kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Faktor mahasiswa kurang membaca

TABIAT suka membaca menggambarkan masyarakat bertamadun. Realitinya, membaca adalah santapan rohani bagi menggerakkan minda supaya kita berfikir. Oleh itu, kita amat bimbang apakah kelayakan dan bentuk graduan yang bakal dilahirkan oleh negara jika intelektual, tahap dan status minat membaca dalam kalangan mereka begitu rendah.

Terdapat laporan bahawa pelajar-pelajar Jepun khususnya berjaya menghabiskan sebanyak 20 hingga 30 buah buku dalam tempoh tiga atau empat tahun pengajian. Purata ini sa­ngat berbeza dengan mahasiswa di Malaysia. Hal ini berkemungkin­an besar disebabkan oleh sikap negatif mahasiswa itu sendiri.

Mereka terlalu bergantung dengan nota yang diberikan oleh pensyarah dan juga mengharap­kan ‘sedekah’ daripada senior. Ada juga yang mengambil jalan pintas dengan menyalin daripada Internet sebagai sumber rujukan.

Andai kata mahasiswa benar-benar berminat terhadap ilmu, fikiran dan kreativiti sudah tentu buku dan bahan bacaan lain akan menjadi santapan mereka. Ini kerana dalam banyak bahan bacaan yang berbentuk tesis, hasil penyelidikan dan penulisan ilmiah adalah sumber yang mampu merangsang individu untuk berfikir di luar kotak dan sekali gus menyerap pelbagai maklumat sepanjang pembacaan mereka.


MAHASISWA wajar menjadikan membaca terutama buku-buku ilmiah sebagai amalan mereka sepanjang pengajian di universiti. GAMBAR HIASAN.

Bagaimanapun mahasiswa di Malaysia secara umumnya kurang berminat terhadap usaha ini. Ilmu yang dicari hanya untuk lulus peperiksaan dan seterusnya mendapatkan pekerjaan yang dicita-citakan. Perpustakaan pula jarang dikunjungi. Mereka hanya datang apabila terdesak dan waktu paling sibuk adalah menjelang ujian dan tarikh akhir tugasan. Hal ini berlaku disebabkan mahasiswa mencari buku berkaitan subjek yang mereka pelajari sahaja. Pada hari-hari biasa perpustakaan akan sepi tanpa pengunjung.

Dikatakan setiap hari hanya 10 peratus mahasiswa yang menggunakan perpustakaan bagi mencari bahan ilmiah. Harga buku yang terlalu tinggi turut menjadi faktor kurangnya mahasiswa membaca. Kebanyakan buku rujukan akademik pula terpaksa diimport.

Hakikatnya para pensyarah universiti tidak harus terlalu bergantung kepada buku dan bahan bercetak kerana terdapat sebahagian pelajar yang tidak mampu membeli buku tersebut. Mereka boleh berusaha mendapatkan bahan ilmiah dari laman web.

Bagi mengembalikan budaya membaca dalam kalangan mahasiswa, persatuan-persatuan pelajar juga perlu mencari alternatif, strategi dan idea, bukannya asyik berpolitik sahaja. Para pelajar tidak sepatutnya taksub terhadap fahaman parti politik tanah air dan kemudian berusaha untuk menyebarkannya.

Hal ini akan memberi impak yang lebih buruk lagi. Sebagai peneraju institusi intelektual dan ejen perubahan, mereka perlu bangkit dan menjadikan budaya membaca sebagai satu bentuk amalan sehingga menjadi darah daging.

Kesimpulannya, semua pihak termasuk pelajar universiti sendiri harus ada sikap ingin berusaha dan berubah kerana kita perlu yakin dengan pepatah belakang parang diasah lagikan tajam, inikan pula manusia.

Tags: baca, membaca
Subscribe

Posts from This Journal “membaca” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments