kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kisah Matsunaga, Ohira, Gotoh; Tani Yutaka perisik dan pemberontak

Tani Yutaka perisik dan pemberontak

BAGI melicinkan operasi perisikan Tentera Imperial Jepun, sebuah agensi ditubuhkan untuk melatih dan menguruskan perisik-perisik yang akan dihantar ke seluruh negara terutama di Asia Tenggara.

Beberapa bulan sebelum Tanah Melayu diserang pada 1941, badan perisikan Fujiwara Kikan ditubuhkan dan diketuai Mejar Fujiwara Iwaichi yang merupakan seorang ketua unit perisikan batalion ke-15 Tentera Imperial Jepun.



Rumah Tani Yutaka di Terengganu yang pernah didiami bersama keluarganya. SUMBER https://malayablackandwhite.wordpress.com

Tugas utama Iwaichi sebenarnya adalah berhubung dengan sebuah gerakan menuntut kemerdekaan di India, selain mempengaruhi sultan-sultan di Tanah Melayu serta pihak yang mahu menentang British agar memberi kerjasama terhadap Jepun.

Ini termasuklah pertubuhan berpotensi seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang dipimpin oleh Ibrahim Yaacob di Tanah Melayu ketika itu.

Antara perisik Jepun di Tanah Melayu yang terlibat dengan Fujiwara Kikan ialah Tani Yutaka yang menetap di Terengganu ketika itu.

Yutaka yang terkenal dengan gelaran Harimau Malaya pada awalnya menetap di Terengganu bersama keluarganya pada 1911.

Bagaimanapun, ahli keluarganya terbunuh ketika kempen anti Jepun di Tanah Melayu lalu dia bangkit untuk membalas dendam.

Sebelum menyertai Fujiwara Kikan, Yutaka dikatakan merupakan seorang ketua kumpulan yang sering melakukan pemberontakan terhadap pentadbiran British di Tanah Melayu.

Setelah adiknya terbunuh dalam kekacauan di Tanah Melayu, Yutaka bangkit untuk membalas dendam.

Pada 1941, Yutaka menyertai Fujiwara Kikan dan bertindak sebagai perisik mengumpul maklumat lengkap serta mengetuai kumpulan gerila menentang British.

Namun pada 1942, ketika berada di dalam hutan di Johor, Yutaka menghidap malaria dan meninggal dunia di Singapura.

Kisah mengenai Harimau Malaya itu didedahkan pertama kali oleh sebuah akhbar Jepun pada 1942 dan kemudian diceritakan dalam sebuah filem, Marai No Tora pada tahun sama.


Kisah Matsunaga, Ohira, Gotoh

SUASANA sibuk di sepanjang Jalan Yam Tuan Raden yang terletak di tengah-tengah pekan Kuala Pilah sudah semakin kurang tatkala senja berlabuh. Deretan kedai-kedai juga sudah mula ditutup.

Namun, di sebalik keadaan itu, beberapa buah kedai di jalan itu menyimpan kisah-kisah di mana beberapa peniaga berketurunan Jepun menjalankan operasi perisikannya di Tanah Melayu.

Deretan rumah kedai di Kuala Pilah yang pernah menjadi tempat perisik Jepun menjalankan perniagaan sambil melakukan operasi risikan sekitar 1930-an.

Nama-nama seperti Matsunaga, Ohira dan Gotoh pernah menjadi bualan penduduk tempatan suatu ketika dahulu kerana peniaga-peniaga Jepun ini mempunyai sifat yang begitu mesra dan disenangi penduduk tempatan.

Matsunaga yang membuka kedai gambar di Jalan Yam Tuan Raden mempunyai hubungan erat dengan penduduk setempat dan seorang kerabat diraja Negeri Sembilan, Tengku Besar Burhanuddin sewaktu sebelum tercetusnya perang.

Kini, bangunan kedai yang pernah dijadikan kedai perniagaan Matsunaga telah dimiliki oleh penduduk tempatan yang menjadikannya sebagai kedai makanan dan minuman.

Menurut Pengarah Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Datuk Paduka Dr. Mohd. Rosli Saludin yang merupakan anak jati Kuala Pilah, hubungan akrab dengan Tunku Besar Burhanuddin menyebabkan Matsunaga sendiri memeluk Islam ketika berada di Kuala Pilah.

“Namun, sejauh mana keislaman Matsunaga ketika itu tidak dipastikan kerana dia telah pulang ke Jepun sebaik sahaja perang tercetus. Bagaimanapun, orang di sini mengetahui bahawa Tengku Besar Burhanuddin ialah seorang yang warak dalam hal agama Islam di sini.

“Tunku Besar Burhanuddin ini arif dalam ilmu agama sehinggakan sesiapa juga alim ulama yang datang untuk berdakwah di Kuala Pilah pada waktu itu perlu berjumpa dengannya terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.

Malah, Tunku Besar Burhanuddin juga merupakan antara empat calon yang tersenarai untuk diangkat sebagai Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan pada waktu itu.

Katanya, Matsunaga sangat fasih bercakap dalam bahasa Melayu dan oleh kerana itu menyebabkan dia mudah mesra dengan penduduk tempatan. Malah, masyarakat tempatan sendiri tidak mengesyaki bahawa Matsunaga adalah seorang perisik tentera Jepun memandangkan dia menjalankan perniagaannya dengan baik di situ.

Dia juga dikatakan sering masuk ke kawasan kampung di sekitar Kuala Pilah untuk mengambil gambar. Kelakuan Matsunaga itu tidak pula menimbulkan apa-apa syak wasangka dalam kalangan penduduk.

Beliau berkata, Matsunaga mempunyai pengetahuan yang lebih banyak mengenai masyarakat tempatan dan kawasan itu dan itu memudahkannya untuk menguatkan lagi propaganda Jepun sehingga meyakinkan orang di situ.

Namun, katanya, sebaik sahaja Jepun menyerang Tanah Melayu terutama ketika tenteranya tiba di Kuala Pilah, Matsunaga tidak lagi kelihatan.

“Seorang lagi peniaga Jepun yang menjadi perisik di sini dikenali sebagai Ohira. Dia juga membuka sebuah kedai di Jalan Yam Tuan Raden ketika itu,” katanya.

Katanya, Ohira sering masuk ke Kampung Parit Tinggi yang terletak berdekatan pekan Kuala Pilah dengan berbasikal untuk mengumpul maklumat-maklumat risikan.

“Ketika itu, Kampung Parit Tinggi mempunyai kawasan perlombongan bijih timah yang luas. Jadi, kawasan itu merupakan satu lokasi yang penting terutama kepada komuniti perlombongan di Kuala Pilah,” katanya.

Malah, Kampung Parit Tinggi juga merupakan lokasi strategik yang pernah dikuasai pengganas komunis selepas kekalahan Jepun di tangan British sekitar 1945.

Berbalik kepada perisik Jepun, Rosli berkata, seorang lagi warga Jepun yang berperanan sebagai perisik di Kuala Pilah dikenali sebagai Gotoh. Kedai milik Gotoh yang dikatakan menjalankan perniagaan menjual peralatan dapur turut terletak di Jalan Yam Tuan Raden.

Rosli berkata, kesemua perisik-perisik di Kuala Pilah itu sering berhubung antara satu sama lain untuk menyalurkan maklumat yang kemudiannya dihantar ke Jepun untuk perancangan serangan di Tanah Melayu kemudian.

Beliau berkata, selain perisik-perisik warga Jepun yang menumpukan tugas dan peranannya di kawasan bandar, terdapat juga perisik bagi pihak Jepun yang ditugaskan di kawasan-kawasan perkampungan di sekitar Kuala Pilah.

Namun katanya, perisik tersebut bukan warga Jepun tetapi penduduk tempatan. Salah seorangnya dikenali sebagai Sani berperanan mengutip maklumat di Kampung Gentam tidak jauh dari pekan Kuala Pilah.

Rosli berkata, penduduk tempatan sanggup bekerjasama dengan Jepun kerana percaya propaganda yang disebarkan iaitu untuk menyelamatkan Tanah Melayu daripada cengkaman British.

Katanya, penerimaan penduduk Tanah Melayu terhadap Jepun hanya berlaku secara baik pada awal-awal kemasukan tentera itu namun, keadaan itu tidak lagi sama sebelum Jepun menyerah kalah dan British menduduki Tanah Melayu selepas itu

-
Tags: jepun, perang, sejarah
Subscribe

Posts from This Journal “sejarah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments