kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Aktiviti risikan Jepun bermula sejak 1930; Rumah pelacuran jadi pusat perisikan

Aktiviti risikan Jepun bermula sejak 1930

KISAH seorang lelaki bernama Tani Yutaka di Tanah Melayu mulai tersebar di internet baru-baru ini. Ia menceritakan bagaimana seorang lelaki berketurunan Jepun membesar di sebuah kampung di Terengganu, fasih berbahasa Melayu dan menjalani kehidupan yang saling tidak tumpah seperti masyarakat tempatan di kampung itu


Tani Yutaka kemudiannya menyertai organisasi perisikan Jepun yang digelar Fujiwara Kikan. Antara lain tugasnya adalah mengumpul maklumat mengenai British dalam usaha menewaskan kuasa penjajah di Tanah Melayu.

Kisah Tani Yutaka ini menunjukkan bahawa Jepun serius mengenai aspek perisikan dalam usahanya menakluk negara-negara di Asia Tenggara.

Agensi perisikan Jepun memainkan peranan penting dalam proses Jepun muncul sebagai kuasa penting pada abad ke-20. Malah, aspek perisikan menjadi satu keutamaan dalam dasar luar Jepun untuk mendapatkan maklumat tentang kekuatan dan kelemahan pihak musuh.

Justeru, pemerintahan Jepun ketika itu menjadikan kedutaan di luar negara sebagai pusat pengumpulan maklumat melalui ejen-ejen khas yang dihantar menyamar sebagai kakitangan kedutaan bagi mengelakkan masalah.


Kedai gambar Hinode milik seorang perisik Jepun yang terletak di Jalan Belfield, Ipoh dan bersebelahan dengan kedai Hoot & Company pada 1930-an. Sumber www.ipohworld.org

Dasar itu menyebabkan seluruh kedutaan Jepun yang berada di luar negara menjadi pusat aktiviti perisikan Jepun yang penting di mana maklumat akan dihantar balik ke Tokyo dengan menggunakan ‘beg diplomat’ yang secara langsung telah melicinkan proses pengumpulan maklumat risikan.

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, Dr. Azharuddin Mohamed Dali, aktiviti perisikan Jepun telah mula aktif sejak awal abad ke-20 lagi. Sejak 1915, Tentera Laut Jepun telah meneroka lautan di sebelah selatan menjangkau ke Lautan Hindi.

“Tetapi kegiatan lebih aktif badan perisikan Jepun terhadap rantau Asia Tenggara bermula pada 1930-an. Oleh kerana rantau Asia Tenggara merupakan kawasan pengeluar komoditi utama yang sangat penting kepada industri Jepun, maka perkembangan 
yang berlaku di rantau ini 
perlu diketahui Jepun,” 
katanya.

Katanya, Tanah Melayu merupakan negara yang diberikan perhatian istimewa oleh Jepun berbanding negara-negara lain di Asia Tenggara. Memandangkan Tanah Melayu mempunyai khazanah bumi yang kaya dengan hasil bijih dan getah yang luas maka Jepun menumpukan usaha menjajah bumi Tanah Melayu.

Beliau berkata, bagi memastikan perancangan Jepun berjalan 
lancar, agensi perisikan Jepun 
telah mewujudkan sekolah bahasa asing bagi melatih para ejen menguasai bahasa negara-negara berkenaan termasuk Tanah Melayu.

“Terdapat 25 pelajar Jepun yang mempelajari bahasa Melayu ketika itu. Kebanyakan sekolah bahasa asing ini diwujudkan di 
Osaka serta Tokyo pada 1940,” katanya.

Pelajar yang telah menerima pendedahan bahasa itu, kemudiannya akan direkrut dalam agensi perisikan secara langsung atau tidak langsung sebelum dihantar ke negara-negara berkaitan.

Selain menggunakan ejen perisikan terlatih, Azharuddin berkata, rakyat Jepun yang menetap di Tanah Melayu sebelum era Perang Dunia Kedua juga digunakan untuk menyalurkan maklumat secara tidak langsung kepada Tokyo.

“Masyarakat Jepun yang 
tinggal di Tanah Melayu ketika itu terbabit dengan pelbagai aktiviti seperti pertanian, perniagaan, nelayan dan profesion lain seperti tukang gunting rambut dan 
doktor.

“The Kitami Barbers Shop merupakan kedai gunting pertama yang dibuka orang Jepun pada 1894 di Tanah Melayu, sementara Dr. Nisimura Takesiro, Dr. Sato Yuta, Dr. Adati Syohei dan Dr. Oonuki Koko pula telah membuka hospital Jepun yang pertama di Tanah Melayu iaitu di Singapura pada 1910,” katanya.

Azharuddin berkata, pada tahun-tahun berikutnya, hospital Jepun turut dibuka di Kuala Lumpur, Seremban, Ipoh dan Pulau 
Pinang. Golongan ini tidak 
hanya berada di bandar-bandar utama tetapi juga sehingga ke kawasan terpencil di Tanah 
Melayu. Mereka inilah menjadi penyalur maklumat 
secara tidak langsung kepada 
agensi perisikan Jepun.

Katanya, dianggarkan seramai 6,000 rakyat Jepun berada di Tanah Melayu menjelang 1940. Ejen yang menyamar sebagai tukang gunting rambut, jurugambar, nelayan dan peniaga pula membekalkan maklumat peta-peta Tanah Melayu kepada pihak tentera mereka.

Ejen-ejen yang menyamar ini katanya bertanggungjawab membekalkan peta-peta Tanah Melayu kepada pihak tentera bagi digunakan semasa operasi menyerang Tanah Melayu. Ejen yang menyamar sebagai jurugambar dan membuka 
kedai gambar pula menggunakan kemahiran mereka mengambil gambar pelbagai sudut
jalan raya dan kereta api 
serta peralatan ketenteraan 
British.


Rumah pelacuran jadi pusat perisikan

Selain menjalankan aktiviti perniagaan dan terlibat dalam pelbagai sektor ekonomi lain, Jepun juga menyusun strategi perisikan melalaui kemasukan pelancong-pelancong Jepun ke Tanah Melayu. Satu lagi kaedah yang memainkan peranan penting dalam usaha Jepun mengumpul maklumat lengkap Tanah Melayu dan pergerakan British adalah dengan mewujudkan rumah-rumah pelacuran yang dapat menarik kehadirann anggota dan pegawai tentera British.

Peter Elphick dalam bukunya The Far Eastern File:The Intelligence War in the Far East 1930-1945 mendedahkan, pelacuran antara kaedah yang digunakan oleh pihak Jepun untuk mendapatkan maklumat dengan mudah daripada pihak British. Rumah-rumah pelacuran dibuka di Singapura, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Taiping dan beberapa lokasi lain.


Beberapa wanita yang dijadikan pelacur atau karayuki san di Singapura sebelum perang meletus. Sumber http://kinkonkid.blogspot.com

“Ketika itu, wanita-wanita yang dibawa dari Jepun ke Tanah Melayu bagi mengutip apa sahaja maklumat dari pegawai British yang mendapatkan perkhidmatan mereka dan pihak perisikan Jepun akan membayar upah mereka,” katanya.

Katanya, kemasukan pelacur Jepun ke Tanah Melayu telah berlaku sejak lewat abad ke-19 dan kebanyakan mereka datang dari wilayah Shimbara dan Amasuka, iaitu wilayah termiskin di Jepun.

Aktiviti pelacur atau dikenali sebagai Karayuki San ini biasanya dikawal oleh golongan kongsi gelap Jepun. Dikatakan, pelacuran wanita Jepun ini menjana keuntungan yang tinggi bagi pihak Jepun ketika itu.

Menurut Elphick, sebahagian besar pelanggan Karayuki San itu terdiri daripada tentera British serta warga-warga Jepun sendiri yang menjalankan perniagaan di Tanah Melayu.

Menurut maklumat di laman web www.ipohworld.org pula, di Ipoh terdapat seorang wanita Jepun dikenali sebagai Okiku yang pernah bekerja sebagai Karayuki San.

Okiku dilahirkan di sebuah tempat berdekatan Hiroshima pada 1899 dan merantau sehingga ke Klang, Selangor pada 1916. Kemudian, Okiku dikatakan tinggal bersama seorang jurugambar bernama Furukawa yang bekerja di sebuah studio gambar di Jalan Belfield, Ipoh.

Apabila Furukawa berpindah ke Singapura sekitar 1930-an akibat tekanan perniagaan yang terjejas selepas diboikot penduduk tempatan, Okiku tidak mengikutnya. Sebaliknya, Okiku berkahwin pula dengan seorang lelaki berketurunan India di Ipoh. Okiku kemudian pulang ke Jepun untuk menghabiskan masa tuanya di tanah air sendiri.

Menurut laman web itu, rumah pelacuran di Lembah Kinta dipercayai telah wujud sejak 1893 apabila kumpulan imigran pertama dari Jepun tiba di Tanah Melayu ketika itu.

-
Tags: jepun, perang, sejarah
Subscribe

Posts from This Journal “jepun” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments