kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Nama bawa nilai identiti institusi, pasukan perlu dikekal

KONTROVERSI mengenai nama Harimau Malaya untuk pasukan bola sepak kebangsaan sedikit terlerai apabila nama baharu Harimau Malaysia digunakan.

Nama lama itu sebenarnya adalah subspesies haiwan berkenaan yang didapati hanya wujud di Semenanjung, yang nama asalnya ialah Malaya sebelum terbentuknya Persekutuan Malaysia.

Secara umumnya ia ada di seluruh Semenanjung, termasuk Selatan Thailand. Harimau sebagai haiwan Asia yang ditemui di beberapa habitat lain, semua diberikan nama mengikut wilayah ia hidup.

Ia spesies khas dalam kalangan singa, jaguar dan seumpamanya, wujud dalam pelbagai subspesies di seluruh Asia.

Di Asia Tenggara, sebilangan subspesies ditemui. Harimau Bengal ada di India, Bangladesh, Nepal dan Bhutan. Harimau Indo-China pula hidup di Thailand, Myanmar, Laos, Kemboja dan Vietnam.

Harimau Sumatera hidup di Sumatera, Harimau Jawa dan Bali pula masing-masing wujud di Jawa dan Bali. Selain itu, ada juga beberapa subspesies di tanah besar Asia. Harimau Selatan China hanya ada di Fujian, Guangdong, Hunan dan Jiangxi.

Harimau Caspian ada di wilayah Laut Kaspia, antaranya Asia Tengah di Iran. Harimau Siberia pula hidup di wilayah Tenggara Russia.

Nama ikut wilayah

Natijahnya di sini ialah harimau diberikan nama berdasarkan wilayah habitatnya.

Oleh itu, tidak patut timbul tuduhan liar bahawa nama Harimau Malaya sengaja digunakan sesetengah pihak untuk memperlihat kebesaran sesebuah wilayah itu ke atas yang lain dalam Persekutuan Malaysia.

Dari sudut lain, kontroversi nama ini sebenarnya memperlihat sikap positif patriotisme rakyat Malaysia dari semua wilayah.

Cadangan agar ia ditukar kepada Harimau Malaysia, walaupun tidak lagi merujuk secara khusus kepada subspesies haiwan itu yang hanya ada di Semenanjung, adalah satu manifestasi perasaan kekitaan yang keterikatannya kuat sekali kepada negara ini.

Dengan nama baharu ini, ia semata-mata jolokan yang ingin menggambarkan pelambangan keberanian dan kekuatan pada pasukan bola sepak negara.

Ia sama seperti jolokan lain, misalnya helang yang digunakan pelbagai pasukan sukan untuk mengiaskan sifat kekuasaan dan kehebatan, khususnya keupayaan unggas itu untuk bukan sahaja menewaskan lawannya yang lebih besar, termasuk monyet dan rusa, tetapi mampu pula mengangkatnya sambil terbang dengan daya yang memang luar biasa.

Sehubungan ini, nama Malaya pada Universiti Malaya tidak pernah pula dijadikan polemik walaupun ia jelas tidak sesekali mewakili negara kita pada zaman moden ini, khususnya setelah penubuhan Malaysia, sebagai universiti kebanggaan negara.

Dari segi prestasi baiknya dalam mengangkat nama dan citra negara, Universiti Malaya seharusnya ditukar namanya kepada Universiti Malaysia.

Tersirat sejarah

Namun, ini tidak berlaku. Malah, tidak pernah ada desakan pun untuk menukar namanya bagi melambangkan hakikat semasa yang rata-ratanya tidak lagi menggunakan nama Malaya.

Ini kerana semua pihak memahami dan mahu mengekalkan sejarah perkembangannya bermula pada 1949 di Singapura.

Pada 1959, Universiti Malaya dibahagikan kepada dua kampus, satu di Kuala Lumpur dan sebuah lagi di Singapura.

Bagaimanapun pada 1962, dua kampus ini menjadi dua institusi berasingan sebagai Universiti Malaya dan National University of Singapore.

Universiti Malaya yang terus menggunakan nama itu sebenarnya adalah universiti tertua dan terunggul di negara ini.

Bukan sahaja namanya masih yang lama, ia juga terus menggunakan lambang direka pada 1962, mengandungi dua bahagian.

Pada bahagian atas ialah 17 daun palma yang digunakan masyarakat Melayu untuk menulis sebelum adanya kertas.

Bahagian bawah memuatkan gambar tiga ekor harimau yang sudah tentunya Harimau Malaya belaka, yang di tengah-tengah ialah bunga kebangsaan kita iaitu bunga raya.

Tuntasnya dalam hal penamaan ini, ia tidak boleh ditukar sewenang-wenangnya tanpa alasan kukuh. Sesuatu nama itu penting dikekalkan untuk pelbagai sebab.

Antaranya ialah identiti dan keunikan. Untuk identiti, ia memperlihat salasilah yang perlu dipertahan. Manakala untuk keunikan, ia bersifat istimewa untuk dikekalkan kelainannya.

Apa-apapun, perkara penting di sini ialah sesuatu nama hendaklah diteruskan penggunaannya kerana ia mempunyai pelbagai kaitan, antaranya dengan sejarah, budaya, kepercayaan, keagamaan, perundangan dan lain-lain.
Teo Kok Seong Berita Harian Kolumnis Khamis, 3 Mac 2016 @ 6:05 AM
Tags: nama, nilai
Subscribe

Posts from This Journal “nama” Tag

  • Apa ada pada nama?

    ADA manusia fikir seolah-olah tidak sempurna hidup, tidak ada kesejahteraan jika tidak ada gelaran, justeru segala ikhtiar - bermaruah atau tidak…

  • Saudi larang guna 50 nama

    RIYADH - ARAB SAUDI . Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi mengharamkan 50 nama kerana bercanggah dengan agama dan budaya negara itu. Jurucakap…

  • Titles: Friendship is forgotten when friends are Datuks

    I REFER to Johan Jaaffar's article "What's in the name" (NST, Oct 13). In a segment of comic strip Hagar The Horrible, Hagar says…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments