kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Emosi, kebencian melampau

PADA Julai 2013, Mohamed Mursi, Presiden Mesir pertama yang dipilih secara demokrasi dalam sejarah republik Arab itu akhirnya digulingkan menerusi campur tangan tentera setelah berlakunya tunjuk perasaan besar-besaran dalam kalangan rakyat beberapa minggu sebelum itu.

Penulis yang berada di Kaherah bagi membuat liputan krisis politik Mesir pasca Mursi masih ingat bagaimana aktivis dan penyokong Tamarud, kumpulan yang memainkan peranan penting dalam menjatuhkan Mursi tetap bertegas bahawa tindakan mereka mengikut lunas demokrasi.


Imbas kembali gambar penunjuk perasaan antikerajaan (atas) bertembung dengan kumpulan penyokong kerajaan (bawah) di Dataran Tahrir, Kaherah pada 2 Februari 2011. Pemerintahan Hosni Mubarak jatuh pada tahun itu. Di kawasan yang sama gerakan dilakukan untuk jatuhkan Mohamed Mursi pula pada 2013.

Kumpulan ini yang turut menjayakan watak utama menjatuhkan pemerintahan Hosni Mubarak pada musim bunga 2011, memberikan hujah Mursi digulingkan berdasarkan kehendak rakyat.

Kata mereka, ini sama seperti dilakukan ke atas Mubarak, diktator yang tidak lagi diinginkan kerana mentadbir secara kuku besi tetapi tindakan itu dialu-alukan masyarakat dunia.

Memahami golongan kecanduan demokrasi akibat terlalu lama di bawah pemerintahan Mubarak yang mengamalkan "demokrasi terpimpin" membuatkan penulis hanya mengangguk dalam keadaan dahi berkerut.

Apatah lagi temu bual itu berlangsung di Dataran Tahrir, kubu kuat penyokong Tamarud yang sebenarnya agak "menyeramkan" apabila dipenuhi pelbagai golongan termasuk hipi (hippies) - 360 darjah berbeza daripada penyokong Mursi yang penuh tertib dan berpendidikan.

Selepas hampir tiga tahun peristiwa itu, penulis kembali teringat kisah di Dataran Tahrir apabila tidak semena-mena Tun Dr. Mahathir Mohamad menggerakkan satu deklarasi bagi menggulingkan Datuk Seri Najib Tun Razak bersama maestro DAP, Lim Kit Siang yang juga seteru lama beliau. Ramai geleng kepala.

Anehnya deklarasi yang mahu menggulingkan Perdana Menteri menerusi saluran di luar Perlembagaan dan pilihan raya disokong pula oleh parti-parti yang mencanang sebagai juara demokrasi dan keadilan.

Ketika diajukan perkara ini kepada Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, ayat pertama beliau: “Hakikatnya kita "rapuh" kerana berbilang kaum dan agama tetapi Perlembagaan menjadi tiang seri yang cukup mantap dan sempurna dalam memberi garis panduan haluan negara bernama Malaysia.”

Sebab itu, tegas pemimpin muda ini, sebarang usaha yang tidak menghormati kerangka Perlembagaan sebagai contoh melakukan proses menjatuhkan pemimpin di luar pilihan raya akan hanya mencetuskan kemudaratan.

Rakyat kecewa

“Cukuplah peristiwa yang berlaku di rantau Arab sebagai teladan terbaik bagaimana rakyat yang difatamorganakan dengan suatu persepsi seolah-olah negara akan menjadi sempurna secara sekelip mata sekiranya satu-satu pemimpin dijatuhkan, akhirnya menyebabkan rakyat sendiri kecewa dengan apa yang berlaku,” katanya.

Pemimpin politik Malaysia pastinya bukan golongan Tamarud di Mesir yang hanya menghirup udara demokrasi sehari dua selepas kejatuhan Mubarak. Tetapi, apa yang cuba dilakukan kedua-dua pihak ini ada persamaan.

Apatah lagi situasi "tidur satu bantal mimpi lain-lain" Dr. Mahathir dengan pemimpin-pemimpin yang bersamanya mengingatkan penulis kepada gerakan menjatuhkan Mubarak dan Mursi. Pelbagai latar belakang yang punya satu keinginan tetapi akhirnya tidak mampu bersama untuk tugas lebih besar iaitu memimpin negara.

