kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Panduan untuk dapat perhatian media

TING! TING!... Notis pada telefon pintar memberitahu ada e-mel masuk. Buka. Kenyataan akhbar. Baca. Jam ketika itu 9.20 malam. Abaikan. Esok, wakil dari organisasi yang menghantar e-mel bertanya mengapa tidak disiar kenyataan yang dikirimnya.

Dalam era di mana setiap orang yang memiliki akaun Facebook beriya-iya mahu menjadi wartawan (yang diklasifikasi sebagai wartawan jelmaan), wujud cabaran bagi pengamal media untuk menentukan kesahihan sesuatu berita dan paling penting, faktor `mencengkam’ atau tidak nilai berita. Istilah `mencengkam’ secara umumnya bermaksud berita yang diyakini akan memberi impak kepada sasaran pembaca, bukan sensasi semata-mata.

Tidak semestinya kenyataan media yang dikirim, pasti disiar oleh media massa arus perdana. Mungkin disebabkan faktor kandungan, faktor ruang untuk selitkan berita dan faktor masa iaitu halaman sudah disiapkan. Melainkan jika ia benar-benar menggegarkan seperti penangkapan, pemecatan dan pengharaman.

Kegagalan tersiarnya sesuatu berita itu, mungkin juga disebabkan faktor-faktor lain. Hal ini seseorang wakil organisasi seperti agensi perhubungan awam (PR) profesional atau unit komunikasi korporat (UKK) dalaman hendaklah peka tentang perubahan dalam tata kerja sesebuah editorial media.

Berikut adalah 10 panduan bagi mendapatkan perhatian media:

High & Mighty

Secara umumnya, wartawan yang waras tahu betapa pentingnya menjalin hubungan baik dengan `orang tengah’ iaitu agensi PR, UKK dan pegawai khusus menjaga hubungan media. Begitu juga sebaliknya. Amat tidak waras meletakkan individu yang ada sifat `High & Mighty’ menjaga media kerana pegawai sebegini tidak ada sentuhan peribadi atau keikhlasan untuk berhubung terus dengan media, sebaliknya sekadar memaksa orang bawahan pula menghubungi wartawan. Dan pegawai ini hanya muncul bila ada VIP. Sekadar tunjuk dia bekerja dan `penting’ semata-mata.

Berkenalan dengan media

Saban hari, media menerima purata 80 ke 100 kenyataan media yang dihantar menerusi e-mel dan faksimili (ya, masih ada mesin purba ini!) dan jemputan ke majlis antara 40-50. Memiliki persahabatan dengan media memberi anda kelebihan untuk dipilih, berbanding yang tidak dikenali dan yang langsung tidak ada rancangan hendak berkenalan.

Elak konfrontasi dengan media

Atas sebab-sebab tertentu, berlaku salah faham. Carilah jalan penyelesaian aman. Ini kerana pergeseran berpanjangan tidak memberi manfaat kepada sesiapa. Jadilah profesional. Benar, ada segelintir wartawan juga bersikap `super diva’ yang mahu tangannya dicium bagi memastikan berita disiarkan. Jika anda berdepan dengan wartawan sebegini, sila buat laporan rasmi kepada organisasi media terbabit. Jika anda biarkan keadaan sebegini, ia hanya menambah buruk hubungan jangka panjang.

Guna Facebook dengan bijak

Contoh: Seorang PR sering memohon dihantar wartawan ke majlis sidang media organisasinya. Pada masa yang sama, dalam posting Facebook peribadinya dia menghentam akhbar wartawan terbabit. Memang Facebook itu akaun peribadi tetapi ia menjadi umum kerana dibaca ramai wakil media lain. Apakah dia memanggil wartawan hanya kerana mematuhi arahan bos tetapi dalam hatinya amat membenci akhbar itu? Bila benda ini terbongkar, siapa yang malu?

Ketahui Deadline

Organisasi media arus perdana secara umumnya memiliki deadline yang hampir serupa kecuali media elektronik iaitu 6 petang. Jadi, pastikan kenyataan media sampai kepada organisasi media sebelum 6 petang. Sebenarnya, lagi awal lagi bagus. Peluang untuk tersiar mengecil mengikut kelewatan teks diterima.

Buat sidang media waktu pagi

Pengamal media tahu bahawa mengadakan sidang media di sebelah pagi akan mendapat liputan berganda, berbanding selepas 2 petang. Ini kerana acara pagi, akan sempat disiar slot berita tv pada tengahari.

Sediakan teks kenyataan mengikut bahasa akhbar

Bahasa Inggeris diguna meluas. Syarikat milik Melayu 100% pun ada yang lemah menyediakan teks berbahasa Malaysia. Memang wartawan dilatih untuk menjadi dwibahasa tetapi jika sesebuah organisasi menyediakan teks bahasa yang tepat, ia akan banyak membantu meringankan beban tugas wartawan yang menerima puluhan kenyataan akhbar setiap hari. Dan tentunya, menambah peratusan pemilihan.

Mengiklan

Dalam keadaan ekonomi semasa, ramai akan menyatakan bajet pengiklanan mereka dipotong. Bayangkan media menjawab balik kepada anda: ``kalau begitu berita awak pun kami potong’’. Langkah mengiklan, walaupun dengan bajet rendah berbanding tahun lalu adalah lebih baik daripada tiada langsung. Malah ia memberi kelebihan besar kerana media akan menyokong syarikat yang menyokong mereka daripada aspek pengiklanan.

Peka kepada acara semasa

Ada syarikat yang tidak peduli kepada acara semasa seperti pembentangan bajet dan sebagainya, yang menjamin halaman akhbar akan dipenuhi dengan berita berkaitan. Bila ini berlaku, apakah ada ruang untuk berita anda?

Jangan tawarkan pemanis

Samalah dengan hakikat ekonomi negara sekarang, memang semua merasai keperitan perbelanjaan hidup. Namun, ini tidak menjadi alasan untuk wartawan meminta pemanis, upah atau rasuah daripada orang yang diwawancara, dan janganlah menawarkan apa-apa bentuk pemanis kepada wartawan demi memastikan berita disiarkan. Jika berita itu ada news value dan elemen `mencengkam’ tentulah disiarkan. - Johardy Ibrahim Utusan Malaysia Rencana Merrepak28 Februari 2016 6:27 PM

Tags: media
Subscribe

Posts from This Journal “media” Tag

  • Hampir semua berita berbaur politik

    Kita terlampau berpolitik, setuju? oleh Merrepak 24 Mac 2019 adalah dipersetujui. Setiap hari tentunya kita akan membaca dan memperolehi berita…

  • Print media still has a role

    Avoid straining your eye and outlook and ‘never say die’ is maybe what I understand of the writing by the NST group editor, Rashid Yusof…

  • Media cetak masih relevan

    Elakkan dari menyakitkan mata dan pandangan anda dan 'jangan mengalah' mungkin apa yang saya faham tentang penulisan oleh editor kumpulan…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments