kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Signifikan Zoo Negara, pikul haiwan masuk zoo

Signifikan Zoo Negara

ZOO NEGARA pernah menerima lebih sejuta pengunjung setiap tahun bermula 1985 sehingga 1995. Itu merupakan masa gemilang Zoo Negara yang mencipta rekod kedatangan pengunjung paling ramai.

Sepanjang sepuluh tahun itu, pelbagai program dan aktiviti diperkenalkan bagi menarik perhatian rakyat Malaysia melawat Zoo Negara. Disebabkan sokongan masyarakat itu, Zoo Negara pernah mencatat pendapatan tertinggi pada 1987.

Ditubuhkan dan ditadbir di bawah Persatuan Zoologikal Malaysia, Zoo Negara memainkan peranan terhadap pembangunan Malaysia sejak 53 tahun kewujudannya. Walaupun pada masa kini, terdapat beberapa zoo di tempat lain yang mempunyai tarikan lebih istimewa dan popular, Zoo Negara tetap utuh berada di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur.

Pernah melalui waktu-waktu sukar termasuk ketika peristiwa 13 Mei 1969, persaingan dengan tempat-tempat tarikan terbaharu di ibu negara dan isu perpindahan lokasi, konflik dalaman persatuan, isu kebajikan haiwan dan kekurangan peruntukan, Zoo Negara berjaya mengharungi cabaran sehingga ke hari ini.

Perlu diingatkan Zoo Negara ditadbir oleh badan bukan kerajaan (NGO) yang tidak bertujuan meraih keuntungan, sebaliknya perlu menjana pendapatan sendiri bagi membolehkan ia terus beroperasi.


Zoo Negara menjadi tumpuan rakyat Malaysia

Walaupun pernah wujud isu desakan agar Zoo Negara diambil alih kerajaan, ia tidak sewenang-wenangnya boleh dilaksanakan. Sebaliknya kewujudan Zoo Negara yang memberi kesan signifikan kepada masyarakat Malaysia wajar diberi sokongan secara berterusan.

Kos untuk menggaji pekerja dan menguruskan haiwan yang jarang-jarang dapat kita lihat selain di dalam televisyen bukan sesuatu yang boleh dipandang enteng.

Zoo Negara mungkin banyak meninggalkan nostalgia dan kenangan indah buat anak-anak dari generasi ke generasi di Malaysia dalam mempelajari dan mengenali dunia haiwan dan alam sekitar.

Malah ia juga tidak terlepas daripada menjadi perhatian pengunjung dari luar negara yang menjadikan Zoo Negara sebagai antara lokasi lawatan mereka ketika melancong ke Malaysia.

Pasti usaha-usaha ke arah kebaikan demi kemandirian Zoo Negara yang dilaksanakan termasuk dengan bantuan daripada kerajaan tanpa berbelah bahagi amat bertepatan kerana ia membawa nama negara kepada pengunjung.

Wartawan S2, FAIZAH IZZANI ZAKARIA dan MOhamad ATHIR ISMAIL serta jurugambar NOORADZRENE MOHAMMED NOR dan ROY AZIS ABD. AZIZ menyelusuri sejarah, pengalaman dan cabaran Zoo Negara dalam berhadapan dengan arus pembangunan dan terus wujud bagi kepentingan Malaysia.

Pikul haiwan masuk zoo

KETIKA satu pameran yang dianjurkan Persatuan Pertanian dan Holtikultur (MAHA) di Kuala Lumpur pada 1958, Victor Mercy Hutson terlibat mempamerkan haiwan-haiwan peliharaannya.

Tan Sri Victor Mercy Hutson memegang anak singa yang baharu lahir yang kemudian ditempatkan di Zoo Negara.

Antara haiwan yang dipamerkan termasuklah tiga ekor Orang Utan yang dinamakan Jacko, Suzan dan Jane, selain harimau baka Indo-China bernama Nikky serta enam ekor buaya air masin.

Pameran haiwan itu menyebabkan rakyat Malaysia yang datang ketika itu teruja. Mungkin kerana agak sukar untuk mendapat peluang melihat haiwan seperti itu.

Maka, timbul cadangan agar Tanah Melayu yang baharu setahun mencapai kemerdekaan mempunyai sebuah zoo yang mempamerkan pelbagai spesies haiwan yang tidak pernah mereka lihat secara langsung.

Hutson diundang sama bertemu dengan Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman untuk berbincang mengenai penubuhan sebuah zoo.

Disebabkan kekurangan dana, kerajaan tidak dapat menubuhkan sebuah zoo yang ditadbir dan diuruskan olehnya ketika itu. Justeru, Hutson yang mempunyai minat mendalam terhadap haiwan ditawarkan untuk menubuhkan sebuah zoo seperti dicadangkan.

“Apabila Tunku Abdul Rahman menerima cadangan itu, beliau mencadangkan kepada Hutson agar memilih kawasan yang sesuai di Kuala Lumpur untuk dibina sebuah zoo,” kata Timbalan Presiden Persatuan Zoologikal Malaysia, Rosly Ahmat Lana.

Tiga ekor Orang Utan yang dinamakan Jacko, Suzan dan Jane pada asalnya dimiliki Hutson kemudian diletakkan di Zoo Negara sebaik pembukaannya.

Rosly yang merupakan salah seorang anak angkat kepada Hutson menceritakan, Tunku Abdul Rahman pernah mencadangkan kawasan yang mempunyai tasik di sekitar Kuala Lumpur untuk dijadikan zoo.

“Beliau mencadangkan kawasan yang kini adalah Tasik Perdana untuk dijadikan zoo. Namun, bapa angkat saya tidak bersetuju kerana ketika itu, dia sudah nampak bahawa kawasan itu akan dihimpit pembangunan.

“Ini kerana dia melihat zoo di London mengalami situasi yang sama apabila ia dihimpit arus pembangunan. Dia tidak mahu zoo di Kuala Lumpur menjadi sedemikian,” katanya.



Kawasan tanah dan tasik di Hulu Kelang sebelum dibangunkan sebagai Zoo Negara.

Setelah Persatuan Zoologikal Malaya ditubuhkan pada 1962 bagi menguruskan penubuhan zoo, beberapa kawasan dikenal pasti sebagai lokasi untuk dijadikan zoo pertama di Malaysia ketika itu. Nama persatuan itu kemudian ditukar menjadi Persatuan Zoologikal Malaysia selepas penubuhannya diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan pada 1975.

Rosly yang merupakan adik kepada bekas Presiden Persatuan Zoologikal Malaysia, Allahyarham Datuk Ismail Hutson berkata, setelah tinjauan dibuat, Hutson menemui sebuah kawasan sesuai di Hulu Kelang.

“Ketika mula-mula mahu dijadikan zoo, bapa angkat saya pernah memikul sendiri haiwan peliharaannya untuk dibawa ke kawasan yang dipilih itu. Malah petugas pertama zoo dikenali Abdul Rahman pernah diarahkan pergi ke Afrika untuk mendapatkan seekor zirafah bagi ditempatkan di zoo baharu itu,” katanya.

Namun, katanya, setibanya di pelabuhan, pihak pengurusan zoo tidak membincangkan mengenai cara untuk membawa zirafah berkenaan memandangkan tidak banyak laluan yang dibina menuju ke Hulu Kelang dan melalui kawasan zoo ketika itu.


Zirafah, antara haiwan terawal yang diambil dari Afrika untuk ditempatkan di Zoo Negara pada 1963.

Jadi, mereka terpaksa melalui jalan yang berliku-liku dan jauh semata-mata untuk sampai ke lokasi zoo. Apa yang penting, zirafah berkenaan selamat sampai.

Ia merupakan zirafah pertama dibawa masuk ke zoo. Lebih menarik, zirafah itu telah menghasilkan beberapa generasi zirafah yang kemudian diberi kepada zoo-zoo lain di Malaysia.

Selain zirafah, banyak lagi haiwan-haiwan lain diterima oleh Zoo Negara sebaik sahaja penubuhannya. Kebanyakannya diderma oleh kedutaan-kedutaan negara asing yang ada di Kuala Lumpur ketika itu.

Ketika itu juga, Zoo Negara banyak menerima sumbangan dana dan bantuan dalam pelbagai bentuk termasuk peralatan dan kelengkapan zoo daripada syarikat tempatan dan antarabangsa yang beroperasi di Malaysia.

Pada 14 November 1963, Tunku Abdul Rahman merasmikan penubuhan zoo pertama di Malaysia ketika itu dikenali Zoo Negara dengan harga tiket ketika itu cuma 50 sen.

Ditanya mengenai saat-saat kritikal sepanjang kewujudan Zoo Negara, Rosly berkata, ia berlaku ketika peristiwa hitam negara pada 13 Mei 1969. Ketika itu katanya, Zoo Negara terpaksa bertahan selama beberapa bulan selepas kejadian buruk itu tanpa sebarang kehadiran pengunjung mahupun bantuan kewangan daripada mana-mana pihak termasuk kerajaan.

“Cuma pihak tentera yang membantu dalam aspek penjagaan haiwan. Selebihnya kami bertahan selama mungkin. Mujur sehingga kini, Zoo Negara mampu lagi berdiri megah memainkan peranannya kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Mengenai perancangan masa depan, Rosly berkata, beberapa haiwan lain akan dibawa masuk ke Zoo Negara, antaranya biawak Komodo dan burung Cenderawasih dari Indonesia serta Red Panda dan Golden Monkey dari China.

Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments