kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pekan jadi penempatan British, Penduduk lalui penderitaan

Penduduk lalui penderitaan

KETIKA zaman darurat diisytiharkan (1948 hingga 1960), pelbagai insiden berlaku, melibatkan pengganas komunis yang dikenali sebagai Parti Komunis Malaya (PKM) dengan pasukan keselamatan.

Di Telok Panglima Garang sendiri pernah terjadi peristiwa tembak-menembak di antara pihak polis dengan pengganas komunis dalam satu kejadian yang berlaku di Telok Mengkuang.

Menurut aktivis sejarah, Mohamad Ali Alimin, di dalam peristiwa itu beberapa pengganas yang melakukan penentangan terhadap kerajaan berjaya dibunuh oleh pihak polis.

“Sebenarnya ketika pendudukan Jepun lagi pihak komunis telah menjalankan kegiatan mereka di Kampung Sijangkang bersebelahan dengan Kampung Telok Panglima Garang. Kumpulan pengganas itu dipercayai datang ke kampung itu menerusi jalan sungai berhampiran kawasan tanjung.


KESAN kemusnahan yang dilakukan oleh pengganas komunis ketika zaman darurat

“Mereka turut menjadikan kawasan Teluk Mengkuang sebagai pusat kegiatan komunis.

“Di dalam operasi menggempur pengganas itu, seorang anggota polis di Telok Panglima Garang yang berpangkat sarjan iaitu Sarjan Tahar telah membunuh tiga orang komunis dan menangkap seorang komunis di Telok Mengkuang pada 1952,” katanya yang juga Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sungai Bumbun (A).

Selain itu, mereka juga membina kem-kem kecil di Batu 8 yang terletak di hadapan jalan masuk ke Kampung Sijangkang. Pihak komunis kemudian mengumpulkan individu-individu yang menjadi penentang kepada kegiatan komunis sama ada dari Sijangkang mahupun luar kawasan itu. Kesemua yang ditangkap seterusnya dibawa ke kawasan kubur dan dibunuh dengan kejam.

“Kezaliman pengganas komunis sememangnya diketahui tidak mengira kaum dan mengenal sesiapapun. Baik Melayu, India atau Cina, sesiapa sahaja yang berani melawan pengganas komunis akan dibunuh.

“Tidak cukup dengan itu, komunis juga memusnahkan beberapa batang paip serta pokok-pokok getah di Kampung Sijangkang dan kawasan berhampiran dengan Telok Mengkuang. Mereka turut menakik pokok-pokok getah di Sipang, Pulau Carey,” katanya.

Penyeksaan tidak hanya berbentuk fizikal dan emosi yang dialami penduduk setempat, malah mereka juga terpaksa menjalani kehidupan dengan serba kekurangan terutama dari segi keperluan makanan.

“Kehidupan pada zaman komunis sangat susah. Barangan keperluan makanan sukar diperolehi menyebabkan bekalan terpaksa dicatu. Beras kapur, misalnya penduduk terpaksa mendapatkan bekalan itu dari Pelabuhan Klang.

“Bagi meneruskan kehidupan yang serba daif, penduduk kampung terpaksa makan ubi kayu dan nasi yang dicampur dengan pisang yang disagat. Ada juga nasi yang dicampur dengan hampas kelapa supaya bertambah banyak hidangannya. Sungguhpun menghadapi penderitaan dan keperitan hidup disebabkan kekejaman komunis namun, penduduk kampung terus tabah meneruskan kehidupan mereka,” katannya.

Dalam pada itu, ketika zaman darurat, penduduk kampung tidak ketinggalan dari menyumbang bakti mempertahankan kedaulatan dan keselamatan tanah air dengan berkhidmat sebagai ‘Home Guard’ atau pengawal kampung.

“Sebanyak 29 sijil pelantikan jawatan itu dikeluarkan di Kampung Telok Panglima Garang, 36 sijil di Kampung Sijangkang, 40 sijil di Kampung Kebun Baru dan 41 sijil di Kampung Jenjarum. Kesemua sijil yang diserahkan ditandatangani oleh Menteri Besar Selangor ketika itu.

“Di antara penduduk Kampung Sijangkang yang menyumbang bakti kepada kerajaan, Yassin Bakar dipilih dan dianugerahkan surat penghargaan bagi mengenang jasa beliau di dalam mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan keamanan negara ketika zaman darurat yang tercetus.

“Begitu juga dengan seorang penduduk yang dikenali Hafiz yang pernah bertugas mengawal dan menjaga kampung secara bergilir-gilir ketika zaman komunis. Seorang lagi penduduk iaitu Janjan Idris turut menyumbang bakti sebagai “Jungle Squard” ketika zaman komunis. Beliau juga bertugas di kampung-kampung berdekatan seperti Jenjarum, Banting, Sungai Lang dan Simpang Morib. Kesemua mereka ini berperanan penting dalam menjaga keamanan negara.” katanya.



Pekan jadi penempatan British

PEKAN
di Telok Panglima Garang pernah dijadikan sebagai penempatan tentera British dan penyimpanan peralatan perang ketika zaman darurat diisytiharkan.

Menurut bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sijangkang, Ahmad Yahya, suasana di pekan menjadi sunyi sepi tanpa aktiviti perniagaan sebaik sahaja pihak tentera British mengambil alih kedai-kedai yang terdapat di pekan itu.


Pekan yang dikatakan pernah menjadi penempatan tentera British ketika era keganasan komunis pada zaman darurat

“Pemilik kedai-kedai tersebut terpaksa memindahkan perniagaan mereka ke Jenjarum. Kebanyakan peniaga terdiri daripada masyarakat Cina. Semua kedai berkenaan dijadikan sebagai penempatan tentera british dan stor penyimpanan senjata dalam usaha membanteras ancaman dan menyekat kemaraan komunis,” katanya.

Ketika zaman darurat berlangsung, kerajaan telah memperkenalkan beberapa rancangan di bawah undang-undang darurat. Salah satu daripadanya ialah menerusi rancangan Briggs yang diadakan pada 1950 menerusi penempatan semula setinggan di kampung-kampung baru bagi memastikan penduduk dapat diasingkan dari pengaruh dan ancaman bahaya komunis.

“Di sini kebanyakan orang-orang Cina dipindahkan ke penempatan kampung baru yang terletak di Jenjarom. Kawasan penempatan itu dipagar dengan dawai berduri dan dikawal rapi oleh pihak keselamatan dalam usaha untuk melemahkan gerakan pengganas komunis memandangkan ada segelintir daripada mereka disyaki membantu di dalam bentuk penyaluran bekalan makanan.

“Bagaimanapun tidak semua yang membantu pihak komunis. Adapun dalam kalangan mereka terpaksa mengambil tindakan sedemikian demi menjamin keselamatan masing-masing. Kalau tidak diberi bantuan, sudah tentu mereka pula yang menjadi mangsa komunis. Orang Melayu pun begitu juga, ada yang diugut supaya membantu mereka.

“Meskipun ketika itu terpaksa menjalani kehidupan di dalam suasana yang penuh dengan kebimbangan, namun hubungan masyarakat pelbagai kaum cukup akrab,” katanya.

Katanya, sepanjang tempoh darurat, dia dapat saksikan bagaimana tentera British melakukan usaha penentangan terhadap pengganas Komunis. Paling tidak dapat dilupakan apabila sebaik sahaja berjaya menewaskan dan membunuh ketua pengganas, pihak British bertindak menggantung mayat pengganas itu di atas sebuah trak yang besar.

“Saya sendiri menyaksikan tentera British membawa mayat yang digantung di atas sebuah trak mengelilingi satu daerah sebagai simbolik menunjukkan kekalahan komunis. Siapa yang kebetulan berada di tepi jalan akan dapat melihat mayat ketua pengganas yang dikenali sebagai ‘Janggut’ itu tergantung dan dibiarkan di atas trak.

“Tujuan mereka bertindak sedemikian adalah untuk memaklumkan kepada masyarakat bahawa pihak British telah berjaya menumpaskan ketua pengganas komunis dan menakut-nakutkan mana-mana pihak yang cuba bersubahat atau bersekongkol dengan mereka.

“Selain itu, mereka turut mengadakan tayangan wayang pacak sebulan sekali berkaitan komunis terutama berita mengenai penangkapan pengganas komunis,” katanya.

-
Tags: komunis, sejarah
Subscribe

Posts from This Journal “sejarah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments