kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Mewujudkan kepuasan dalam bekerja

DALAM dunia pekerjaan sejak dahulu hingga kini, sesete­ngah daripada kita asyik me­rungut tentang pelbagai perkara. Gaji yang tidak cukup, kerja yang terlalu banyak, rakan sekerja yang tidak ‘sebulu’, ketua yang hanya pandai mengarah ataupun suasana kerja yang tidak kondusif.

Itu sebabnya ada dalam kalangan kita yang cuba mencari ‘ketenang­an’ dengan kerap keluar minum semasa bekerja, melayari Internet berjam-jam lamanya, leka berborak dengan rakan sekerja atau sampai ke tahap ponteng kerja sehingga sanggup menunjukkan majikan surat cuti sakit palsu! Semua ini adalah indikator yang menunjukkan produktiviti kerja seseorang itu telah menurun kerana kepuasan kerjanya tidak dipenuhi.

Ini kemudiannya memberi kesan negatif terhadap perkembangan kariernya dan juga kemajuan organisasi. Pekerja yang menunjukkan masalah sebegini mungkin akan dikenakan tindakan disiplin atau ke tahap yang lebih teruk dibuang kerja.

Dalam dunia pengurusan sumber manusia, hal ini sangat berkait rapat dengan kepuasan kerja. Istilah ke­puasan kerja boleh difahami dengan maksud ‘keadaan emosi yang menyenangkan hasil daripada penilaian seseorang terhadap kehendak­nya yang selaras dengan apa yang ada dalam pekerjaannya’.

Ini bermakna unsur-unsur yang dikehendaki oleh seseorang itu mestilah wujud di tempat kerjanya jika dia mahu berasa puas semasa bekerja. Zahirnya, puas atau tidak seseorang itu sangat bergantung kepada apa orientasi diri atau matlamatnya dalam bekerja.

Kalau orientasi diri seseorang berfokus kepada gaji, maka dia mengharapkan agar gaji yang diperolehnya besar atau setidak-tidaknya kena dengan kehendaknya. Kalau orientasi diri seseorang berfokus kepada keselesaan di tempat kerja, maka tempat kerja yang bersih, nya­man dan selesalah yang menjadi idamannya. Namun, tidak semua orang mempunyai orientasi diri yang sama, bahkan apa yang mempengaruhi kepuasan kerja seseorang juga berubah dari semasa ke semasa.

Berkaitan hal kepuasan kerja ini, sekumpulan penyelidik yang terdiri dalam kalangan staf kategori Pe­ngurusan dan Profesional (P&P) telah diberi ruang oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk melaksanakan kajian berkaitan menggunakan dana khas yang telah diberikan oleh pihak universiti.

Kajian ini berkisar kepada isu penggunaan kepakaran staf dan kaitannya dengan kepuasan kerja staf di USIM. Kakitangan P&P di USIM mempunyai latar belakang pendidikan daripada pelbagai bidang disiplin seperti sastera, sains sosial dan sains tulen manakala jawatan yang disandang boleh dikatakan sebagai tidak sealiran dengan bidang kepakaran.

Ada kemungkinan bidang pendidikan asal mulai ditinggalkan kerana tiada ruang atau peluang untuk dipraktik dan dimahirkan semula. Lalu muncul persoalan, adakah ka­kitangan berpuas hati dengan penggunaan kepakaran mereka oleh ­organisasi tempat mereka bekerja?

Selain itu, terdapat juga kakita­ngan yang mempunyai minat dan kebolehan yang diiktiraf oleh pihak tertentu berkenaan kebolehan yang tiada kaitan dengan jawatan semasa. Misalnya, memberi ceramah agama atau motivasi, menjadi jurulatih sukan, menjadi sukarelawan dan sebagainya. Hal ini berlaku di mana-mana organisasi kerajaan mahu pun swasta. Hasil kajian ini mendapati staf P&P USIM mempunyai kepuasan kerja yang tinggi walaupun kepakaran mereka tidaklah digunakan sepenuhnya dalam konteks kerja semasa.

Kajian yang dilaksanakan oleh pihak staf USIM ini adalah salah satu usaha yang dibuat untuk me­rungkai faktor-faktor yang mempengaruhi tahap kepuasan kerja seseorang di organisasi. Faktor-faktor ini pula mempunyai pengaruh yang mungkin berbeza di organisasi lain, atau berbeza mengikut perubahan keadaan dan masa.

Jika dilihat dari aspek gaji pula, mungkin dapatannya akan menjadi berbeza. Ada orang sentiasa tidak berpuas hati dengan gaji yang diperolehnya. Ini kerana gaji yang diperoleh seseorang itu seringkali dianggap tidak mencukupi kerana kos kehidupan yang semakin membelit leher saban hari, terutamanya bagi warga kota.

Gaji yang cukup sangat perlu untuk membayar wang ansuran bulanan kereta, rumah, petrol kenderaan, barangan dapur dan sebagainya. Lebih perit lagi bagi yang sudah berkahwin dan mempunyai anak, perbelanjaan adalah berlipat ganda.

Namun, masih juga ini bersifat subjektif, iaitu jika seseorang itu menguruskan hal ehwal perbelanjaannya dengan berhemah, masih juga cukup duit untuk menabung di dalam bank bahkan menunaikan haji dan umrah di tanah suci Mekah berkali-kali!

Kepuasan kerja boleh dicipta, dan ini tidak seharusnya berorientasikan faktor-faktor tertentu sahaja. Mungkin kerana terlalu memikirkan rasa tidak seronok terhadap satu-satu elemen, maka kita mengabaikan elemen lain yang besar pengaruh­nya dalam membuat kita gembira di tempat kerja. Kita perlu mewujudkan perasaan seronok untuk ke tempat kerja kerana satu pertiga daripada masa dalam kehidupan kita banyak dihabiskan di situ.

Banyak usaha yang boleh dipraktikkan untuk mewujudkan kepuasan kerja. Jika suasana tempat kerja tidak selesa seperti keadaan meja yang berselerak dan merimaskan, berusahalah menjadikan ia menarik dan teratur. Jika selama ini komunikasi dengan rakan sekerja atau pihak pengurusan menjadi faktor ketidakpuasan kerja, maka ubahlah cara berkomunikasi seperti memohon maaf, bersifat terbuka dan tidak terlalu sensitif. Jika kerja yang diperoleh dirasakan terlalu banyak, kita perlu wujudkan kaedah kerja yang sistematik agar semua tugasan dapat dilaksanakan dengan baik.

Banyak kesan positif yang boleh diperoleh jika kita bijak mewujudkan apa yang dikatakan kepuasan dalam bekerja. Kepuasan kerja mampu mewujudkan sifat integriti kerana setiap tugasan yang perlu dibuat dianggap sebagai amanah dan kepercayaan oleh organisasi. Dengan itu, produktiviti kerja akan dapat dikekalkan pada tahap tinggi dan seterusnya menyumbang kepada kemajuan organisasi. Bila kita berpuas hati dengan pekerjaan, kita berupaya menghindarkan stres apatah lagi perlu juga memikirkan hal ehwal keluarga dan urusan peribadi selain daripada urusan pekerjaan.

Kepuasan kerja juga dapat menyu­burkan rasa insaf dan syukur kepada tuhan kerana diberikan ruang untuk memiliki karier, berbanding dengan orang lain yang tidak berpeluang langsung untuk mendapatkan pekerjaan seperti mana yang kita miliki dan menjadi penganggur tanpa haluan.

- Nor Azzah Momin Utusan Malaysia Rencana 29 Februari 2016 6:00 PM
Tags: kerja
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments