kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Siapa Panglima Garang? Kisah pelbagai versi

Kisah pelbagai versi

DARI cerita lisan lain yang berbeza disampaikan penduduk tempatan mengatakan pada mulanya Kampung Telok Panglima Garang ini telah diduduki sekumpulan Orang Asli suku Temuan. Namun, mereka telah keluar dari kampung tersebut memandangkan sudah menjadi kebiasaan suku kaum ini hidup berpindah randah mengikut musim buah.

Turut diperkatakan tentang perpindahan mereka itu kerana takutkan serangan masyarakat Rawa dari Sumatera yang memperolehi bantuan daripada orang Batak tempatan. Orang Asli Temuan terdiri daripada sebuah komuniti yang kecil dan tidak mempunyai peralatan peperangan untuk menentang sama ada dari sungai atau darat. Justeru, mereka terpaksa berundur jauh ke hulu. Pengunduran mereka bagaimanapun telah membuka jalan pada orang Rawa untuk membuka kampung di kawasan ini. Salah sebuah kampung yang diterokai kemudiannya terletak di salah satu teluk Sungai Langat di mana terdapat seorang ketua yang garang bergelar panglima. Panglima ini digambarkan sebagai seorang yang sangat berani serta tidak mengenal apa yang dikatakan musuh atau tidak langsung takutkan mereka. Panglima tersebut dikatakan tidak pernah tewas dalam apa jua perlawanan. Justeru, dari sikapnya yang berani itulah dinamakan Kampung Telok Panglima Garang.


Barang peninggalan yang diwarisi dari zaman Panglima Garang
Menurut satu cerita lagi, di kawasan petempatan di tepi Sungai Langat ini terdapat seorang panglima raja yang ditugaskan mengawal kawasan laluan sungai ini. Ada yang mengatakan bahawa nama panglima ini ialah Panglima Hitam. Beliau seorang yang sangat gagah, berani dan ditakuti musuh. Tugasnya adalah mengawal kegiatan lanun dan rompakan, mengutip cukai dan memastikan keselamatan penduduk terjamin.

Sesiapa yang tidak membayar cukai atau melakukan kesalahan seperti merompak barang dagangan akan ditentang oleh panglima yang gagah dan bengis ini. Memandangkan kegarangan Panglima Hitam dan keadaan kawasan sungai yang dikawalnya itu agak berteluk, maka kawasan ini pun dinamakan Telok Panglima Garang. Selain itu, asal nama kampung turut dipercayai berpunca dari seorang lelaki yang berjaya membunuh seekor harimau yang sering mengganggu penduduk kampung.

Menurut aktivis sejarah, Mohamad Ali Alimin, disebabkan keberanian lelaki menewaskan sang harimau yang datang mengganggu, dia digelar sebagai panglima garang. “Kegarangannya bukan sahaja membunuh harimau malah kelebihan yang ada padanya juga membolehkan dia menentang musuh-musuh yang cuba mengganggu ketenteraman kampung. “Keberaniannya itu menjadi perhatian ramai sehinggakan kampung tersebut dinamakan sebagai Telok Panglima Garang,” katanya. Dalam pada itu, terdapat versi lain juga yang menyatakan bahawa Panglima Garang merupakan individu yang rapat dengan Sultan Abdul Samad. “Panglima Garang dikatakan sering bertemu dengan sultan di Telok Panglima Garang. Namun, tidak dapat dipastikan sejauh mana kebenaran kisah lisan yang disampaikan itu,” katanya



Siapa Panglima Garang?

TIDAK dapat dipastikan siapa gerangannya Panglima Garang yang sebenar. Malah menjadi persoalan dalam kalangan penduduk sama ada Panglima Garang adalah satu gelaran atau nama sebenar seseorang individu memandangkan terdapat pelbagai versi yang disampaikan mengenai gerangan individu yang dikatakan sebagai Panglima Garang.

Namun, menurut salah seorang penduduk asal tempatan, Norlilah Abdullah, 48, datuknya merupakan individu yang dirujuk sebagai Panglima Garang berdasarkan cerita yang disampaikan oleh arwah ibunya, orang-orang tua dan ketua kampung terdahulu.

“Datuk dahulu diceritakan pernah menjadi pengiring di istana dan diberi gelaran sebagai Panglima Hitam. Jadi, datuk dengan Sultan Selangor terdahulu ada hubung kait. Arwah nenek selalu juga pergi ke istana yang terletak di Klang, sementara arwah ibu yang masih kecil ketika itu dikatakan rapat dengan Tengku Kelana, selain dianggap seperti anak sendiri.

“Perwatakan datuk pada masa dahulu dikenali sebagai seorang panglima yang sangat garang. Semua orang takut dengan dia. Memiliki fizikal bentuk badan yang besar dan tinggi. Di istana datuk dipanggil dengan gelaran sebagai Panglima Hitam. Namun, tidak ramai yang tahu Panglima Garang dan Panglima Hitam adalah individu yang sama. Tidak dapat dipastikan pula sama ada Panglima Garang adalah satu gelaran atau nama sebenar yang digunakan datuk.

“Difahamkan datuk menggunakan nama yang berbeza di tempat-tempat lain kerana tidak mahu dikesan jejaknya atau diketahui kedudukannya. Ibu ada memberitahu bahawa faktor kedatangan datuk ke sini disebabkan pertelingkahan yang berlaku dalam kalangan adik beradik yang berebut kuasa di tanah asal di Sulawesi.

“Namun, disebabkan datuk tidak mahu berebut kuasa dengan adik beradik yang lain, jadi datuk terpaksa mengalah dan membawa diri ke tempat lain sebelum akhirnya sampai ke Telok Panglima Garang. Justeru, dia tidak akan menggunakan nama yang sama setiap kali tiba di mana-mana tempat bagi mengelakkan adik beradik lain mengesannya,” katanya.

Berdasarkan cerita yang disampaikan ibunya lagi, datuknya datang ke sini dalam satu kumpulan yang kesemuanya ada lima orang. Ketika itu, tempat ini belum dinamakan sebagai Telok Panglima Garang.

“Datuk datang menaiki perahu memandangkan kawasan di sini merupakan perairan dan turut dikatakan ada kapal-kapal pernah memasuki di lokasi berhampiran.

“Jadi, apabila sampai, datuk pun membina petempatan awal bersama yang lain. Dikatakan ada kisah penentangan terhadap hasrat Orang Asli yang hendak membina petempatan di sini juga, namun difahamkan datuk menolak keras dan menghalau mereka.

“Ini kerana datuk mahukan petempatan yang hanya diduduki oleh orang-orang dia sahaja. Maka sebab itu, kebanyakan Orang Asli membawa diri ke tempat lain untuk membina petempatan mereka sendiri,” katanya.

Peristiwa mengenai keberanian seorang suami menyelamatkan isterinya dari dibaham harimau menurutnya, lelaki yang dimaksudkan itu merupakan kisah datuknya.

“Mengikut cerita ibu, datuk memang seorang yang berani. Jadi, ketika harimau cuba menerkam nenek, datuk bertindak melawan sehingga akhirnya harimau itu berjaya ditewaskan.

“Disebabkan keberanian datuk tidak ada pada orang lain, maka nama tempat itu dinamakan sebagai Telok Panglima Garang memandangkan hanya orang yang garang sahaja berani menewaskan harimau tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, bercerita tentang punca kematian Panglima Garang, Menurut Rozita Abdullah, 50, datuk dikatakan meninggal dunia akibat ditembak menggunakan peluru emas selepas selesai melakukan tugas menjaga sebuah gudang beras.

“Datuk ditembak banyak kali, namun tembakan musuh tidak pernah berjaya menembusi tubuh datuk disebabkan datuk ada mengamalkan ilmu kebal. Menerusi ilmu kebal yang menjadikan datuk kuat dan kebal daripada serangan apa jua jenis senjata. Hanya selepas salah seorang daripada rakannya memaklumkan kelemahannya kepada musuh barulah datuk mati dibunuh.

“Kelemahan yang diperkatakan adalah mengenai jenis peluru digunakan. Difahamkan hanya peluru emas sahaja yang berkesan membunuh datuk. Sebab itulah, walaupun beberapa kali ditembak menggunakan peluru biasa, namun ia tidak akan berjaya menembusi tubuh datuk. Ketika itu, arwah Pak Ucu kami iaitu Busu Bachok baru berusia dua tahun.

“Pak Ucu yang merupakan juruterbang pertama negara melakukan penerbangan ke Alaska merupakan anak bongsu daripada enam anak, hasil perkahwinan datuk dengan nenek. Di antara adik-beradik, Pak Ucu memiliki wajah yang mirip dengan wajah datuk,” katanya,

Tags: sejarah, tokoh
Subscribe

Posts from This Journal “sejarah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments