kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Apa patut anda buat bila 'kantoi'

KANTOI secara umumnya bermaksud terbongkar atau terdedah. Perkataan ini hanyalah bersifat bahasa slanga iaitu tiada dalam bahasa baku atau yang biasa digunakan dalam percakapan dan tulisan rasmi Bahasa Malaysia.

Kantoi adalah bahasa generasi muda hari ini. Samalah seperti perkataan "poyo, kipidap, awek, bro, cun, klebergurl, macai, wateva" dan sebagainya. Perkataan di atas boleh dimasukkan dalam daftar rasmi sekiranya pakar-pakar bahasa bersetuju, berdasarkan kriteria khusus yang menjadi panduan.

Bahasa slanga ini biasanya diguna dalam kalangan remaja untuk berkomunikasi secara verbal mahupun media sosial. Penulisan dan perbualan rasmi jarang menggunakannya.

Yang membimbangkan kecenderungan portal-portal berita berbahasa Melayu yang selamba menterjemahkan bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia menggunakan kaedah Indonesia. Torque ditukar jadi tork, walhal istilah rasmi ialah kuasa kilas; suspension jadi suspensi (istilah rasmi: sistem gantungan).

Sama ada penulisnya benar-benar rendah pengetahuan mengenai Bahasa Malaysia atau sangat malas hendak menyelidik, tidaklah kita tahu. Apapun, setakat ini sahajalah hendak sentuh hal serius. Mari teruskan dengan Merrepak.

Merrepak hari ini menumpu kepada perihal "kantoi". Jelas pemilihan perkataan slanga kantoi disasarkan kepada semua usia dengan menghuraikan situasi agak memalukan ini, dan cadangan kepada anda untuk menanganinya bukan secara fizikal.

Kantoi cuti sakit

Jumaat beritau bos tak sihat, minta cuti sebab hendak jumpa doktor. Pagi Sabtu dalam grup Whatssap seseorang ucapkan dia "Sudah terbang ke? Selamat bercuti!".

Tak. Dia tak kantoi. Dia jumpa doktor di luar negara (sila bersangka baik, walaupun mata pandang ke siling).

Kantoi tertekan 
video terlampau

Semasa duduk santai di ruang tamu bersama ibu dan adik-beradik, semua sedang tekun membelek gajet elektronik masing-masing. Anda sedang membelek Facebook. Tak semena-mena video ternyala dengan suara nyaring. Video terlampau! Terkial-kial anda menutupnya tetapi terlambat. Semua termasuk ibu memandang anda dengan pandangan tajam.

Pergi ke setting Facebook dengan mematikan fungsi automatik video. Cara hendak menjelaskan bagaimana video terlampau ada dalam Facebook kepada ibu anda, pandai-pandailah sendiri.

Kantoi ponteng kelas

Esok ada latihan ujian Kemahiran Hidup. "Latihan ujian" bermaksud bukan ujian rasmi yang masuk dalam laporan tahunan. Baru berlatih untuk diuji. Tetapi anda sangat malas. Jadi direkalah alasan demam. Dalam Instagram, ada gambar anda di bistro. Guru memang tiada dalam senarai pengikut tetapi ketua kelas anda ada. Kantoi!

Tahukah mengapa orang dewasa tidak suka media sosial? Ini kerana privasi hilang. Mengapa orang muda kemaruk hendak beritahu apa dibuat, dimana berada, apa dimakan dan ke mana dituju dalam Instagram dan Facebook hari ini adalah sesuatu yang hanya menggembirakan stalker. Orang lain tak peduli pun.

Kantoi prank tidak menjadi

Semasa hendak keluar lif, anda nampak kawan anda beberapa meter di hadapan hendak masuk dan meminta anda menahan pintu. Ini masa sesuai untuk kenakan dia. Anda lepaskan "angin" agar kawan anda terhidu bau tengit dalam lif. Elok sahaja dia masuk, bos anda tiba-tiba muncul. Dan pintu lif pun tutup.

Anda tidak tahu hendak gelak atau pun sangat-sangat takut. Ini disebabkan gas yang anda lepaskan adalah hasil makan dua biji telur setengah masak. Berani tanya kawan yang naik lif dengan bos itu?

Kantoi sabotaj Facebook

Guna komputer pejabat untuk main Facebook. Sebab itu kita nampak dia kemas kini setiap sejam. Bila masa bekerja? Bila pergi makan, lupa nak Log Out. Datang kawan-kawan nakal, muncullah posting pelik-pelik. Bila balik, anda mengamuk. Siap bagi amaran penumbuk dalam Facebook.Dua situasi kantoi di sini ialah anda salah guna kemudahan pejabat untuk main Facebook dan kemudian marah orang pula kerana kesalahan pertama anda.

Kantoi mengaku berpangkat Datuk

Dengar cerita, anda kena ada pangkat Datuk untuk duduk semeja dengan jutawan lain. Memudahkan anda melobi projek. Jadi jika tidak dapat pangkat Datuk di Malaysia, cari di luar. Tidak kisahlah dari mana. Kalau Kesultanan Palau pun boleh tawarkan pun akan direbut, walaupun sejarah tidak pernah mencatatkan wujudnya tamadun Melayu sejauh itu.

Maka didedahkan oleh Utusan Malaysia tentang penganugerahan pangkat dari entah siapa-siapa ini yang diguna dengan selamba oleh orang kita. Kantoi. Kemaruk sangat hendak pangkat sampai kena belit. Kasihan.

Kantoi mengaku orang KL

Ini juga simbol status moden. Mana sama dengan orang di desa. Orang KL tidak bertutur bahasa Melayu. English sahaja! Bila berborak, kantoi bahasa Inggeris diguna adalah versi Menggris atau "Melayu lebih, Inggeris berterabur".Kita alu-alukan orang berani berbahasa Inggeris walaupun grammar ke laut. Tetapi orang juga dapat kesan jika seseorang itu ada cubaan untuk membaiki nahu dan tatabahasa Inggeris berbanding yang mai hentam saja.

- Johardy Ibrahim Utusan Malaysia Rencana 27 Mac 2016 6:17 PM
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments