kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Penemuan Makara bukti kewujudan keagungan kerajaan Melayu Melaka berusia 754 tahun

Melaka berusia 754 tahun

SUDAH sekian lama tarikh pengasasan kerajaan Melaka pada 1400 diguna pakai. Sebelum ini, penggunaan tarikh tersebut tidak pernah dipersoalkan. O. W. Wolters merupakan individu yang mengemukakan 1400 sebagai tahun kerajaan Melaka diasaskan di dalam bukunya, The Fall of Sriwijaya.

Sumber profesor sejarah itu bersandarkan sumber Dinasti Ming dan sumber Portugis, Tome Pires yang berjudul Suma Oriental.

Menurut felo kanan Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali (gambar), Wolters merujuk Tome Pires yang menyatakan pengasas kerajaan Melaka bermula dari Palembang dan fakta itu sengaja ditinggalkan oleh ahli salasilah kerana mempunyai maksud tertentu dan bukan kesilapan ingatan.

Tidak menyebut dengan jelas maklumat Tome Pires tentang pengasasan Melaka itu diterima oleh orang Jawa, Wolters memulakan titik pencarian tahun pengasasan Melaka bermula dari Jawa.


Bukit St. Paul dikelilingi dengan beberapa monumen sejarah yang menarik.

“Bagaimanapun, Wolters menerima catatan Sulalatus Salatin yang menyatakan Raja Iskandar bertakhta selama 25 tahun. Memandangkan sumber itu tidak dapat mengurai serta memecahkan tempoh dan peringkat pemerintah Raja Iskandar selama 25 tahun, Wolters berpandangan bahawa tulisan ahli salasilah adalah meragukan.

“Wolters juga menyatakan ahli salasilah tidak memasukkan pemerintah Raja Iskandar di Palembang kerana tujuan ahli salasilah adalah untuk menggantikan sejarah Sumatera dengan ‘Sejarah Singapura’,” katanya.

Dengan merujuk catatan Tome Pires itu juga, terutama berkaitan Parameswara dengan kerajaan Majapahit, Wolters mengaitkannya dengan kacau bilau selepas kemangkatan Hayam Wuruk pada 1389.

Antara 1389 hingga 1390, pemerintahan Raja Iskandar bermula di Palembang, dan mula memerintah Singapura pada 1392 hingga 1393. Oleh kerana membunuh wakil Siam di Singapura, angkatan Siam menyerang Singapura pada 1398, sekali gus memaksa Raja Iskandar berundur ke Melaka.

Berdasarkan permulaan pemerintahan Raja Iskandar di Palembang dan mangkat pada 1413, Wolters menyusun tahun pemerintahan Raja Iskandar selama 25 tahun sebagaimana dicatatkan oleh Sulalatus Salatin.

Meskipun Wolters mencatatkan 1399-1400, namun beliau mengambil tahun 1400 sebagai tahun Raja Iskandar mengasaskan kerajaan Melaka dan memerintah selama 14 tahun.

Berbeza dengan pendekatan yang digunakan oleh Wolters, Abdullah Zakaria menjelaskan bahawa permulaan kerajaan Melaka jika merujuk kepada Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu Raffless MS No.18, adalah pada 1262.

“Titik bermulanya penelitian tahun pengasasan kerajaan Melaka tidak bermula dari Majapahit atau Palembang, tetapi bermula apabila bertapaknya Raja Iskandar di Melaka dan memerintah selama 20 tahun.

“Seterusnya menjumlahkan keseluruhan tempoh pemerintahan raja-raja Melaka sehingga kedatangan Portugis menyerang dan menakluk Melaka pada 1511,” katanya.

Antara rasional pemilihan Sulalatus Salatin Raffles MS No. 18 berbanding versi lain adalah kerana naskhah tersebut mengandungi maklumat lengkap tempoh pemerintahan bagi setiap raja Melaka.

“Naskhah itu menyatakan Raja Iskandar memerintah selama 20 tahun, diikuti Sultan Mahkota (2 tahun), Sultan Abu Shahid (1 tahun 5 bulan), Sultan Muzaffar (40 tahun), Sultan Mansur (73 tahun), Sultan Alauddin Riayah Shah (33 tahun) dan Sultan Mahmud Shah (30 tahun).

“Dengan melihat tempoh setiap tahun raja memerintah sehinggalah diserang dan ditakluk Portugis, maka jumlah tahun pemerintahan raja-raja Melaka adalah 256.5 tahun, berdasarkan tahun bulan (kamariah),” katanya. Memandangkan jumlah itu mengikut tahun bulan, maka ia perlu ditukar ke tahun matahari (shamsiah) terlebih dahulu sebelum ditolak dengan tahun 1511 (penaklukan Portugis).

Setelah ditukar menggunakan kaedah pengiraan, jumlah tahun pemerintahan Kesultanan Melaka adalah selama 248.7 tahun (dalam tahun matahari). Seterusnya, tahun 1511 ditolak dengan 248.7, kita akan memperolehi 1262 sebagai tahun pengasasan kerajaan Melaka.


Keagungan kerajaan Melayu

SEJAK zaman akhir prasejarah lagi kehebatan orang Melayu sememangnya terserlah dalam dunia pelayaran antarabangsa. Malah kerana itu aktiviti perdagangan juga dikatakan sudah wujud sebelum terbentuknya kerajaan Melaka lagi.

Menurut Timbalan Pengarah, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Zuliskandar Ramli (gambar), ini dibuktikan dengan hujah Blench (pengkaji barat) pada 1994 yang menyatakan jalur pelayaran yang meliputi kawasan timur pesisiran laut Afrika telah digunakan oleh pelayar-pelayar Austronesia atau Melayu sejak awal abad Masihi lagi.

CANDI Kampung Sungai Mas, Kedah merupakan antara tapak zaman Srivijaya.

Pelayar-pelayar ini didapati sudah biasa dengan pelayaran di Lautan Hindi sehingga mereka boleh menduduki Madagaskar.

Bahasa Malagasi yang merupakan bahasa pertuturan masyarakat di Madagaskar didapati amat rapat dengan bahasa Malayo-Polinesia yang banyak digunakan penduduk Indonesia, Malaysia dan Filipina.

“Malah catatan Yunani menyatakan bahawa kapal-kapal Melayu yang besar dan boleh mencapai muatan 1,000 tan telah sampai ke India pada abad kedua atau ketiga Masihi.

“Ini bermakna orang Melayulah yang sebenarnya telah mewujudkan jalur perdagangan di Selat Melaka, bukannya pedagang-pedagang dari India mahupun dari China.

“Dalam erti kata lain, kerajaan-kerajaan kuno di Mesir, Timur Tengah atau India itu sudah biasa dengan kehadiran pedagang-pedagang Melayu yang membawa hasil atau komuniti berharga seperti kapur barus yang digunakan untuk pengawetan mumia, rempah ratus, gaharu, cendana, hasil hutan, hamba abdi serta komoditi logam seperti emas, bijih timah dan sebagainya,” katanya.



INSKRIPSI Kedukan Bukit.

Dalam pada itu, sejak awal abad ke-5 Masihi sehinggalah kedatangan penjajah dari Eropah pada abad ke-16 Masihi, perkembangan perdagangan maritim antarabangsa di Selat Melaka telah membawa kepada jatuh dan bangunnya beberapa pelabuhan entrepot yang strategik dan amat signifikan dengan perkembangan ilmu pelayaran Melayu sejak zaman sebelum Masihi lagi.

Antara pelabuhan entrepot yang berkembang maju termasuklah pelabuhan Kedah Tua, Moloyu (Jambi), Srivijaya, Temasik (Singapura) dan Melaka.

Kesemua pelabuhan dan kerajaan itu berkait secara langsung dengan kerajaan Srivijaya selain merupakan pelabuhan entrepot yang sering menjadi pilihan persinggahan pedagang dari India, Arab-Pasri, China dan Asia Tenggara sejak 500 Sebelum Masihi lagi.

Data mengenai perkembangan kerajaan Melayu Srivijaya, Moloyu, Kedah Tua, Temasik dan Melaka banyak diperolehi dalam bentuk arkeologi dan sumber-sumber bertulis sama ada dari India, Arab-Parsi, China, Asia Tenggara atau Eropah.

Sumber yang menunjukkan adanya kerajaan Srivijaya (yang turut dikaitkan dengan kerajaan Melayu yang lain) diperolehi menerusi bukti arkeologi berupa inskripsi iaitu Inskripsi Kedukan Bukit yang bertarikh 16 Jun di antara 683 atau 682 Masihi.

“Di dalam Inskripsi Kedukan Bukit itu menyatakan tentang kedatangan Dapunta Hyang yang memimpin 2,000 laksa (bersamaan 20,000 bala tentera) dari Minanga Tamwan menyerang kerajaan Palembang, Moloyu dan Kedah Tua,”ujarnya.

Sumber seterusnya diperolehi dari China iaitu perjalanan I-Ching ke Nalanda India untuk mendalami agama Buddha.

“Berdasarkan catatan I-Ching, ketika dia mengunjungi Palembang (Srivijaya) pada 671 kemudian ke Molayu dan kedah tua, ketiga tiga adalah satu entiti atau kerajaan berasingan. Ketika perjalanan pulang dari Nalanda, india (pada 685 masihi) kerajaan Moloyu dan Kedah Tua sudah dicantum atau di bawah taklukan Srivijaya,” katanya.


Penemuan Makara bukti kewujudan Melaka

SEHINGGA kini masih belum terdapat bahan arkeologi ditemukan dalam usaha membuktikan penubuhan kerajaan Melaka pada 1262. Pihak pengkaji belum dapat memastikan di manakah lokasi istana Melaka didirikan.

Menurut Timbalan Pengarah, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Zuliskandar Ramli, usaha mencari bukti arkeologi berupa kepelbagaian seramik asing dan istana Melaka yang dimusnahkan Portugis perlu dilakukan kerana ia dapat menentukan pentarikhan secara kronometrik.

“Salah satu artifak yang boleh dikaitkan dengan legasi keagungan Srivijaya setakat ini ialah makara yang dijumpai di Melaka antara tahun 1907 atau 1908. Pada waktu itu, makara dianggap sebagai salah satu penemuan yang sangat penting.

“Makara ditemukan di bahagian dinding taman bangunan Stadhuys berhampiran persimpangan Jalan Kota dan bertentangan dengan Pejabat Pelancongan Negeri Melaka.

“Namun, terdapat kemungkinan makara (yang kini disimpan dan dipamerkan di Muzium Melaka) itu ditemukan pertama kali di atas Bukit St. Paul sebelum dipindahkan ke lokasinya di bangunan Stadhuys,” katanya.

Katanya, kemungkinan besar terdapat tapak candi di atas Bukit St. Paul sebelum gereja pertama, Hermitage of Ours Lady Grace, dibina oleh Duarte Coelha pada 1521.

Jika dibandingkan dengan lokasi Lembah Bujang, memang terdapat candi di atas bukit itu, sesuai dengan mitologi Hindu yang mengganggap kawasan tinggi sebagai perlambangan kosmos Gunung Mahameru, tempat tinggalnya para dewa.

Kemungkinan candi itu musnah semasa pembinaan gereja. Ini berdasarkan logik ketika Parameswara memeluk agama Islam, semua struktur binaan yang ada kaitan dengan agama Hindu dimusnahkan.


MAKARA yang ditemui di atas Bukit St. Paul antara 1907 dan 1908.

Terdapat juga kemungkinan struktur candi dan makara sudah pun wujud sebelum Melaka dibuka oleh Parameswara yang juga dikenali sebagai Sultan Iskandar Shah.

Zuliskandar beranggapan makara itu mungkin digunakan sebagai perlambangan raja yang mana makara akan diletakkan di sudut atau bahagian depan takhta raja.

Dalam pada itu, menurut Zuliskandar, eskavasi yang dijalankan di padang Kelab Kriket Singapura yang terletak di muara Sungai Singapura mendedahkan penemuan lebih menarik yang boleh dikaitkan dengan sejarah Melayu.

“Ekskavasi pada 2003 itu telah menemukan seramik asing yang digunakan dalam perdagangan antarabangsa yang berasal dari Dinasti Song. Jika diteliti tarikh dinasti itu (960 hingga 1279 Masihi), tarikh itu selari dengan tarikh kedatangan Sang Nila Utama ke Temasik pada 1208 yang diguna pakai oleh sumber Sejarah Melayu.

“Namun, berlaku juga masalah dari segi kronologi apabila kita kaitkan dengan pentarikhan Sejarah Melayu yang merujuk kepada sumber lain seperti catatan D’Albuquerque yang menyatakan serangan Siam ke atas Temasik berlaku pada abad ke-14. Begitu juga penemuan seramik dari Dinasti Yuan (1279 - 1368 Masihi) dan Ming (1368 - 1644 Masihi) yang selari dengan kronologi (Tome Pires) pada abad ke-14 dan ke-15,” katanya.


EKSKAVASI yang dijalankan di padang Kelab Kriket Singapura pada 2003.

Bagaimanapun, menurutnya, sekiranya merujuk kepada tulisan Ali Hasyimi berhubung kerajaan Islam Perlak, sebelum Sultan Perlak (Sultan Makhdum Alaiddin Malik Muhammad Amin Shah II) meninggal dunia pada 1267, baginda mengahwinkan anaknya dengan Parameswara.

“Melihat sumber ini, tarikhnya selari dengan apa yang dicatatkan dalam Sejarah Melayu. Ini bermakna, Parameswara telah memeluk Islam ketika di Temasik lagi, bukannya di Melaka,” katanya.

Selain itu, terdapat penemuan yang membuktikan kewujudan kota Melayu di Temasik iaitu tinggalan atau runtuhan satu sistem kubu pertahanan yang besar, terdiri daripada parit dan benteng dari tanah dan batu.

“Penemuan parit dan benteng itu, hampir sama dengan kota-kota yang ditemukan di Jawa dan Sumatera,” katanya.

Tags: sejarah
Subscribe

Posts from This Journal “sejarah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments