kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

UMNO tidak perlu tunduk, Deklarasi Rakyat Tidak Masuk Akal

Deklarasi Rakyat Tidak Masuk Akal

BIAR dilihat dari sudut mana sekalipun, kempen dikenali sebagai ‘Deklarasi Rakyat’, atau lebih tepat jika disebut ‘Deklarasi Mahathir’, pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menyingkirkan Datuk Seri Najib Tun Razak daripada jawatan Perdana Menteri, tidak dapat di­terima akal.

Ini mungkin boleh berhasil di negara yang mengalami pergolakan politik atau protes jalanan secara berlarutan bagi memaksa seseorang pemimpin berundur kerana ketiadaan sistem penggantian pemimpin secara jelas. Tetapi, di Malaysia, ia tidak akan berhasil kerana sistem penggantian pemimpin wujud secara jelas dan ketara.



SIDANG akhbar Dr. Mahathir Mohamad ketika mengisytiharkan keluar UMNO di bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 29 Februari lalu. BERNAMA -

Lebih hebat tekanan yang ingin dikenakan kumpulan berkenaan untuk cuba memaksa Najib melepaskan jawatannya, maka lebih besarlah peluang mereka untuk menemui kegagalan. Malah, tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa kempen mereka telah gagal sejak mula dilancarkan lagi.

Dalam pada itu, apa yang mengundang pukulan balas secara besar-besaran daripada seluruh warga UMNO terhadap kempen itu ialah tindakan seteru utama politiknya, DAP, untuk turut menaiki gerabak anti-Najib, yang dipandu Dr. Mahathir.

Bagaimanapun, kecekalan Najib dalam menghadapi cabaran terbaru dan ‘ancaman’ terhadap kepimpinannya ini, dapat dilihat dengan jelas oleh setiap orang sejak awal lagi iaitu apabila beliau terpaksa menangani pelbagai isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sepanjang 40 tahun penglibatan beliau dalam politik, Najib belum pernah dilihat bertindak setegas dan sekental sekarang, bermula dengan pemecatan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Julai tahun lepas dan pengguguran Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal daripada Kabinet.

Kedua-duanya menjadi duri dalam daging bagi Najib melalui perbuatan mereka mengkritik secara pedas cara pengendalian 1MDB, dan kedudukan Muhyiddin dalam UMNO turut menerima padah apabila minggu lepas, beliau digantung daripada jawatan Nombor 2 dalam parti yang memerintah negara ini bersama rakan gabungannya sejak Malaysia mencapai kemerdekaannya lagi.

Najib, secara tegas dan jelas, menyifatkan langkah Dr. Mahathir itu, yang baru-baru ini, keluar daripada UMNO, dan Muhyiddin untuk bersekongkol dengan para pemimpin pembangkang, sebagai ‘suatu kesilapan besar’.

Setelah hilang kedudukan sebagai Timbalan Presiden UMNO berikutan penggantungannya daripada jawatan itu, kini Muhyiddin berdepan pula dengan kemungkinan besar dipecat daripada parti itu berikutan desakan yang semakin hebat agar tindakan itu dikenakan terhadapnya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak menyimpulkan dengan tepat melalui pertanyaannya: “Dr. Mahathir berkata gabungan yang dibuat itu (dengan pembangkang) adalah semata-mata untuk me­nyingkirkan Najib bagi menye­lamatkan Malaysia. Untuk menyelamatkan daripada apa?”

Ya, penulis juga ingin mengulangi pertanyaan itu: Untuk menyelamatkan daripada apa?

Sekiranya pihak yang ingin menyingkirkan Najib sendiri sedar bahawa mereka tidak akan sekali-kali berjaya untuk berbuat demikian, maka apakah sebenarnya tujuan mereka?

Tidakkah mereka sedar bahawa ketika ini, perkara paling utama bagi negara pelbagai kaum seperti Malaysia, yang amat perlu menjaga pelbagai sensitiviti, ialah memelihara kestabilan politiknya?

Langkah itu menjadi lebih penting ketika ini apabila ekonomi Malaysia diruntun oleh kejatuhan harga minyak mentah dunia, yang sekali gus memberi impak negatif terhadap ringgit.

Keadaan juga kelihatan bertambah suram berikutan laporan media mengenai tindakan pembuangan pekerja dalam sektor swasta secara berleluasa apabila perniagaan mereka terjejas oleh kemelesetan ekonomi.

Kebanyakan rakyat Malaysia mahu meneruskan kehidupan mereka tanpa dijejaskan atau diganggu-gugat oleh krisis baharu ciptaan manusia. Semua pihak perlu menyedari perkara ini. Cukuplah dengan apa yang telah berlaku.

Tan Sri Dr. James Masing, Pre­siden Parti Rakyat Sarawak dan menteri kanan negeri itu, secara tepat berkata: “Kasihan kepada kumpulan yang mengelilingi Dr. Mahathir. Mereka hampir lesu. Ini tak ada kena-mengena dengan menyelamatkan negara.”