Kedua-dua golongan sama ada anti-Mursi atau penyokong beliau yang ditemui penulis, mereka sederap selangkah dalam menolak Mubarak dan pada masa sama mengharapkan magis berlaku kepada Mesir. Ternyata apabila jalan yang dipilih bukan melalui demokrasi, harga yang perlu dibayar terlalu mahal.

Tidak ada apa yang mampu dikecapi dalam sekelip mata, sebaliknya mudarat yang datang lebih besar apabila perkara pokok, iaitu kestabilan negara diperjudikan.

Namun di negara ini syukur, Pas khususnya Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menunjukkan kematangan apabila bertegas memilih saluran demokrasi dalam menukar pemimpin dan bukannya melalui "tuntutan dan tandatangan" ciptaan sendiri. Ternyata masih ada kelompok yang rasional di sebalik keghairahan pemimpin kepada kuasa.

“Saya amat bersetuju dengan Abdul Hadi. Tindakan menjatuhkan pemimpin di luar pilihan raya hanyalah sia-sia. Kita tidak menafikan negara tidak sempurna, ada cacat-cela tapi harus diingat, 59 tahun kita capai keharmonian di atas kekurangan yang ada kerana kebijaksanaan pemimpin kita memandu negara berdasar Perlembagaan.

“Kalau kita meletakkan emosi dan kebencian melampau, itu hanya melunturkan nilai rasional rakyat,” kata Dr. Asyraf Wajdi.

Hakikatnya, untuk menukar Perdana Menteri salurannya perlu dilakukan melalui penentuan sokongan majoriti di Dewan Rakyat sama seperti ketika menukar ketua eksekutif di peringkat negeri. Semua itu, pastinya melalui pilihan raya dengan rakyat memilih wakil mereka yang kemudian akan memilih Perdana Menteri.

Setakat ini, pembangkang tidak mampu menggunakan saluran Dewan Rakyat malah usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri yang dibawa pada mesyuarat lalu juga berkecamuk, tidak seia-sekata yang memperlihatkan mereka tidak mampu mendapatkan sekurang-kurangnya sokongan 112 ahli Dewan Rakyat.

Dan terbaharu, hasrat menjatuhkan Najib bukan lagi melalui "pintu belakang" tetapi melalui cara menggulingkan. Walau bagaimanapun sehingga kini gegak gempita hanya seketika.

Siapa yang hendak "ditabalkan" juga belum diputuskan. Di Mesir, individu berlatar belakang ketenteraan akhirnya menguasai pemerintahan sama seperti Mubarak dahulu.

Pemikiran penulis terimbau kepada perbualan bersama seorang ekspatriat rakyat Mesir bernama Ghazi di Switzerland ketika berkunjung ke Geneva tahun lalu. Lelaki itu cukup mengagumi Dr. Mahathir.

Ketika ditanya apakah kekaguman itu berkaitan kemajuan yang berlaku kepada Malaysia sewaktu era pemerintahan Dr. Mahathir, Ghazi yang berkelulusan universiti di Jerman dengan bingkas berkata: “Mahathir lepaskan jawatan Perdana Menteri ketika majoriti rakyat masih menyokongnya. Hampir tidak ada pemimpin dunia Islam khususnya Arab yang mahu berbuat seperti itu. Inilah yang paling hebat,” katanya.

Kata Ghazi itu benar. Dr. Mahathir menyerahkan kuasa kepada timbalan beliau secara penuh demokratik dan tersusun pada 2003. Walaupun Dr. Mahathir tidak mengikuti jejak mendiang Lee Kuan Yew di Singapura dengan menjadi Menteri Kanan dan Menteri Mentor untuk terus berada dalam Kabinet, tetapi realitinya Dr. Mahathir mahu suaranya terus didengar dan diikuti oleh penggantinya baik Tun Abdullah Ahmad Badawi mahupun Najib ketika ini.

Pilihan yang diberi Dr. Mahathir, My Way atau No Way. Ternyata beliau tidak sepi daripada kejutan dalam mencapai kemahuannya tetapi sampai bila UMNO harus menempuh konflik disebabkan Dr. Mahathir.

Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments