kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

4,000 tahun cari makam Ratu Nefertiti

DUNIA arkeologi Mesir purba menjadi heboh baru-baru ini apabila Kerajaan Mesir mengumumkan penemuan bukti yang boleh merungkai misteri makam Ratu Nefertiti yang tidak pernah ditemukan sebelum ini.

Sejak sekian lama, lokasi sebenar tersembunyinya makam Ratu Nefertiti yang dikatakan merupakan ibu tiri kepada Raja Tutankhamen yang meninggal dunia pada usia yang amat muda terus menjadi tanda tanya.

Namun kerajaan Mesir didakwa menjumpai bukti susulan yang dapat merungkai kedudukan sebenar makam Ratu Nefertiti yang sebelum ini dikatakan ‘makam yang hilang’.



Dinding yang berjaya ditebuk sehingga membawa kepada penemuan bilik khas makam Raja Tutankhamun pada 1922. SUMBER WWW.NGM.NATIONALGEOGRAPHIC.COM

Menurut Reuters, Menteri Antikuiti Mesir, Mamdouh el-Damaty mengumumkan penemuan terbaharu itu minggu lalu dengan menyatakan bahawa makam Ratu Nefertiti yang terkenal dalam sejarah Mesir purba itu mungkin berada di bahagian belakang bilik yang menempatkan makam Raja Tutankhamen.

Makam Tutankhamen telah ditemui oleh pakar arkeologi dari Britain, Howard Carter pada 1922 yang melakukan kerja-kerja ekskavasi di sebuah lokasi di Mesir.

Carter menyifatkan makam Tutankhamen merupakan makam raja Firaun yang paling lengkap ketika ditemui di sebuah bilik khas. Ia merupakan satu-satu makam raja Firaun yang tidak pernah diusik oleh mana-mana perompak kubur ketika itu.

Patung Ratu Nefertiti yang kini ditempatkan di Muzium Berlin membuktikan kecantikan tidak terperi ratu Mesir itu. WWW.WIKIPEDIA.ORG

Kemudian pada 2015, seorang pakar Egyptologi dari Britain, Nichloas Reeves membuat penemuan yang dianggap mampu merungkai misteri mengenai Ratu Nefertiti, seorang wanita yang memiliki kecantikan luar biasa dan pemerintah yang terkenal ketika zaman raja Firaun Mesir.

Ketika sedang mengkaji rekod imbasan makam Tutankhamen, Reeves tersedar terdapat tanda-tanda pada dinding bilik khas yang menempatkan makam raja muda itu. Ia seperti tanda sebuah pintu yang tersembunyi.

Sejak itu, kajian lanjut dijalankan dan Reeves mengandaikan bahawa kemungkinan terdapat sebuah lagi bilik di sebalik bilik makam Tutankhamen itu. Reeves kemudian mengumumkan bahawa ia mungkin merupakan makam Ratu Nefertiti.

Sekiranya terbukti benar, ia bakal menjadi penemuan arkeologi yang menakjubkan dan signifikan sejak Howard Carter menemui makam Tutankhamen.

Kes penemuan makam Ratu Nefertiti ini kini mendapat perhatian pelbagai pihak di peringkat antarabangsa yang begitu berminat terhadap Ratu Nefertiti yang meninggal dunia dipercayai kira-kira 4,000 tahun lampau.



Barangan dan peralatan bernilai yang ditemui di dalam makam Raja Tutankhamun pada 1922. SUMBER WWW.I.TELEGRAPH.CO.UK -

Nefertiti merupakan ratu yang berkahwin dengan Firaun Raja Amonhatep yang memulakan amalan penyembahan terhadap matahari.

Tidak banyak maklumat sahih mengenai asal usul dan latar belakang ratu yang cantik menawan ini namun legasi keindahan wajahnya yang dapat dilihat pada sebuah patung ukiran yang kini dipamerkan di sebuah muzium di Berlin, Jerman terus menjadi tanda tanya kepada para pakar dan cendekiawan hari ini.

Salah satu teori mencadangkan Nefertiti yang bermakna ‘wanita anggun sudah datang’ itu dilahirkan di Syria.

Pada pengumuman mengenai perkembangan terbaharu mengenai kewujudan lokasi makam Nefertiti itu, el-Damaty berkata, hasil imbasan yang dijalankan oleh Reeves sebelum ini mendapati terdapat beberapa perkara yang berbeza di sebalik dinding bilik ma­kam Tutan­khamen itu yang mungkin merupakan bahan diperbuat daripada besi dan juga organik.

Ia mengukuhkan pendapat bahawa berkemungkinan terdapat satu lagi bilik khas yang menjadi makam kepada golongan diraja Mesir purba di sebalik bilik yang menempatkan makam Tutankhamen itu.


Makam Tutankhamun dipercayai bakal merungkai misteri makam Ratu Nefertiti. SUMBER HTTP://MEDIA.NPR.ORG

El-Damaty berkata, hasil imbasan yang telah dihantar untuk analisis di Jepun juga mendapati 90 peratus bukti menunjukkan ada sesuatu di sebalik bilik makam Tutankhamen itu.

Kata el-Damaty, imbasan pada tahap lebih tinggi akan dijalankan dalam masa terdekat bagi menentukan kawasan kosong yang ditemui di sebalik makam Tutankhamen itu merupakan sebuah bilik makam yang lain.

Kemudian barulah keputusan akan dibuat mengenai bagaimana untuk membenarkan satu pasukan arkeologi akan dibenarkan memasuki kawasan itu nanti.

“Kami boleh katakan 90 peratus bahawa terdapat sebuah bilik di situ. Tetapi saya tidak boleh memulakan apa-apa langkah selagi belum 100 peratus pasti,” katanya.



Disebalik dinding hieroglif yang terukir pada dinding di dalam bilik makam Tutankhamen ini dipercayai mempunyai sebuah bilik makam Nefertiti. SUMBER WWW.ANCIENTORIGINS.NE

Penemuan makam Nefertiti itu jika berlaku, akan membantu memulihkan industri pelancongan Mesir yang menjadi teruk sejak kejatuhan kepimpinan Presiden Hosni Mubarak pada 2011.

Sementara itu, Reeves yang mengetuai pasukan arkeologi Nefertiti itu percaya, moseleum yang menempatkan mayat Tutankhamen pada asalnya merupakan bilik makam yang menempatkan Nefertiti sesudah kematian ratu itu.

Bilik makam Nefertiti itu kemudian dihadang dengan sebuah lagi dinding untuk dijadikan sebagai makam Tutankhamun yang meninggal dunia kemudian.

-
Tags: arkib
Subscribe

Posts from This Journal “arkib” Tag

  • Bahan sejarah sekadar diperam

    Jabatan Muzium Dan Antikuiti, Filem Negara Malaysia (FNM) dan Jabatan Arkib Negara adalah tiga agensi kerajaan yang menyimpan banyak bahan bersejarah…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments