kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Menangani ‘kepanasan’ 
gejala rasuah

Sudah lama bumi Kedah tidak dibasahi hujan. Air dari pili pun terasa panas. Baju-baju basah yang disidai mampu kering dalam tempoh tidak sampai dua jam sahaja. Rumput-rumput di kawasan persekitaran kediaman saya habis kering berwarna kuning.

Malah, sepohon pokok buah mangga harumanis yang ditanam di laman rumah pun lambat berbunga. Selalunya pokok ini akan berbunga pada Januari dan mula mengeluarkan buah pada April. Apa yang berlaku di Kedah dan Perlis berbeza dengan beberapa tempat di negeri lain.

Misalnya, semasa saya pulang ke Jitra dari Kuala Kubu Bahru (KKB) Selangor pada petang Ahad lalu, hujan lebat telah membasahi bumi KKB sehinggalah ke Kampar, Pe­rak. Sebaliknya, bermula dari Gopeng sehingga ke Jitra tiada setitik pun air hujan. Dengan kata lain, selain suhu di Chuping, Perlis dan Alor Setar, Kedah yang cukup tinggi, suhu di kawasan utara yang lain terutamanya di Ipoh juga turut tinggi.

Cuaca amat panas yang melanda di utara tanah air pada masa kini bukan setakat menyebabkan penduduknya berasa tidak selesa tetapi juga tumbuh-tumbuhan juga me­nerima impaknya. Tidak kurang juga ramai rakan saya yang mengalami demam ekoran cuaca terlalu panas.

Maka, memang wajar sangatlah kerajaan mengumumkan cuti sekolah selama dua hari bermula semalam dan hari ini. Kerajaan juga wajar mengumumkan cuti persekolahan di kawasan-kawasan tertentu yang mana suhunya cukup tinggi misalnya di Ipoh, Perak meskipun di kawasan-kawasan lain sekitar Perak suhunya tidaklah setinggi di Ipoh.

Dalam hal ini, ke­sihatan itu adalah lebih penting berbanding pendidik­an. Jika kesihatan anak-anak tidak terjaga, mana mungkin mereka ini dapat belajar dengan baik. Sewajarnya dari awal lagi kerajaan perlu mengisytiharkan cuti sekolah kerana bukan baharu dua hari lepas panas yang amat terik melanda Kedah dan Perlis serta di kawasan-kawasan utara tanah air seperti di Ipoh. Apa yang cukup dibimbangkan, serangan strok haba yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja terutamanya anak-anak kecil.

Secara kebetulan, cuaca panas yang melanda negara kini berlaku semasa pelbagai kes panas melibatkan gejala ra­suah didedahkan di media massa. Dengan kata lain, gejala rasuah yang didedahkan di media massa telah memanaskan lagi suhu negara kita yang sememangnya amat panas. Setiap hari ada sahaja kes penyelewengan dan rasuah yang melibatkan begitu banyak wang kerajaan dilaporkan di media massa sejak kebelakangan ini.

Apakah yang sebenarnya terjadi sehingga banyak kes rasuah didedahkan di media massa? Adakah semakin ramai rakyat kita sudah hilang pertimbangan dengan melakukan pelbagai penyelewengan dan rasuah? Adakah disebabkan tekanan hidup dan ekonomi serta gaya hidup rakyat Malaysia yang semakin berubah menyebabkan ramai yang sanggup melakukan penyelewengan dan rasuah?

Sudah tentu kerja kuat pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang tanpa memilih bulu membantu membendung gejala rasuah ini daripada merebak pada tahap yang kronik. Tahniah diucapkan kepada pihak SPRM meskipun terdapat segelintir pihak yang membuat tohmahan kepada organisasi yang dari dahulu lagi diyakini oleh kita semua.

Usaha yang dilakukan oleh SPRM sewajarnya dibantu oleh pihak-pihak lain terutamanya pihak juruaudit dalaman dalam kementerian dan agensi-agensi kerajaan. Mereka inilah barisan hadapan yang boleh membantu kerajaan menangani gejala rasuah.

Apa yang penting di sini, juruaudit dalaman tidak perlu gentar untuk membantu kerajaan agar gejala rasuah ini ditangani sebaik mungkin. Juruaudit dalaman juga memainkan peranan yang cukup penting dari sudut memperkukuh­kan kawalan dalaman sesebuah organisasi.

Sebarang kelemahan dalam kawalan dalaman dikenalpasti dan seterusnya tindakan pembetulan dilakukan de­ngan seberapa segera. Tidak cukup dengan itu, juruaudit dalaman sewajarnya berfungsi membantu pihak atasan mengkaji semula sebarang prosedur lama yang tidak lagi relevan dalam menangani sebarang aktiviti penyelewengan dan rasuah.

Maka, dalam hal ini institusi juruaudit dalaman sewajarnya diperkasakan agar sebarang tingkah laku yang melibatkan penyelewengan dan rasuah benar-benar tidak menjadi barah dalam sesebuah organisasi.

Selain juruaudit dalaman, kerusi ketua pegawai integriti (CIO) wajar diwujudkan di semua kementerian dan agensi kerajaan. CIO ini bertindak bukan hanya semata-mata untuk memantau agar tiada aktiviti penyelewengan dan rasuah berlaku dalam organisasi kerajaan tetapi juga mewujudkan suasana integriti dan etika dalam organisasi kerajaan berkenaan. Malah, CIO boleh berperanan menasihati ketua-ketua jabatan dalam memastikan organisasi kerajaan tersebut sentiasa bersiap-siaga dalam mengurus risiko ke atas rasuah dan penyelewengan.

Tunjangnya di sini budaya integriti dan beretika berpaksikan pegangan agama yang kukuh boleh membentuk sesebuah organisasi yang sifar penyelewengan dan juga sifar rasuah. Meskipun perjuangan untuk memerangi rasuah ini memakan masa, namun ia perlu dilaksanakan dengan melakukan perubahan yang lebih menyeluruh melibatkan semua pihak di dalam negara ini.

Hasilnya pasti akan dinikmati pada masa akan datang meskipun pada ketika itu kita sendiri yang hidup pada masa kini sudah tiada lagi. Apa yang penting kemakmur­an Malaysia berterusan tanpa rasuah demi kelangsungan anak-anak Malaysia pada masa akan datang.

- Rohami Shafie Utusan Malaysia Rencana 23 Mac 2016 6:30 PM
Tags: rasuah
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments