kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Dari Temasik ke Melaka, Hang Tuah berdasarkan Sulalatus Salatin

Hang Tuah berdasarkan Sulalatus Salatin

SELAIN sejarah Kesultanan Melaka topik perbincangan lain adalah kewujudan Laksamana Hang Tuah yang sehingga hari ini masih menjadi polemik dalam kalangan ahli akademik, pengkaji sejarah dan masyarakat umum.

Bagi mengupas persoalan tersebut, Felo Kanan Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Prof Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali berkata, Hikayat Hang Tuah tidak digunakan sebagai bahan rujukan bagi membincangkan kewujudan laksamana tersebut, sebaliknya merujuk kepada sumber Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu.


PERIGI Hang Tuah di Kampung Duyong, Melaka.

“Hikayat Hang Tuah tidak diguna pakai sebagai bahan rujukan kerana naskhah itu merupakan epik Melayu, hikayat berperlambangan dan bukan sebuah naskhah sejarah.

“Bagaimanapun, tidak dinafikan terdapat maklumat sejarah terkandung di dalamnya. Misalnya pada bahagian akhir hikayat tersebut, tercatat tokoh bergelar Paduka Raja atau Datuk Paduka Raja yang memang wujud dalam sejarah Johor dan disandang oleh Laksamana Tun Abdul Jamil.

“Gelaran itu dianugerahkan kepada Laksamana Tun Abdul Jamil oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim (1677-1685) kerana berjaya mengalahkan Jambi pada 1679.


ILUSTRASI yang dipercayai merupakan pahlawan teragung kerajaan Melayu Melaka, Laksamana Hang Tuah.

“Justeru, naskhah Hikayat Hang Tuah yang mencatatkan gelaran Datuk Paduka Raja, sudah tentulah ditulis atau disalin sama ada pada atau selepas 1679,” katanya.

Di dalam lapan versi naskhah Sejarah Melayu, hanya dua sahaja iaitu versi A. Samad Ahmad dan keturunan Megat Seri Rama mencatatkan asal Hang Tuah dari keturunan Raja Bajang, Bugis.

Versi lain memulakan kisah Hang Tuah ketika Sultan Mansur bersiap hendak berangkat ke Majapahit untuk mengahwini Raden Galoh Cendera Kirana.

Sungguhpun ada perbezaan, apa yang lebih penting dalam semua versi naskhah Sejarah Melayu ada mencatatkan tentang Laksamana Hang Tuah.

Malah turut dicatatkan selepas Laksamana Hang Tuah meninggal dunia, beliau digantikan oleh Laksamana Khoja Hasan. Setelah angkatan Portugis menyerang dan menakluk Melaka, Laksamana Khoja Hassan meninggal dunia dan digantikan pula oleh Laksamana Hang Nadim.


Dari Temasik ke Melaka

SELEPAS gagal membangunkan semula empayar Srivijaya yang lemah akibat serangan Raja Chola pada 1025, putera raja Srivijaya, Maharaja Sang Utama Parameswara Batara Sri Buana (Sang Nila Utama) membina kerajaan Temasik yang kemudiannya dikenali Singapura pada 1324 (sumber sarjana barat) atau 1160 jika berdasarkan Sejarah Melayu.

Bagaimanapun, dia hanya memerintah selama 48 tahun dan pada 1366, utusan Maharaja China telah mengiktiraf sebuah pemerintah Singapura. Sang Nila Utama kemudian digantikan oleh anaknya, Paduka Sri Pekerma Wira Diraja pada 1372 hinggga 1386 (sumber sarjana barat) atau 1208 hingga 1223 (Sejarah Melayu) dan diikuti cucunya, Paduka Seri Rana Wira Kerma pada 1386 hingga 1399 (sumber sarjana Barat) atau 1223 hinggga 1256 (Sejarah Melayu).



PANDANGAN dari atas bandar raya Melaka.

Cicitnya, Paduka Sri Maharaha Parameswara mewarisi takhta pemerintahannya, namun tidak bertahan lama akibat diusir oleh tentera Majapahit. Akhirnya, Parameswara berundur ke Muar, namun diganggu oleh sejumlah biawak yang begitu banyak. Parameswara kemudian menuju ke Kota Buruk, tetapi usaha mereka untuk membina kubu pertahanan tidak berjaya kerana struktur binaannya runtuh.

Perjalanan diteruskan menuju ke Sening Ujong (Sungai Ujong) dan ketika berada di sana, Parameswara melantik seorang menteri mewakili dirinya sebelum tiba di muara Sungai Bertam (Sungai Melaka).

Masyarakat Seletar yang mendiami kawasan itu meminta Parameswara menjadi raja. Memandangkan lokasi berhampiran laut, ia memudahkan aktiviti perkapalan di samping memperoleh kemudahan bekalan air bersih. Justeru, Parameswara merasakan lokasi itu sesuai untuk dibina kerajaan.

Tambahan lagi, bentuk muka bumi yang berbukit membantu pelayar untuk mengetahui arah pelayaran, sekali gus memudahkan urusan mengawal Selat Melaka. Kewujudan pokok bakau dan Api-Api turut berfungsi sebagai benteng semula jadi. Muara sungai yang terlindung daripada tiupan angin monsun pula membantu melancarkan kegiatan perdagangan.

Ketika sedang berehat di bawah pokok, Parameswara melihat anjing pemburuannya ditendang oleh seekor pelanduk kecil. Merasakan peristiwa itu agak luar biasa, Parameswara memilih untuk mendirikan sebuah kerajaan.

-
Tags: sejarah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments