. Sedikit sebanyak suasana desa masih ada.

Hasil pendapatan tak banyak

Kegiatan bersawah tak macam dulu lagi. Semuanya guna mesin. Tuan tanah pun jarang turun ke sawah. Semua diupah atau dipajak.

Jadi tak hairanlah kalau hasil pendapatan mereka lepas menuai tak banyak mana. Silap-silap rugi. Maaf cakaplah kalau Kunta Kinte kata, agaknya pasal itulah ramai orang kampung tak sihat dan tak kuat macam dulu.

Dulu, terbit fajar terus ke sawah atau kebun getah. Lepas Zuhur baru balik makan dan solat. Lepas Asar keluar lagi.

Dekat Maghrib baru balik. Makan banyak, kerja kuat, badan sihat. Bila sembang dengan tetamu di sebuah majlis kenduri, ramai yang cerita tak sihat. Sakit sana, sakit sini.

Ramai sembahyang duduk atas kerusi. Orang tua dah tak ramai lagi. Malah banyak yang lebih muda daripada Kunta Kinte dah mati atau terlantar sakit.

Ramai menderita pakej tiga penyakit - kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung yang dulu kita kata penyakit orang kaya.

Orang kampung tak kaya tapi mereka menderita penyakit orang kaya akibat perubahan gaya hidup dan kurang jaga kesihatan.

Makan tak pantang, kerja kurang dan senaman jarang-jarang. Kalau kita tengok daripada pandangan mata kasar, orang kampung nampak tak berapa susah.

Ada yang ada kereta atau sekurang-kurangnya motosikal.

Hidup semakin senang

Memang betul. Kalau Kunta Kinte banding dengan zaman Kunta Kinte kanak-kanak pada tahun 1950-an dan 1960-an dulu, memang orang sekarang cukup makmur.

Dulu memang susah. Kalau miskin nak makan pun tak cukup. Nasi dengan garam dan ikan salai pun dah kira sangat baik.

Pakaian koyak-rabak. Boleh kata hidup dengan minta sedekah dan belas kasihan orang. Hari ini tak ada lagi orang macam itu.

Tapi mereka mengeluh pasal hal lain pula. Pasal padi tak menjadi. Penyakit dan musuh bertambah. Harga getah murah.

Harga barang naik. Anak cucu tak ada kerja. Biasiswa dan pinjaman pelajaran susah nak dapat. Masa berlalu, zaman berubah.

Ada yang dirundung nostalgia zaman dulu kala. Ada pula yang mematikan legasi, melupai sejarah. Agaknya itulah cerita manusia. Wallahuaklam.
Kunta Kinte  Berita Harian Kolumnis Sabtu, 13 Februari 2016 @ 6:02 AM

Tags:

Latest Month

June 2019
S M T W T F S
      1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
30      

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow