kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Popular sebagai kartunis sebelum ceburi politik

HARI ini nama Datuk Sohaimi Shahadan lebih menonjol sebagai seorang ahli politik. Beliau aktif dalam UMNO Bahagian Selayang dan merupakan salah seorang Ahli Majlis Tertinggi parti itu.

Bagaimanapun, sebelum menceburi dunia politik, beliau merupakan seorang guru sekolah teknik dan pernah mencipta populariti sebagai kartunis dengan menggunakan nama penanya Chek.

Bagi para peminat majalah kartun Gila-Gila, Batu Api dan Geli Hati pada penghujung tahun 1980-an dan awal 1990-an mungkin perasan dengan nama itu serta lakaran-lakarannya yang mencuit hati.

Menurut bekas kartunis berusia 47 tahun ini, beliau mula berjinak-jinak dalam bidang perkartunan sejak berusia 15 tahun. Sejak usia remaja banyak karyanya yang telah disiarkan dalam majalah tersebut.

Malah, beliau terhutang budi dengan kartunis Gila-Gila, Allahyarham Rejabhad yang banyak memberinya tunjuk ajar dalam bidang itu bermula pada tahun 1984 iaitu sewaktu beliau bersekolah di tingkatan tiga lagi.

“Saya banyak mengikuti kelas melukis kartun yang dijalankan oleh Rejabhad di pejabat Gila-Gila iaitu Creative Enterprise Sdn. Bhd. di Bangsar, Kuala Lumpur yang diadakan pada hujung minggu.

“Sejak itu, saya semakin aktif melukis kartun dan banyak karya saya disiarkan di Gila-Gila. Saya juga menjadikan melukis kartun sebagai kerja sampingan kerana ketika itu saya masih belajar,” katanya.

Bekas penuntut Politeknik Kuantan, Pahang ini sukar untuk menjauhkan dirinya daripada bidang lukisan biarpun ketika itu sudah pun memiliki pekerjaan tetap sebagai guru di beberapa buah sekolah.

Sohaimi yang pernah mengajar di Sekolah Menengah Vokasional Kluang, Johor pada tahun 1990 hingga 1992 dan Sekolah Menengah Teknik Cheras, Kuala Lumpur (1992-1995) misalnya, terus berkarya dalam bidang seni yang diminatinya itu.

Sambil tidak menafikan melukis kartun bukan sahaja membariskan namanya dalam kalangan kartunis terkenal ketika itu, malah ia juga telah banyak memberi kepuasan dalam jiwanya.

Tidak disangka Sohaimi pernah menjadi kartunis.

Anak kelahiran Butterworth, Pulau Pinang ini juga mengakui bahawa pendapatan bulanannya sebagai kartunis sambilan ketika itu lebih lumayan berbanding sebagai guru yang mengajar subjek lukisan.

“Sebagai kartunis sambilan, pendapatan bulanan saya ketika itu mampu mencecah RM3,000 berbanding gaji sebagai cikgu sekolah yang tidak sampai pun RM2,000 sebulan.

“Selain itu, nama saya sebagai kartunis juga mula dikenali ramai bersama banyak lagi kartunis di Gila-Gila ketika itu antaranya Che Li dan Roslin yang merupakan kartunis sepenuh masa,” ujarnya.

Tidak dinafikan bapanya yang juga gemar membaca pelbagai majalah seperti Mat Jenin dan sering membawa pulang ke rumah naskhah majalah seperti itu banyak menyuntik minatnya melukis.

Kredibiliti Presiden Konsortium Cartoonist At Work (CAW) yang dianggotai puluhan kartunis tanah air ini juga menyerlah apabila pernah diberi kepercayaan mengendalikan ruangan Ragam Kota di akhbar tabloid Mingguan Perdana pada tahun 1990-an.

Beliau yang mendirikan rumah tangga dengan Datin Ruby Arshad, 47, dan dikurniakan enam anak Danial Syafiq, 20, Danish Ameerul, 19, Harith Darwish, 13, Anis Batrisyia, 12, dan Aleesya Qaisara, 6, juga pernah menerbitkan sebuah buku komik kartun bertajuk Ada-Ada Sahaja.

Penerbitan buku itu sebagai bukti minat serta komitmennya dalam bidang perkartunan. Selama terbabit dalam dunia kartun, banyak pengalaman yang telah diraihnya.

Selain sentiasa berfikiran kreatif dan bekerja keras, beliau turut mendapati bidang itu merupakan salah satu saluran untuk mengembangkan lagi kerjayanya.

Sebab itu, tidak hairanlah bermula dengan melukis kartun, seni dan kreativiti dalam bidang seni yang dimiliki oleh anak sulung daripada enam beradik ini diperluaskan lagi dalam bidang-bidang lain.

Sohaimi bersama Datuk Seri Najib Tun Razak. "Bekas kartunis" itu juga aktif dalam politik

Antaranya beliau mula terbabit dalam bidang rekabentuk grafik dengan melakukan pelbagai kerja seperti merekabentuk kulit buku, poster dan bidang penerbitan buku.

“Ketika mula-mula terbabit sebagai kartunis saya tidak menduga akan menceburi bidang itu walaupun mempelajari selok belok melukis secara tidak formal.

Malah, hobi itu juga akhirnya bertukar menjadi duit,” katanya yang amat mengagumi lukisan kartun kartunis Jaafar Taib dan Kerengga.

Pengalaman menceburi dunia kartun juga banyak mengajarnya agar sentiasa peka dengan keadaan sekeliling. Kepekaan itu menjadikan beliau sentiasa berusaha untuk memajukan diri dari semasa ke semasa.

Lantaran itu, maka tidak hairanlah bidang politik yang diceburinya itu banyak memerlukannya berdampingan dengan masyarakat yang mempunyai pelbagai permasalahan serta latar belakang.

“Arwah Rejabhab selalu berpesan kepada saya supaya sentiasa membawa sebuah buku nota kecil sewaktu saya pergi ke mana-mana. Beliau menyuruh saya mencatat apa-apa juga peristiwa penting yang berlaku untuk saya jadikan idea atau bahan dalam berkarya.

“Syukur Alhamdulillah walaupun saya tidak aktif melukis kartun lagi tetapi saya banyak belajar daripada arwah. Antaranya tidak semua pelukis boleh jadi kartunis tetapi boleh dikatakan semua kartunis boleh melukis,” ungkapnya.

Sewaktu kunjungan Mingguan Malaysia di kediaman beliau di Desa Moccis, Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini Sohaimi yang dilahirkan pada 4 Mac 1969 sempat menunjukkan bakatnya melakar kartun dan melukis.

Minat yang mendalam terhadap seni kartun dan lukisan menyebabkan beliau meletakkan jawatannya sebagai guru pada 1996 bagi memberi sepenuh tumpuan dalam bidang tersebut.

United 8 Sdn. Bhd., merupakan syarikat pertama yang ditubuhkannya bersama lima orang pekerja aktif dalam bidang penerbitan buku dan juga periklanan.

Selain aktif berpolitik, beliau yang merupakan bekas Pengerusi Kraftangan Malaysia dan bekas Pengerusi Pelaburan Mara Berhad juga aktif dalam kerja-kerja amal berbentuk tanggungjawab sosial koporat (CSR) terhadap masyarakat.

Beliau yang kini antaranya merupakan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Teratak Che Dah di Kampung Melayu, Kuang, Selangor banyak mencurahkan masa dan tenaganya bagi membantu anak-anak yatim di rumah kebajikan tersebut.

Pada masa sama, beliau bercita-cita mahu menubuhkan sebuah sekolah tahfiz al-Quran yang diuruskan secara lebih profesional bagi membantu para pelajarnya menimba ilmu dan mendapatkan pekerjaan setimpal pada masa depan.

“Saya dapati ramai pelajar tahfiz al-Quran yang tidak terbela nasib mereka sedangkan mereka ini juga amat penting dalam masyarakat. Saya mahu orang yang hafaz al-Quran seperti mereka juga diberi ruang bekerjaya yang setaraf dengan bidang-bidang lain,” katanya.

-
Tags: politik
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments