kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Beza manusia 
dan haiwan

MANUSIA dan lembu serba sedikit mempunyai persamaan iaitu mempunyai otak. Tetapi apa yang membezakan antara dua makhluk ini ialah manusia dianugerahkan akal bagi membezakan antara baik dan buruk. Meskipun lembu tidak mempunyai akal tetapi ia amat menyayangi anak-anaknya, jauh sekali untuk membunuhnya dengan kejam.

Jika tidak percaya, dekatilah ibu lembu yang baru beranak, cuba-cubalah untuk mengganggu anaknya. Reaksi spontan haiwan ini ialah sanggup bermati-matian mempertahankan anaknya. Tersilap langkah, kita bakal dirodoknya dengan tanduk!

Sebaliknya, segelintir manusia pula tanpa rasa bersalah sanggup membunuh bayi yang dilahirkannya sendiri. Sudahlah berdosa kerana berzina, dapat pula dosa tambahan kerana membunuh. Berdasarkan situasi ini, mana yang lebih mulia - manusia atau ibu lembu itu?

Baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam mendedahkan bahawa purata sebanyak 18,000 remaja di Malaysia hamil setiap tahun dan daripada jumlah itu, 25 peratus atau kira-kira 4,500 kes membabitkan remaja yang mengandung anak luar nikah. Secara purata terdapat 1,500 kes remaja mengandung setiap bulan iaitu 50 kes sehari di seluruh negara.

Pada masa ini kes buang bayi menjadi seperti perkara biasa - seperti tiada lagi nilai berita atau menyentap jiwa kerana terlalu kerap berlaku. Situasi ini amat berbahaya, iaitu apabila benda jelek tidak lagi dipandang hina.

Setiap kali berlakunya kes pembuangan bayi, individu yang selalu menjadi sasaran ialah hanya ibu sahaja, macamlah bayi itu terhasil dengan sendiri tanpa ‘bantuan’ teman lelakinya. Ini tidak adil, ‘sedap’ bersama tetapi yang terpaksa menanggung kecaman daripada masyarakat, gangguan emosi dan ditahan polis hanya ibu sahaja. Mana lelaki yang telah membuktikan kejantanannya itu?

Kadang-kadang banyak kempen dijalankan institusi agama, NGO dan pihak berkuasa tempatan mengenai cara sepatutnya wanita Islam berpakaian dan bergaul yang bermatlamatkan untuk menjaga maruah.

Malangnya, seperti tiada pula risalah untuk mengajar lelaki mengenai kaedah terbaik mengekang nafsu buas dan mendidiknya supaya menjadi lebih jinak serta patuh syariat. Penulis bukan bermaksud membela wanita yang kurang menjaga maruah tetapi biarlah adil, jangan bezakan antara lelaki dan wanita kerana tepukan mustahil akan berbunyi jika dilakukan sebelah tangan sahaja.

Si ibu yang terlalu takut, lazimnya akan memilih jalan mudah iaitu membunuh dan membuang bayi bagi menutup pekungnya. Penyelesaian menyeluruh perlu dicari, tidak boleh sekadar main ‘agak-agak’ puncanya. Contohnya, enjin sebuah kereta rosak tetapi yang ditukar ialah tayar dan sport rim serta dicat baharu, selesaikah masalahnya?

Rasanya semua pihak maklum mengenai puncanya, tunggu apa lagi tutuplah ‘semua pintu’ yang membawa kepada keruntuhan akhlak ini. Kita tidak mahukan rumah dimasuki pencuri tetapi pada masa sama langsung tidak pernah menutup semua pintu dan jendela, dibiarkan ternganga 24 jam sehari selama 365 hari, rasionalkah?.

Kata kunci kepada setiap permasalahan ialah pencegahan dan pemulihan. Mencegah sebelum berlaku adalah lebih baik daripada bertindak selepas kelahiran anak luar nikah yang lazimnya diikuti pula dengan pembunuhan.

Oleh itu, jangan sesekali melupakan ‘bapa’ kepada bayi malang itu, tindakan tegas amat perlu bagi menggerunkan sesiapa sahaja agar jangan mudah terjebak. Rasanya tidak sukar untuk mencari dalangnya, sudah pasti wanita yang hatinya remuk akan berkongsi nama teman lelakinya dengan pihak berkuasa, mana ‘aci’ hanya dia seorang sahaja terkena, sedangkan lelaki itu bebas untuk mencari mangsa baharu.

Tidak perlu bimbang, tiada lelaki tidak bersalah bakal menjadi kambing hitam. Mahkamah tahu peranannya, malah ujian asid deoksiribonukleik (DNA) juga boleh dilakukan untuk mengenal pasti bapa sebenar bayi malang itu. Insafilah sabda Rasulullah SAW ini: “Umatku akan sentiasa berada dalam kebaikan selagi mana tidak tersebar pada mereka anak zina. Apabila anak zina tersebar pada mereka, maka hampir sahaja Allah akan menurunkan bala kepada mereka.” – Musnad Ahmad. - Utusan Malaysia Rencana 10 Mac 2016 6:15 PM

Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments