Memetik makna
Baru-baru ini saya mendapat e-mel daripada pembaca, seorang pegawai tinggi kerajaan yang tinggal di Persint 10 Putrajaya. Beliau mendakwa ada mengikuti tulisan saya dalam kolum Anekdot Ahad sebelum ini. Dalam e-mel yang ringkas itu beliau mencatat, “Tuan, tulislah benda yang bagi manfaat kepada akal asalkan jangan politik sebab kami sudah penat. Tulis kisah haiwan pun tak apa.”
Saya mendapat satu tugasan (assigment) yang sukar. Takkan hendak tulis kisah sang kancil dengan buaya atau arnab dengan kura-kura. Cerita itu semua orang sudah tahu. Mujur saya teringat kepada kertas kerja Inon Saharuddin (1983), Tradisi Lisan Alor Gajah: Satu Perbicaraan Ringkas. Saya pernah baca kertas kerja itu. Inon memperkatakan tentang cerita rakyat Ungka Siamang yang dikembangkan daripada generasi kepada generasi secara lisan.
Dalam cerita Ungka Siamang yang dikumpul oleh Inon ini, kisah di sebuah desa ada sepasang teruna dan dara, Puteri Jeklan dan Malim Bungsu. Malim Bungsu terpaksa pergi merantau meninggalkan Puteri Jeklan. Puteri Jeklan meyakinkan Malim Bungsu, biarlah alir sungai yang berubah tetapi bukan hatinya. Maka Puteri Jeklan pun bersumpah kalau dia mungkir janji, dia akan bertukar menjadi ungka siamang.
Kebetulan sepeninggalan Malim Bungsu, Puteri Jeklan dipaksa kahwin dengan orang lain. Ketika membuat persiapan majlis perkahwinan, Puteri Jeklan melompat keluar dari rumah dan bergayut dari dahan ke dahan hingga hilang ke dalam hutan. Dia sudah menjadi ungka siamang. Masa bergayut di atas pokok di tepi laut dengan deraian air mata Puteri Jeklan menyanyi:
Berubah tanamlah padi
dah nak tuai, nan bunga lalang
berubah padahnya kami
kami menjadi ungka siamang.
Kerana tragisnya kisah si dara yang terpaksa menjadi ungka siamang, saya pun memenuhi permintaan pembaca tadi untuk menulis tentang ungka. Ungka (gibbon dalam bahasa Inggeris) atau nama saintifiknya Hylobatidae adalah sejenis haiwan yang dilindungi kerana semakin pupus. Walaupun secara kasarnya ungka disangka monyet tetapi bukan monyet. Ungka adalah daripada keluarga mawas dan ini termasuklah cimpanzi dan orang utan. Ungka banyak terdapat di Asia terutama Asia Selatan dan Asia Tenggara.
Ungka pula terbahagi kepada empat jenis iaitu Hylobates, Hoolock, Nomascus dan Symphalangus. Bagaimanapun jenis ungka yang terdapat di negara ini ialah Symphalangus dan Hylobates. Walaupun tidak pernah mendapat pendidikan dalam bidang zoologi, tetapi saya gemar memerhati, membaca dan makna tentang tabiat haiwan sejak kecil semasa mengikut ayah ke hutan untuk mencari rebung.
Saya juga berminat dengan ungka kerana sejak kecil terdedah dengan epik Ramayama. Ayah selalu bercerita tentang kegagahan dan kesaktian kera putih bernama Hanuman dalam Ramayana yang sudah disesuaikan dalam budaya Melayu. Malah Hanuman juga menjadi watak wajib dalam permainan wayang kulit tradisional di kampung saya.
Dalam konteks sekarang, Hanuman adalah robot Tranformers yang meresap dalam pemikiran kanak-kanak. Kuasa sihirnya luar biasa. Apabila ternampak ungka melompat dari dahan ke dahan di hutan, ayah memberitahu itulah suku sakat Hanuman dalam Ramayana. Tetapi kata ayah, haiwan itu sudah tidak ada kuasa sakti macam Hanuman yang menyelamatkan Sita Dewi.
Kerana tidak ada kuasa sakti, maka ada ungka yang menjadi mangsa ditembak oleh manusia kerana memakan buah-buahan di dusun. Saya bertanya ayah, kenapa Hanuman tidak datang menyelamatkan ungka daripada undang-undang manusia yang zalim? Kata ayah, ini bukan zaman Hanuman. Kalau ada Hanuman pun sudah tidak ada kuasa sakti. Sudah luput tarikh.
Walaupun saya tidak pasti benarkah Hanuman itu suku sakat ungka tetapi gelagat haiwan itu sendiri sangat mencuitkan hati. Ada sifat kasih sayang kepada anak-anak dan sanggup mempertahankan daripada sebarang ancaman. Ini bertentangan dengan sesetengah manusia yang diberi akal lebih tinggi malangnya kerap membuang anak sendiri.
Daripada kajian saya, ungka mengamalkan monogami iaitu mempunyai satu pasangan sahaja. Ungka bukan macam ayam jantan yang membolot berbelas-belas “isteri”, berkokok berderai-derai walaupun ekor bergelumang najis. Dengar kokoknya macam tidak percaya ekor bergelumang najis. Sosialisasi ungka mirip manusia, dalam kelompoknya ada anak-beranak, anak saudara dan bapa saudara. Yang menariknya ungka jantan akan tolong ungka betina menjaga anak. Kalau ada manusia jantan yang lupa anak isteri selepas menjadi kaya, malulah sikit dengan ungka jantan.
Sebab itulah saya tidak setuju dengan sesetengah orang yang cepat sangat berkata, “Perangai buruk macam haiwan.” Manusia berkata demikian kerana sesetengah mereka memang suka memperkecilkan pihak lain. Jadi, mereka pun memperkecilkan haiwan yang tidak ada kuasa memprotes.
Ungka betina mencurahkan sepenuh kasih sayang kepada anak yang dikendung ke mana-mana sahaja. Malah akan mempertahankan anaknya daripada segala macam ancaman. Saya tidak tahu hendak mengistilahkan ini sebagai apa? Adakah “perihaiwanan” atau “perikemanusiaan?”
Mengikut kajian, ungka adalah jenis haiwan bersosial, berkeluarga serta mempunyai jajahan takluknya sendiri. Cara ungka menunjukkan sesebuah kawasan jajahan takluknya adalah dengan menggunakan teriakan yang boleh didengar sejauh satu kilometer. Ungka lain yang menceroboh akan menerima padah. Kecualilah diadakan “persempadanan semula” kerana hutan semakin kecil akibat dirembat oleh manusia yang dapat konsesi balak.
Cuma satu sahaja sifat buruk ungka iaitu apabila jumpa dahan yang patah, pakat ramai-ramai mengenjut dahan yang patah itu sampai jatuh ke bumi. Ungka suka membuli ahli kumpulannya yang tidak berdaya dengan cara beramai-ramai menggoyangkan dahan hingga rakannya terjatuh. Apabila jatuh masing-masing ketawa terkekeh-kekeh seolah-olah merayakan kemenangan. Barangkali ungka tidak tahu dalam merayakan kemenangan, mereka juga akan hilang apabila habitat diceroboh dengan rakus atas nama pembangunan. - Ku Seman Ku Hussain Utusan Malaysia Rencana 28 Februari 2016 6:24PM