kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Ceritalah yang benar

CHUPING, pekan yang terletak di negeri paling kecil di Malaysia iaitu Perlis, tiba-tiba menjadi sebutan. Saban hari, rakyat Malaysia mendengar dan menyebut namanya walaupun mungkin belum pernah sam­pai bahkan tidak dapat mem­bayangkan pun di mana letaknya pekan ini, kecualilah anda o­rang Utara.

Pekan kecil ini bagaimanapun cukup terkenal dalam industri perladangan kerana memiliki estet tebu terbesar di negara kita. Tanaman pa­ling sesuai dengan suhu panasnya.

Pada 1998, Chuping mencipta namanya yang tersendiri apabila merekodkan bacaan suhu tertinggi iaitu 40.1 darjah Celsius - paling panas di Malaysia. Rekod itu belum dipe­cahkan sehingga kini.

Sekarang, dalam keadaan seluruh negara mengalami cuaca panas melampau dengan suhu luar biasa tingginya yang diuar-uarkan sebagai fenomena El Nino, nama Chu­ping kembali popular. Sebagai kawasan yang diiktiraf terpanas di Malaysia, Chuping menjadi rujukan perbandingan sama ada cuaca di negara kita sekarang dianggap cukup panas untuk membolehkan penutupan sekolah, atau tidak cukup panas dan masih boleh tahan panas, untuk meneruskan sesi persekolahan seperti biasa.


Papan tanda khas dipasang di Chuping, Perlis, sebagai memperingati detik kawasan itu merekodkan suhu terpanas di Malaysia. Gambar ihsan AHMAD SYAHARUDDIN

Semalam, kawasan terpanas di Malaysia itu mencatatkan bacaan suhu mencecah 39 darjah Celsius, iaitu melebihi paras gelombang haba 37 darjah Celsius sehingga mendorong pengoperasian sekolah dihentikan. Rentetan itu, semua sekolah di Utara - Kedah dan Perlis - diarah tutup selama dua hari sebagai langkah penjagaan kesihatan murid semasa musim panas.

Seperti diduga, sebagaimana yang pernah berlaku sebelum ini, pengumuman itu disambut dalam reaksi berbaur oleh orang ramai.

Cikgu mengeluh kerana arahan tutup sekolah itu hanya melibatkan pengajaran dan pembelajaran (PdP). Maknanya hanya murid-murid ‘diberi cuti’ sedangkan cikgu ‘tetap’ kena ke sekolah. Di laman sembang sosial Facebook ter­utamanya, ramai meluahkan; “...cikgu pun manusia, cikgu pun tahu panas, tak terkecuali kena strok haba.” Lagipun kalau sudah murid-murid tidak ada, kenapa cikgu masih perlu ke sekolah? Seolah-olah ‘membenarkan’ dakwaan yang cikgu ada banyak tugas perkeranian dan beban kerja lain di luar skop PdP yang perlu dilangsaikan.

Ada juga beranggapan keputusan tidak memberi cuti kepada cikgu walaupun sekolah tutup dibuat kerana enggan melayan suara-suara sumbang berbaur cemburu pekerja sektor lain seperti yang terjadi semasa insiden jerebu tahun lalu.

Dari sudut lain, ramai pula yang mempersoalkan kenapa penutupan sekolah hanya di dua negeri itu sedangkan nege­ri lain pun ‘panas juga’. Seorang teman sempat berkongsi bacaan suhu 38 darjah Celsius yang dirakamkannya pada pukul 1.57 tengah hari di Shah Alam, Selangor (gambar). Tidak pasti pula bacaan suhu di tempat lain, namun rata-ratanya mengeluh panas melampau daripada biasa, malah ada yang mendakwa kononnya rakan itu dan ini ‘tumbang’ kerana kepanasan.

Saya tidak dapat mengesahkan kebenaran dakwaan mereka. Saya juga tidak ada jawapan kepada persoalan dibangkitkan pengguna laman sosial berhubung keputusan penutupan sekolah itu.

Mungkin ada alasan keputusan menutup sekolah untuk murid-murid tetapi tidak untuk cikgu. Mungkin sebab cikgu sudah dewasa dan bijak ‘menjaga diri’ agar tidak terkena impak cuaca panas melampau yang melanda sekarang.

Alasan menutup sekolah hanya di Kedah dan Perlis pula, mungkin seperti disebutkan tadi, negeri lain tidak cukup panas dan masih boleh tahan panas. Atau panasnya tidak berterusan 72 jam. Mungkinlah.

Masalahnya di negara kita ini pihak berkuasa atau orang yang ada autoriti agak berat mulut dan liat untuk menjelaskan secara terperinci bagi memahamkan orang ramai terhadap sesuatu kejadian atau keputusan dan langkah yang diambil. Kebanyakannya lebih suka mengelak.

Keadaan cuaca yang tidak menentu dengan sejuk terlampau seperti yang pernah berlaku di Kelantan dan sekarang El Nino yang sebenarnya telah dirasai sejak beberapa bulan kebelakangan ini, hanya ditepis oleh pihak berkenaan setiap kali ditanya wartawan dengan jawapan: “Ini hanya fenomena biasa.” Yang peliknya, fenomena yang dikatakan biasa itu akhirnya membawa kepada keadaan panas melampau yang dialami rakyat Malaysia sekarang.

Saya teringat ketika tsunami melanda Aceh, Indonesia, pada 2004, penduduk sekitar pesisir pantai barat negara kita me­nyaksikan ratusan malah mungkin ribuan ikan naik ke darat, tetapi disangkal oleh pihak berkuasa sebagai suatu yang luar biasa. Nah! Apa yang berlaku selepas itu sudah menjadi sejarah.

Beberapa kejadian alam yang ‘luar biasa’ juga dilaporkan media akhir-akhir ini antaranya ikan paus terdampar di pantai Pontian, Johor, pada bulan lalu. Walaupun ini bukan kali pertama berlaku di Malaysia, tetapi keadaannya berbeza ketika mamalia itu ditemui di pantai Sabah yang dikelilingi Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi pada 2012.

Namun seperti biasa tidak ada penjelasan saintifik dibuat berhubung kejadian itu, kalau ada pun ala kadar. Entah di mana silapnya isu alam sekitar terutama berhubung perubahan iklim dan pemanasan global begitu ‘segan’ hendak di­sentuh atau dibicarakan.

Mungkinkah pihak berkuasa dan ahli akademik merasakan tidak perlu berbuat demikian kerana pembaca akhbar, penonton televisyen bahkan rakyat biasa tak akan faham, maka sia-sia sahaja membuat penjelasan menerusi media. Mungkinlah.

Maka jawapan paling mudah dan tidak memeningkan kepala ialah, “...tidak ada yang luar biasa.” Maka orang biasa yang dahagakan maklumat ini pun mencari-cari jawapan sendiri daripada sumber yang tidak sah sama ada menerusi Internet atau perkongsian grup sembang sosial. Alangkah baik jika sumbernya adalah pihak berkuasa atau orang yang ada kepakaran dan autoriti tentang sesuatu isu itu.

Menjelang Malaysia menjadi negara maju, pemikiran rakyat juga harus setaraf dengan penduduk negara maju. Bak kata orang putih, “Don’t insult the people intelligence”. Janganlah menganggap rakyat atau orang biasa itu tidak pandai. Terangkan secara baik dan logik, tentu mereka dapat menghadamnya.

Rakyat marhaen macam saya pun hendak tahu kenapa Chuping menjadi kawasan terpanas di Malaysia? Adakah kerana kedudukannya paling dekat dengan matahari ketika sang suria itu melintasi garisan Khatulistiwa? Kalau dekat berapa jaraknya? Ceritalah... Mudah-mudahan rakyat Malaysia akan lebih bijak dan berilmu.

-
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments