DALAM dunia ini, semua orang mahu cepat. Mahu cepat untung, cepat dapat jawapan, cepat dapat keputusan, kerja pun kena cepat, cepat jawab panggilan telefon dan segala macam cepat. Disebabkan desakan mahu cepat ini, ia bagaikan sudah sebati dalam kehidupan seharian, maka kebanyakan kita juga cepat benar menghukum dan membuat andaian serta persepsi.
Pantang ada yang nampak buruk atau tidak kena sikit, ramailah yang cepat menjatuhkan hukuman dan membuat kesimpulan. Contohnya, lihat saja apabila sesuatu berita atau gambar dimuat naik dalam laman-laman sosial, ramai yang akan komen macam-macam.
Kalau gambar yang dimuat naik itu, seorang lelaki berpakaian selekeh dan nampak tidak terurus, cepat saja yang beri komen - ‘Eh, dia ni ‘mat pet’ ni’ (penagih dadah) atau `ni pekerja asing mana pula ni’, atau `rumah mana dia sudah pecah ni’.
Semuanya cepat membuat kesimpulan dan persepsi. Walhal lelaki yang dikata-kata itu, biasa-biasa saja. Tidak terlibat langsung dalam dadah, bukan pekerja asing dalam sektor 3D dan tidak pernah pun terlibat dalam mana-mana jenayah.
Dan dalam banyak perkara juga, ramai suka bertindak melulu. Tanpa selidik terlebih dahulu, terus membuat keputusan, orang itu bersalah hanya berdasarkan cakap-cakap orang lain.
Baru-baru ini, Tesco Bukit Mertajam di Seberang Perai melakukan apa yang kita katakan bertindak berdasarkan kemanusiaan apabila tidak membawa pencuri di dalam pasar raya itu ke muka pengadilan. Mereka tidak berbuat demikian setelah mendengar sebab-sebab lelaki itu mencuri demi untuk tiga orang anaknya yang kelaparan di rumah manakala isterinya dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Bukit Mertajam kerana komplikasi akibat keguguran dan sedang koma.
Pihak Tesco kemudiannya menjalankan siasatan dan pergi ke rumah lelaki itu. Benar lelaki tersebut dalam keadaan terdesak. Lelaki yang tidak bekerja itu mencuri buah pir berharga RM5.75, buah epal Royal Gala (RM6.57) dan enam botol minuman jenama Ranger (RM14.99).
Memang perbuatan mencuri itu sudah tentu tidak betul. Itu perbuatan yang melanggar undang-undang, tetapi disebabkan buntu untuk mendapatkan pertolongan, seorang ayah tidak tergamak melihat anak-anaknya kelaparan. Dan dia terpaksa mencuri.
Sebenarnya, kejadian mencuri makanan, walaupun satu tin sardin dan susu di pasar raya pernah dilaporkan sebelum ini. Ada ibu yang mencuri kerana mahu beri anaknya makan. Dia ditangkap dan dijatuhkan hukuman penjara. Tidak dapat saya bayangkan, bagaimana anak-anak yang sedang lapar di rumah tertunggu-tunggu ibunya yang tidak pulang-pulang kerana sudah dibawa masuk ke lokap polis.
Ini juga memberi semacam tanggapan sinis kepada orang ramai, kenapa seorang yang mencuri sardin, susu atau barangan yang tidak sampai RM10 atau RM20 yang bukan dilakukan kerana suka-suka tetapi untuk beri anak-anak makan, dipenjara demi mendaulatkan undang-undang.
Sedangkan yang menerima atau memberi rasuah atau merompak, bebas. Mungkin sebab pelaku tidak dapat dikesan pihak berkuasa atau mahkamah tidak cukup bukti, atau sudah menerima hukuman tetapi tidak setimpal dengan perbuatannya, membayar denda saja misalnya.
Sebab itu, apa yang dilakukan oleh pihak Tesco ini amat disanjung ramai. Kita bukan memuji Tesco kerana boleh menggalakkan orang ramai mencuri selepas ini. Tetapi kita sanjung kerana nilai-nilai kemanusiaan yang ada pada mereka. Pihak pasar raya ini tidak mengambil tindakan terburu-buru. Mereka melakukan siasatan. Bukan saja melepaskan lelaki itu tetapi menawarkan dia kerja.
Sesuatu yang kita tidak boleh sangkal sama sekali, ibu bapa sanggup melakukan apa saja untuk memberi anak-anak mereka makan. Biar diri sendiri dalam kelaparan, biar apa pun pandangan rendah dan jijik orang ramai pada mereka, asalkan anak-anak mereka dapat makan.
Dan sebenarnya, jika susah, ramai rakyat di negara ini yang boleh menghulurkan bantuan. Lihat saja dalam laman-laman sosial, sekiranya kesusahan sesebuah keluarga itu diketengahkan, ramai yang hendak membantu. Negara ini punya masyarakat yang cukup prihatin.
Yang hendak saya katakan di sini, betapa sesetengah tindakan terburu-buru dan semuanya hendak cepat itu, boleh saja memberi `kesengsaraan dunia’ kepada orang lain. Bukan seorang, malah membabitkan satu keluarga atau lebih dari itu.