Menurut beliau, pakatan bercelaru ini akan singkat umurnya. Jelas beliau: “Apabila hilang kemarahan dan akal kembali berkuasa, mereka akan nampak perkara sebenar mengenai Dr. Mahathir serta agendanya dan beliau akan keseorangan untuk merawat lukanya.”

Semoga tidak sampai ke peringkat itu. Untuk mengelak perkara memilukan itu daripada berlaku, maka lebih cepat Dr. Mahathir sedar akan perbuatan sia-sia itu, maka lebih baiklah bagi diri beliau.



UMNO tidak perlu tunduk

KALAU ada sesiapa berhajat untuk menggulingkan UMNO, elok sahaja disimpan perasaan itu sehingga pi­lihan raya umum akan datang. Tidak lama, dua tahun sahaja lagi.

Sekalipun Tun Dr. Mahathir Mohamad seandainya ada memperkatakan hal ini, bekas Perdana Menteri itu harus akur bahawa UMNO telah pun melalui prosedur demokrasi yang sah dan diperakui mandat rakyat dalam 13 kali pilihan raya umum.

Abdullah Ahmad Badawi

Kisah Kabinet Malaysia banyak berpaut kepada kisah UMNO kerana kepimpinan Kabinet disediakan oleh UMNO.

Ia mempunyai alasan yang mudah kera­na UMNO walaupun menunjangi Barisan Na­sional (BN), telah membekalkan jumlah bila­ngan yang besar dalam keahlian Dewan Rakyat.

Untuk memiliki Kabinet, parti yang mana pun termasuklah individu ‘pembenci tegar’ perlulah menewaskan UMNO. Selagi UMNO mengekalkan status quo kekuatan dan pe­ngaruhnya, sekali gus ia menikmati sokongan popular orang-orang Melayu.

Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai pilihan melainkan untuk melantik seorang Presiden UMNO mengetuai Kabinet sebagai Perdana Menteri.

Dr. Mahathir Mohamad

Bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora.

UMNO pernah berpecah teruk sebelum ini. Pergelutan pucuk pimpinannya di bawah Dr. Mahathir pada April 1987 menyebabkan perpecahan yang ketara dalam parti dan juga kerajaan.

Akhirnya selepas kemenangan Dr. Mahathir yang tipis, dengan perbezaan 43 undi ke atas Tengku Razaleigh Hamzah, mereka yang menentang beliau dilihat dalam bahaya.

Bagaimana seseorang yang menentang Perdana Menteri secara terbuka mengharapkan untuk berkhidmat kepada beliau dalam Kabinet? Apatah lagi dalam politik Melayu, menentang seorang pemimpin suatu perkara yang jarang berlaku.

Setelah secara terbuka menentang Perdana Menteri dalam parti, suara dalam Team B iaitu ahli-ahli pentadbiran yang terlibat dalam konflik tersebut sewajarnya meletakkan jawatan daripada Kabinet selaras dengan Artikel 43(3).

Tengku Razaleigh Hamzah

Selepas itu beberapa menteri dan timbalan menteri meninggalkan Kabinet. Sebagai menghormati prinsip tanggungjawab kolektif, Tengku Razaleigh telah menulis surat peletakan jawatan masing-masing kepada Perdana Menteri pada 29 April 1987.

Seorang lagi orang kuat Team B, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun) yang ketika itu Menteri Pelajaran dan dua timbalan menteri telah dipecat oleh Dr. Mahathir pada ming­gu pertama Mei 1987.

Kabinet merupakan jawatankuasa paling utama dalam operasi seorang Perdana Menteri. Arahannya adakah perkataan terakhir da­lam kerajaan.

Hidup Perdana Menteri benar-benar umpama roda dalam roda.

Roda luar berpu­sing mengikut arah jam tetapi pada masa sama, dalaman boleh berpu­sing ke arah lain - merancang laluan untuk perkara akan datang.

Untuk apa UMNO yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tunduk kepada ‘pendesak’ apa lagi kepada Dr. Mahathir yang kini bukan lagi ahli parti itu.

Dikatakan walaupun Dr. Mahathir menyandang jawatan Perdana Menteri paling lama 22 tahun, rekod itu ‘dipecahkan’ lagi oleh beliau sendiri dengan menambah 13 tahun lagi (sehingga 2016), menjadikan 35 tahun - setelah tidak habis-habis berperilaku ala ‘Perdana Menteri’.

Cabaran sebenar Najib yang harus dibimbangi bukan Dr. Mahathir dan penyokongnya.

Sebaliknya laluan penuh berliku negara dan rakyat mendepani ekonomi sejagat termasuklah isu kenaikan harga rumah, barangan dan kos sara hidup selain isu-isu antarabangsa yang terbentang depan mata.

Tags: politik
Subscribe

Posts from This Journal “politik” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments