kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Terap budaya benci rasuah

ANCAMAN akibat perlakuan rasuah bukanlah sesuatu yang baharu malah telah wujud sejak awal kewujudan tamadun manusia.

Akibat tamak haloba dalam memenuhi kehendak nafsu manusia yang senantiasa tidak pernah cukup maka rasuah dijadikan seolah-olah satu budaya, yang mana dianggap tidak berdosa jika diteruskan.

Hakikatnya rasuah merosakkan minda dan menjadikan masyarakat porak poranda kerana nilai jujur dan amanah dalam kehidupan sudah semakin menipis.

Untuk itu seperti kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) DATUK SERI MUSTAFAR ALI, usaha mengenai keburukan rasuah ini perlu dimulakan dari peringkat kecil dan sekolah lagi.

"Kita bantu dari segi melatih atau mendidik atau memberikan pendedahan bagaimana pencegahan rasuah boleh dilakukan. Sudah ada sambutan menggalakkan daripada institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) untuk mewujudkan sekretariat ini".

Kepada wartawan Mingguan Malaysia HAFIZAHRIL HAMID dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI, beliau turut memberikan pesanan, "Persepsi memang sentiasa dilontarkan. Apabila dilontarkan persepsi negatif, adakah ia persepsi atau realiti? Apa yang perlu dibincangkan adalah bagaimana untuk menangani permasalahan ini".

MINGGUAN: Jumlah aduan salah laku berkaitan rasuah meningkat lebih lima kali ganda iaitu daripada 1,902 pada 2014 kepada 10,813 pada tahun lalu, hanya dalam tempoh setahun Unit Integriti (UI) ditubuhkan di setiap agensi berkaitan. Boleh Datuk Seri terangkan tentang kewujudan UI ini?

MUSTAFAR: Jumlah 10,813 aduan itu sebenarnya keseluruhan maklumat yang diterima. Ada yang berunsur rasuah, ada unsur pentadbiran dan ada juga tidak ada unsur apa-apa seperti mereka memberikan cadangan dan sebagainya. Hasil daripada pemerhatian kita, peningkatan ini disebabkan adanya mekanisme UI iaitu saluran dalaman yang dekat.

UI diwujudkan selepas kita melihat beberapa kejayaan di luar negara apabila wujud UI atau apa yang dipanggil internal affairs (unit urusan dalaman) di beberapa tempat atau organisasi, dengan wujudnya pegawai penguat kuasa undang-undang sendiri menerajui kapasiti begitu. Pada 2012, kita buat beberapa benchmarking (perbandingan) dan perancangan mengenai cadangan pewujudan UI. Dan lebih awal daripada itu, kita sudah membincangkan tentang Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO).

Bertauliah ini maknanya, pegawai-pegawai yang hendak dilantik nanti selepas kewujudan UI, disiap sediakan dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran khususnya tentang aspek-aspek termasuk tadbir urus, penyiasatan dan tindakan yang perlu mereka lakukan sekiranya terdapat perlakuan seperti rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa, pemalsuan dan sebagainya yang berkaitan dengan isu rasuah dan lain-lain salah laku.

Berbangkit daripada itu, kerajaan telah bersetuju dengan cadangan SPRM untuk menubuhkan UI di semua kementerian, jabatan dan juga syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) telah membangkitkan perkara ini dan menubuhkan UI masing-masing. Setakat ini, kita ada 887 institusi, agensi, jabatan atau kementerian yang mewujudkan UI. Daripada itu, ada tiga peringkat institusi iaitu yang berisiko tinggi, sederhana dan rendah.

Kita melihat dari segi jumlah maklumat diterima oleh SPRM, siasatan yang dijalankan, tangkapan, pertuduhan di mahkamah, sabitan dan kes tindakan disiplin. Penilaian itu dibuat untuk melihat tahap risiko termasuk bebanan kerja SPRM yang berkaitan dengan sesebuah institusi itu. Mana-mana jabatan yang berisiko tinggi ini, kita hantar pegawai SPRM ke jabatan berkenaan. Setakat ini, kita tempatkan 43 orang pegawai SPRM di situ, termasuk di GLC. Ada 10 GLC yang kita kenal pasti dan juga mereka minta. Ada 11 pegawai kita ditempatkan di GLC. Sebagai contoh Petronas, Felda Global Ventures Holding Bhd. (FGV), Telekom Malaysia Bhd. (TM) dan sebagainya.

Dasar wujudkan UI dan penempatan pegawai itu juga memberikan satu peluang dari dalam, menyiasat dan membantu ketua-ketua jabatan. Sebab adanya, kerjasama yang lebih rapat antara pegawai SPRM dengan ketua jabatan termasuk di peringkat menteri, berbanding apabila ada kes baru kita pergi ke sana. Keduanya, mereka juga sumber punca maklumat dari dalam. Mereka juga dirundingi oleh ketua jabatan dan pegawai untuk mendapat nasihat berhubung dengan tindakan melibatkan siasatan, sama ada kes itu melibatkan rasuah atau tidak ada kaitan langsung. Kalau melibatkan elemen rasuah, maklumat-maklumat itu akan sampai kepada SPRM.

Dengan penubuhan UI ini, boleh disimpulkan bahawa kesedaran dalam kalangan kakitangan institusi kerajaan semakin meningkat. Bagaimana pula dengan sektor swasta?

MUSTAFAR: Sebenarnya apabila kita sebut UI, ia merupakan satu komitmen daripada jabatan, kementerian dan GLC dengan wujudkan satu unit berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 2013. Di dalam itu ada disebutkan enam terma rujukan termasuk tadbir urus, pengukuhan integriti, pengesanan dan pengesahan, pengurusan aduan dan pematuhan tatatertib. Pegawai-pegawai SPRM di dalam melihat sesuatu kesalahan yang dilakukan dengan kecepatan untuk ada maklumat-maklumat itu diperolehi atau disalurkan terus kepada mereka.

Kepada pihak luar atau swasta, sudah ada sahutan untuk mendapat tahu apa yang dibuat. Cuma di sektor swasta, tidak dinamakan UI tetapi wujudkan unit pematuhan, tetapi ada juga yang menubuhkan UI. Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 2013 ini sebenarnya hanya untuk jabatan kerajaan. GLC pula disebabkan berkaitan dengan kerajaan, maka mereka tubuhkan. Berbalik tentang sektor swasta tadi, tanggunjawab sosial korporat adalah satu aspek, dan mereka juga ada penekanan tentang tadbir urus. Apabila sebut tadbir urus dalam GLC atau jabatan kerajaan, mereka juga laksanakan.

Contohnya kod etika dalam GLC dan sektor swasta, mereka mewujudkan apa yang dipanggil Whistleblower protection policy (polisi perlindungan penyalur maklumat). Akta Whistleblower ada, tetapi di peringkat swasta, mereka mewujudkan polisi. Selain itu, mereka wujudkan no gift policy (polisi enggan menerima hadiah). Ini antara inisiatif yang telah disebutkan dalam kewujudan UI dan pelaksanaannya dilaksanakan menghasilkan pelbagai bentuk maklumat. Kerana adanya saluran aduan yang dekat. Apabila pegawai kita ada di situ, mereka cepat melaporkan.

Apabila UI ditubuhkan, antara agenda utama ialah pemantauan dari segi pihak agensi kerajaan, GLC dan swasta. Mungkin boleh dikembangkan kepada parti-parti politik?

MUSTAFAR: Tentunya, kalau hendak kata idealis, kita alu-alukan. Dalam mana-mana parti politik, ada lembaga disiplin. Dalam lembaga disiplin ini ada terma-terma tertentu seperti siapa lembaga, apa dibincangkan dan apa bentuk salah laku yang ditentukan. Tetapi untuk meletakkan pegawai SPRM di pelbagai tempat, bunyinya bagus, tetapi lebih bagus kalau kita melatih pegawai-pegawai mereka untuk menjadi CeIO dari dalam.

Sekarang ini sudah ada 887 institusi sudah mewujudkan UI. Bayangkan kalau 887 orang pegawai SPRM diletakkan, berapa kerat yang tinggal. Kita ada 2,000 lebih pegawai SPRM tetapi 1,000 orang lebih yang melaksanakan operasi. Kalau letakkan 887 orang, separuh termasuk pegawai kanan terpaksa diletakkan di sana. Sekarang ini memang pun, ada GLC yang minta dan kementerian yang berisiko tinggi, kita hantar sampai peringkat JUSA sebab permintaan begitu. Ada yang gred 54 dan kita hantar ramai. Selepas itu gred 44 dan 48.

Kalau kita hantar pegawai kita untuk ditempatkan di dalam parti-parti politik, kita terpaksa menghantar ramai pegawai kita ke luar. Jadi, bagusnya kalau kita melatih pegawai dalaman sebagai CeIO dan balik ke institusi masing-masing melaksanakan apa yang terma-terma rujukan tentang aspek integriti. Itu yang kita buat untuk risiko rendah. Pegawai-pegawai dalaman sendiri yang mengendalikan UI.

Tidakkah lebih baik aspek integriti ini ditekankan dari peringkat kanak-kanak bermula dari sekolah rendah untuk kesedaran. Seperti kata peribahasa, “melentur buluh biarlah daripada rebungnya”.

MUSTAFAR: Itu sangat mulia. Tetapi dalam pendekatan yang sama, kita melaksanakan dengan mewujudkan elemen kurikulum dan kokurikulum yang melibatkan nilai murni dan pencegahan rasuah. Kalau di peringkat sekolah, di tahun enam contohnya kita ada buku teks yang mengandungi selain isu-isu sivik, ada isu melibatkan pencegahan rasuah di peringkat sekolah. Tahun ini telah dimulakan. Mulai tahun ini juga kita membincangkan untuk mewujudkan modul itu dalam buku teks untuk tingkatan satu dan ke atas. Itu untuk sekolah rendah dan menengah.

Untuk institusi pengajian tinggi (IPT) baik awam atau swasta, kita mewujudkan sekretariat pencegahan rasuah (SPR). Semua IPT khususnya awam telah tubuhkah SPR ini. Di dalamnya adalah program yang dilaksanakan dan kita ada sedikit sebanyak peruntukan untuk menjalankan program dengan mereka. Kita bantu dari segi melatih atau mendidik atau memberikan pendedahan bagaimana pencegahan rasuah boleh dilakukan. Sudah ada sambutan menggalakkan daripada institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) untuk mewujudkan sekretariat ini.

Dalam kesempatan yang sama, saya sendiri telah mencadangkan dan mewujudkan bersama-sama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi iaitu majlis eksekutif sekretariat pencegahan rasuah, di mana kita kumpul ketua-ketua sekretariat ini untuk membincangkan program-program yang boleh dilaksanakan di peringkat IPT masing-masing. Itu pada peringkat IPT. Apabila ahli SPR ini habis belajar, mereka akan tubuhkan alumni sekretariat pencegahan rasuah yang dipanggil ASPIRA. Mereka mungkin menjadi profesional atau ketua pegawai eksekutif syarikat dan sebagainya, mereka masih bersama-sama dengan SPRM bagi menerajui di luar sana. Kalau mereka sebagai NGO, mereka akan terajui pelbagai program berkaitan pencegahan rasuah yang telah mereka terdedah dan pelajari dalam SPR semasa di peringkat IPT. Jadi, ia berterusan dan kita akan kembangkan.

Masalah seperti penerokaan haram di Cameron Highlands, mesin judi, judi dalam talian dan juga pendatang asing tanpa izin sering dikaitkan dengan kelemahan agensi penguatkuasaan. Ini menyebabkan timbulnya persepsi dalam kalangan masyarakat bahawa wujud elemen rasuah dalam agensi kerajaan, sekali gus memberikan imej buruk terhadap agensi kerajaan. Komen Datuk Seri?

MUSTAFAR: Persepsi memang sentiasa dilontarkan. Apabila dilontarkan persepsi negatif, adakah ia persepsi atau realiti? Apa yang selalu dibincangkan ialah bagaimana untuk menangani permasalahan ini. Apabila sebut penguatkuasa undang-undang, memang ada perkara ini kita bincangkan. Dalam aspek menangani persepsi itu, kita tekankan tiga strategi. Strategi pertama ialah penguatkuasaan undang-undang, baik kita kata ada pelanggaran undang-undang, tangkapan, siasatan, dakwaan di mahkamah dan sebagainya. Aspek kedua iaitu pencegahan, kita tengok balik di mana agaknya ruang dan peluang perlakuan rasuah ini berlaku.

Contoh isu Cameron Highlands, tangkapan dibuat terhadap beberapa peneroka tanah haram dan anggota agensi penguat kuasa undang-undang. Tetapi kita tengok elemen pencegahan, kenapa ini berlaku, termasuk kelemahan pengeluaran lesen, penerokaan tanah secara haram yang tidak dikuatkuasakan, atau adanya orang awam yang tidak bersama-sama untuk memastikan pematuhan undang-undang dan sebagainya. Apa sahaja insiden berlaku di sana, kita telah perbetulkan. Setelah kita buat pemeriksaan dan perundingan, kita telah keluarkan 12 cadangan. Saya telah keluarkan kenyataan media tahun lepas. Dua belas cadangan ini yang diperakukan, malah kita berjumpa dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta kerajaan negeri.

Saya sendiri bertemu dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob bersama dengan Ahli Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Negeri (Exco), kita bentangkan apakah langkah-langkah terbaik untuk memastikan perkara yang berlaku tidak akan berlaku lagi, bagaimana mengekangnya memastikan pematuhan berlaku dan bagaimana kesepaduan antara masyarakat tempatan dengan agensi penguatkuasaan undang-undang, kerajaan negeri dan kementerian melaksanakan bersama-sama.

Apa saya sebut ini ialah tidak boleh bertindak seorang, sebaliknya semua pihak mesti bersama-sama menanganinya. Lebih-lebih lagi kalau agensi yang sepatutnya melihat secara lebih dekat. Jabatan Pengairan dan Saliran misalnya, yang mesti memastikan keadaan sama ada sungai, saliran dan pengairan tidak berlaku apa yang tidak diingini. Jabatan Alam Sekitar secara umumnya tentang pencemaran sampah sarap, bahan kimia yang dibuang ke dalam sungai dan sebagainya. Pejabat tanah juga perlu melihat sama ada cerun-cerun yang tidak boleh ditarah itu ditarah dan apa tindakan tegas yang perlu diambil.

Langkah pencegahan ini kita tidak tamatkan di situ. Ada strategi ketika iaitu pendidikan masyarakat. Dalam Bahagian Pendidikan Masyarakat yang kita ringkaskan sebagai PenMas di SPRM ini, kita mendidik anggota penguatkuasaan undang-undang supaya berintegriti, jangan lakukan rasuah dan pastikan pematuhan dilaksanakan. Tetapi masyarakat yang hendakkan keuntungan atau apa sahaja dengan meneroka tanah, kita mendidik mereka bahawa bumi ini adalah bumi kita. Kalau hancurkan bumi ini sekarang, dalam tempoh 30 tahun akan datang langsung hancur, anak cucu hendak duduk mana. Jadi, pendidikan itu kita selarikan dan sepadukan sampai akhir nanti pencapaian-pencapaian itu dilaksanakan.

Apakah yang seharusnya dilakukan oleh agensi kerajaan supaya imej tidak terjejas?

MUSTAFAR: Biasanya pihak swasta, agensi dan jabatan kerajaan serta kementerian, mungkin ada yang dipanggil sebagai “menyembunyikan di bawah karpet”. Mereka ambil tindakan sendiri sahaja. Tetapi menutup sesuatu kes supaya tidak terdedah dan memalukan, sebenarnya lebih teruk lagi apabila pendedahan-pendedahan kemudian yang dibuat selepas perkara lebih buruk berlaku. Kalau kita berlaku jujur dan amanah, kita nampak kelemahan berlaku, kita bersama-sama dengan jabatan-jabatan lain untuk menangani permasalahan tersebut. Jangan sampai nanti selepas tiga orang mati tertimbus dalam lumpur misalnya dan selepas itu berlaku lagi lima orang. Takkan kita hendak tunggu sampai 300 orang mati tertimbus sekali atau lebih ramai lagi. Pada masa itu, kemusnahan lebih besar lagi akan berlaku.

Bercakap tentang isu Cameron Highlands hari itu, saya panggil tujuh agensi penguatkuasaan undang-undang ke pejabat saya dan kita bincangkan. Kita bersepadu. Di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Lahad Datu, ada juga elemen-elemen integriti penguatkuasa undang-undang yang kita bincangkan. Ketirisan yang berlaku yang dipanggil Op Licin apabila ketirisan penyeludupan PATI khususnya yang datang dari utara sempadan tanah air. Kita buat mesyuarat dan kesepaduan. Kita berbincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan yang menjaga integriti tadbir urus, kertas itu dibangkit dan dibawa dalam mesyuarat Kabinet.

Selepas itu, saya bentang dalam mesyuarat menteri besar dan ketua menteri. Hasil daripada itu, ada inisiatif-inisiatif seperti Agensi Keselamatan Sempadan ditubuhkan. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah menubuhkan satu agensi yang mensepadukan, yang namanya dulu Unit Pencegah Penyeludupan (UPP), termasuk bagaimana kastam, imigresen dan angkatan tentera yang menjaga sempadan. Semua ini dibuat supaya cara bersepadu melihat isu itu. Persepsi negatif yang dilemparkan mungkin menimbulkan kesedaran, cara-cara proaktif pun ada diambil sebelum kerosakan berlaku. - Utusan Malaysia Rencana 13 Mac 2016 6:06 PM

Tags: rasuah, whistleblower
Subscribe

Posts from This Journal “rasuah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments