kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Malaysia menuju ke kancah rusuhan ala-Arab Spring?

TITAH Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah ketika merasmikan pembukaan sidang Parlimen Keempat Penggal Ke-13, Isnin lalu begitu jelas. Baginda mahu semua Ahli Yang Berhormat berhenti berpolitik untuk kepentingan sempit.

Hal yang demikian kerana politik berkepentingan sempit telah berlarutan sejak sekian lama. Tepatnya sejak Pilihan Raya Umum 2008. Tetapi malangnya, politik sedemikian secara sengaja dan terancang telah dikembangkan menjadi budaya baharu.

Politik saling menjatuhkan, bermusuhan dan fitnah-memfitnah, malah turut dipertontonkan secara leluasa dalam sidang dewan yang mulia itu. Benarlah seperti titah baginda, rakyat yang menjadi penonton dan diheret-heret sudah lelah.

Lidah politikus ini kemudian disambung dengan maki hamun dan cacian yang sangat keterlaluan oleh para penyokong di dalam portal dan media sosial, yang menjadi milik atau proparti mereka.

Politik Malaysia sudah sampai ke tahap tidak ada adabnya. Yang politikus bebas berkata dusta, yang penyokong bebas mencaci-maki.

Bolehkah politik sebegini berhenti? Supremo DAP, Lim Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah menanggapi titah itu dengan kenyataan "ucapan Agong disediakan kerajaan". Kata-kata politikus berusia 75 tahun ini kemudiannya mencetuskan kontroversi sehingga laporan polis dibuat mendakwa kenyataan Kit Siang menghina Yang di-Pertuan Agong.

Begitupun Kit Siang enggan menarik balik kenyataan itu, malah meminta polis menyiasat mereka yang membuat laporan polis kerana menghasut.

Begitulah perilaku Kit Siang dan DAP, yang licik bermain emosi dan persepsi, yang sentiasa akan menguji kesabaran banyak pihak.

PAN, parti baharu yang mendakwa membawa suara sederhana itu seperti dinyatakan oleh Presidennya, Mohamad Sabu pula berhujah sebagai parti politik mereka perlu "berpolitik sepanjang hayat". Apa akan daya, sudah begitu nafsu politik mereka.

Jadi, jangan harapkan mereka akan berhenti. Pergaduhan politik yang tujuannya untuk mengheret rakyat kerana dijenamakan atas nama rakyat, bahkan akan terus menyelebungi kehidupan kita. Akan terus sesaklah kita dengan jerebu politik ini, yang tidak akan sirna walaupun ditiup angin kencang.

Jerebu politik itu bertambah mengelamkan kehidupan kita apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat langkah luar biasa sanggup bergandingan dengan musuh-musuh tegarnya untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mereka menamakan langkah ini sebagai Deklarasi Rakyat tetapi yang jelas dan nyata ialah, ini hanya satu lagi permainan politik sempit. Mereka menyatakan mendapat sokongan rakyat tetapi sehingga sekarang masih bersusah payah untuk mengumpulkan tandatangan orang ramai.

Kumpulan pakatan diterajui Dr. Mahathir bersama NGO dan parti pembangkang ini sedang merancang untuk menggerakkan program dan kempen bagi menarik sokongan rakyat. Mereka merancang untuk menganjurkan siri jelajah ke seluruh negara, sesuatu yang sinonim dengan gerakan parti-parti pembangkang.

Peluang

Banyak analisis telah dibuat tentang pakatan ini. Yang jelas, pakatan ini bakal melebarkan lagi perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia. Lebih teruk, pakatan ini berpotensi melorongkan Malaysia ke kancah rusuhan ala-Arab Spring yang selama ini berjaya dicegah daripada menular ke negara ini.

Parti-parti pembangkang dan gerombolan mereka nampaknya begitu ghairah untuk memanfaatkan pentas empuk berpermaidani merah yang disediakan oleh Dr. Mahathir ini. Mereka seperti mendapat lesen dan motivasi baharu untuk mengerahkan jentera menggegar Putrajaya.

Aneh bunyinya apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim diuar-uarkan bersetuju dengan pakatan Dr. Mahathir ini. Tentu sekali ada perangkap, kalau tidak pun muslihat dalam gerakan yang tidak terduga ini.

Benar, Dr. Mahathir adalah seorang strategis yang tiada taranya. Dalam apa juga permainan, beliau jarang kalah. Tetapi tentu sekali ada yang terpaksa dikorbankan terutama apabila bersekongkol dengan karakter seperti Kit Siang dan Anwar.

Bagi kem Anwar yang sudah buntu dalam kempen mereka untuk membebaskan beliau daripada hukuman penjara kerana kesalahan meliwat pembantunya sendiri, pakatan ini umpama sinar di hujung terowong.

Tiba-tiba, Dr. Mahathir yang selama berkurun ini menjadi musuh utama sehingga digelar Mahafiraun telah memberikan pelampung kepada Anwar. Anwar yang sudah terhumban ke dalam penjara, umpama mendapat bantuan pernafasan.

Maka, dalam kalangan penyokong tegar pemimpin de facto pakatan pembangkang, ini tentu sekali adalah peluang yang tidak boleh dilepaskan walaupun berhadapan dengan tentangan daripada sebahagian ahli dan penyokong sendiri. Sebab itulah, tanpa banyak berfikir mereka bersetuju dengan pakatan yang dipelopori oleh kumpulan Dr. Mahathir itu.

Maka, tidak mustahil pakatan aneh ini boleh bertukar menjadi gelombang yang akhirnya menjerumuskan negara ke kancah huru-hara atau anarkis yang berpanjangan. Kita hampir-hampir mengalaminya. Kini, mampukah kita menyekatnya? - Zulkefli Hamzah Utusan Malaysia Rencana 13 Mac 2016 6:05 PM

Tags: rusuhan
Subscribe

Posts from This Journal “rusuhan” Tag

  • 'Perkauman' baru di Singapura

    RUSUHAN yang meletus dengan tiba-tiba di Singapura tidak sahaja menggemparkan rakyatnya yang selama lebih 40 tahun menikmati kestabilan dan…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments