kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Dadah: Ramai tak faham konsep 'halalkan' ganja

Saya tertarik dengan cadangan supaya kerajaan mengkaji semula dan meminda status pengharaman ganja diutarakan oleh Ahli Parlimen Belia, Muhamad Ridhwan Muhamad Rosli dan kemudian disokong Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Bahagian Pandan, Syed Rosli Jamalullail.

Lebih menarik apabila cadangan itu mendapat reaksi Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Pengasas Pengasih, Datuk Mohd Yunus Pathi. Mohd Ridhwan dan Syed Rosli mendakwa ganja tidak 'dianggap sebagai dadah' oleh golongan muda.

Malah ia dikata mampu memberi ketenangan serta menghilangkan stres. Mereka juga yakin langkah itu mampu mengurangkan kadar jenayah seperti yang berlaku di Belanda (di mana ganja dibenarkan) kerana bahan itu tidak menjadikan individu agresif atau hilang pertimbangan seperti dadah berbahaya lain.

Rakyat Malaysia menyambut cadangan ini dengan reaksi bercampur. Maklum balas menunjukkan ramai belum faham konsep 'menghalalkan' ganja seperti dicadangkan.

Dadah musuh nombor satu

Mungkin mereka yang mencadangkannya pun belum begitu faham rasional dan justifikasi penggunaan ganja di sesetengah negara Barat serta kesesuaian langkah sama di negara ini.

Kita tidak boleh terburu-buru membuat sebarang keputusan kerana di negara Barat pun, penggunaannya masih belum menyeluruh.

Dadah adalah musuh nombor satu di Malaysia. Hingga kini, kita masih gagal mencari formula berkesan menangani isu berkaitan dengannya.



Dadah jenis ganja dan syabu yang dirampas. - Gambar hiasan



Penggunaan heroin masih berleluasa. Kebelakangan ini, pasaran tempatan dibanjiri dengan pelbagai dadah sintetik.

Itu belum lagi dikira  masalah penyalahgunaan 'vape', ketum dan shisha.

Jadi tidak hairan kalau kerajaan enggan memberi perhatian kepada cadangan 'menghalalkan' ganja ini kerana masanya sangat tidak sesuai.

Ganja (marijuana) berasal daripada beberapa spesies tumbuhan kanabis seperti Cannabis Sativa, Cannabis Indica dan Cannabis Inderalis. Ia mengandungi lebih 460 bahan kimia.

Tiga bahan utama yang memberikan kesan kepada manusia ialah 9-delta- tetrahidrocannabinoids, cannabinol dan cannabidiol.

Tumbuhan ini mempunyai banyak aplikasi dalam perubatan tradisional, sama seperti pokok ketum. Ia diguna sebagai ubat penahan sakit, penawar demam panas dan bahan menambah selera makan.

Ganja juga dikatakan berkesan bagi mengurangkan sembelit, kegelisahan, kekejangan otot dan merawat penyakit sawan. Malangnya, ganja lebih popular di Malaysia sebagai bahan disalah guna.

Penagih mengambil ganja dengan tujuan mendapat high atau euforia, menghilangkan malu atau memudahkan 'interaksi sosial' serta mengurangkan stres atau tekanan.

Hakikat sebenar ialah ia tidak mengubat stres, tetapi sekadar mengaburi atau mengurangkan simptom semata-mata.

Banyak kajian menunjukkan keburukan mengambil ganja. Implikasi dan kesannya bukan sahaja dari segi ketagihan, malah pelbagai aspek.

Ganja boleh menyebabkan gangguan memori jangka pendek, konsentrasi, imbangan dan koordinasi.  Kesannya ke atas sistem imunisasi manusia mengurangkan daya tahan terhadap infeksi atau jangkitan kuman.

Kesan kepada IQ

Lebih membimbangkan ialah pengambilan ganja pada umur belasan tahun akan mengurangkan kecerdasan minda (IQ) dan meningkatkan risiko mendapat kecelaruan jiwa jenis psikotik apabila dewasa.

Kajian dijalankan di Amerika Syarikat, 95 juta rakyatnya berumur 12 tahun ke atas pernah menggunakan ganja sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

10.7 peratus rakyat Kanada berumur 15 tahun ke atas dilapor menggunakan ganja dalam tempoh satu tahun lalu.

Di Malaysia, ganja menduduki tempat ketiga dalam senarai penggunaan dadah paling popular selain opiat dan metamphetamin (Statistik Agensi Antidadah Kebangsaan 2014).

Jika dikaji secara mendalam, ganja sebenarnya kurang popular pada masa ini berbanding era 60-an dan 70-an. Ramai anak muda beralih kepada heroin dan dadah sintetik.

Ketum mengambil alih tempat ganja sebagai 'pintu permulaan ketagihan'.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, ganja kembali mendapat perhatian dunia terutama kerana keberkesanannya dalam mengubat beberapa penyakit tertentu.

Kajian di Barat termasuk Amerika Syarikat, Kanada dan England, ganja didapati efektif menghilangkan rasa loya dan muntah dalam kalangan pesakit kanser, merangsang selera makan pesakit AIDS, mengurangkan ketegangan dan kesakitan pesakit sklerosis berbilang (multiple sclerosis).

Ia juga dikatakan berkesan sebagai ubat penahan sakit untuk pesakit kanser terutama bila digabungkan dengan ubat penahan sakit.

Terdapat juga kajian menunjukkan ganja berkesan merawat jenis sawan tertentu (Dravet Syndrome). Atas alasan inilah, banyak negara membenarkan penggunaan ganja. Antaranya Amerika Syarikat, Belanda, Kanada, England, Australia, Israel, Republik Czech dan Portugal.

Apa yang jelas, pindaan undang-undang yang membenarkan penggunaan ganja bukanlah menyeluruh. Ia terhad untuk tujuan perubatan semata-mata.

Dalam erti kata lain, ganja dibenarkan bukan untuk rekreasi atau untuk disalah guna.

Rawatan terhad

Di sinilah kekhilafan dan salah faham dalam kalangan mereka yang ingin melihat ganja dihalalkan di negara ini. Jika akta membabitkan ganja diubah, ia tetap tidak mengubah statusnya untuk kegunaan umum.

Ganja tidak boleh ditanam secara persendirian, tetapi perlu dihasilkan dalam keadaan terkawal. Bentuk ganja digunakan untuk rawatan pula bukan daun daripada pokok ganja, sebaliknya terhad kepada ganja sintetik yang diubah kepada bentuk pil, suntikan atau semburan (aerosol) seperti digunakan beberapa negara di Eropah.

Langkah ini dibuat bagi memastikan jaminan kawalan mutu produk dihasilkan. Bahan kimia aktif daripada ganja diestrak dan bahan tidak berguna atau boleh membawa mudarat diasingkan.

Oleh yang demikian, jumlah bahan aktif (dos) dibekalkan kepada pesakit boleh dikawal dan sentiasa konsisten bagi setiap pil atau semburan diperoleh.

Ia berbeza dengan penggunaan daun daripada pokok kanabis yang dipetik kerana ia masih mempunyai pelbagai bahan kimia yang boleh membawa bahaya, mempunyai dos atau kandungan bahan aktif berbeza dan mutu pengeluaran yang tidak terjamin jika ditanam dalam keadaan tidak terkawal.

Kesimpulannya, penggunaan ganja dalam bidang perubatan masih pada peringkat kajian. Itupun terhad kepada penyakit tertentu dan dalam bentuk berbeza daripada digunakan dalam kalangan penagih.

Usah terlalu ghairah memberi cadangan menghalalkannya jika belum memahami secara mendalam mengenainya. Kepentingan umum dan kesejahteraan rakyat perlu diambil kira.

Banyak lagi isu belum selesai. Mungkin lebih baik, tenaga dan masa pemimpin muda ini difokuskan ke arah membasmi dadah berbanding usaha dan cadangan menggalakkannya.
Tags: dadah, ketum
Subscribe

Posts from This Journal “dadah” Tag

  • Kanabidiol sumber ubat

    Kanabis ( Cannabis) adalah dikatakan sebagai sejenis ‘ dadah’ hasilan tumbuhan ‘hemp India’ seperti Cannabis sativa and…

  • Marijuana bunuh sel kanser: Kajian

    APAKAH perkara pertama yang difikirkan jika anda mendengar perkataan marijuana? Hukuman gantung sampai mati atau ketagihan, mungkin perkara utama…

  • Rokok elektronik wajar dibenarkan semula

    Fenomena vape pernah menjadi tumpuan pelbagai pihak terutamanya Kementerian Kesihatan yang menentang keras aktivitinya sekitar penghujung tahun…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments