kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bilik darjah dan generasi masa depan

CABARAN pendidikan pada masa kini dan akan datang­ cukup getir. Tidak lagi sebagaimana 20 tahun lalu yang hanya banyak bergantung pada buku teks sebagai panduan utama mengajar. Kini murid dan pelajar boleh menimba ilmu dengan kemudahan teknologi terkini. Maka, tidak menghairankan terdapat segelintir sekolah ke hadapan dalam membina sistem pembelajaran dan pengajaran bagi bilik darjah masa hadapan.

Sistem pembelajaran dan pengajaran tidak boleh lagi berada di takuk lama. Penggunaan teknologi perlulah sesuai dengan keperluan generasi masa kini. Bukan lagi kita memperkatakan teknologi itu satu kehendak bagi golongan sebegini. Malah, sudah tentulah generasi Z dan generasi Alpha yang lebih ke hadapan berbanding generasi Y dari sudut penggunaan teknologi terkini. Mereka ini akan mudah bosan jika cara pembelajaran di sekolah masih menggunakan pendekatan lama.

Generasi Z dan generasi Alpha memerlukan pendekatan yang lebih segar bagi menghasilkan idea-idea kreatif. Perlu diingatkan bahawa mereka ini mendapat pendidikan yang lebih baik dalam suasana lebih berteknologi berbanding ibu bapa atau nenek dan datuk mereka. Gajet adalah sebahagian daripada kehidupan mereka. Tiada lagi permainan tradisi­onal seperti konda-kondi dan tuju kasut yang sudah ditelan zaman.

Jadi, dalam hal ini, golongan guru juga perlu bersiap-siaga menghadapi generasi berteknologi tinggi ini. Mereka ini boleh sahaja memberi sebarang pandangan dan mengetahui banyak maklumat sehingga memerlukan guru mencari jawapan terbaik untuk sebarang persoalan yang dikemukakan.

Hujah-hujah praktikal yang tidak semestinya betul atau salah membuka minda pelajar generasi Z dan Alpha. Tidak boleh lagi soalan yang dikemukakan dijawab dengan “itu tidak relevan” walhal si pengajar cuba mencari helah untuk tidak menjawab soalan itu. Paling teruk lagi, jika jawapan balas membantutkan lagi idea kreatif yang ingin dikemukakan generasi Z dan generasi Aplha.

Pendidikan yang mementingkan idea kreatif jika diterjemahkan boleh menghasilkan murid dan pelajar yang ke hadapan pada masa akan datang. Mereka ini akan kreatif dalam mencari peluang-peluang pekerjaan baharu dan juga tidak mustahil untuk menjadi usahawan bagi perniagaan baharu. Siapa pernah terfikir perniagaan tudung kini cukup popular sehingga menghasilkan ramai ahli perniagaan yang berjaya? Sehinggakan ramai yang sanggup beratur panjang untuk jualan murah tudung di mana-mana pesta tudung. Ini adalah satu fenomena perniagaan yang tidak pernah berlaku 20 tahun lalu.

Semuanya kerana perubahan dalam perniagaan yang me­rangsang minda dan tingkah laku pembeli untuk sama-sama turut serta menjadi pemain utama dalam fenomena sebegini. Jadi, dalam hal ini, generasi akan datanglah yang akan menghasilkan lebih banyak lagi fenomena perniagaan yang tidak terfikir oleh generasi X dan Y pada masa akan datang.

Inilah yang diperlukan oleh negara dalam menghasilkan kepelbagaian ekonomi yang berteraskan kreativiti dan inovasi. Percambahan idea yang cukup kreatif merangsang pemikiran yang cukup hebat untuk membina masa hadapan gemilang bagi individu tersebut. Malah, negara amat memerlukan lebih ramai individu sebegini dalam menongkah masa hadapan ekonomi yang cukup mencabar. Ditambah lagi, mereka ini perlu dididik dengan pelbagai kemahiran yang mantap bagi meneruskan kehidupan yang lebih baik pada masa depan.

Dari satu sudut lain, pembelajaran dan pengajaran di bilik darjah pada masa depan tidak boleh sesekali meminggirkan elemen moral, etika dan integriti. Paling utama, sudah tentulah agama sebagai teras demi membentuk percambah­an minda yang kreatif dalam kalangan generasi pemimpin masa hadapan. Mereka inilah yang mengenali teknologi sejak dilahirkan dikatakan akan terdedah dengan budaya mementingkan kebendaan dan diri sendiri. Inilah yang paling dibimbangkan kerana tiada gunanya hebat sesebuah negara tersebut dengan pelbagai percambahan idea baharu yang praktikal untuk dilaksanakan tetapi rakyatnya pula terjebak dengan pelbagai penyelewengan dan rasuah.

Mereka terlalu berlumba-lumba untuk mengejar kekayaan, pangkat dan kuasa sehinggakan tidak mengetahui bahawa semuanya ini bukan sahaja merosakkan diri sendiri tetapi juga memberi kesan besar terhadap organisasi dan negara yang dipimpin. Ini juga adalah cabaran pendidikan masa depan. Jadi, bagaimana bilik darjah masa depan boleh membantu mengekang isu-isu jenayah ekonomi sebegini?

Dalam hal ini, pembelajaran dan pengajaran di bilik darjah masa depan tidak boleh hanya tertumpu pada elemen-elemen kebendaan yang sebenarnya bersifat sementara berbanding elemen menjadikan seseorang itu sentiasa hebat sahsiah. Dengan kata mudah, hati bagi setiap individu dalam bilik darjah dididik secara holistik agar tidak hanya memen­tingkan kekayaan melalui harta, pangkat, gelaran mahupun kuasa.

Secara khususnya, kekayaan hati adalah intipati untuk memupuk masyarakat masa hadapan yang sentiasa bersyukur dengan apa yang ada. Tidak berasa bangga dengan puji-pujian dan tidak juga berasa terkesan dengan pelbagai tohmahan yang dilemparkan kepadanya.

Lain pula halnya bagi golongan yang terlalu mengimpikan pencapaian berasaskan kebendaan, pangkat dan kuasa. Mereka ini sentiasa berada dalam keadaan kekurangan kerana berasakan apa yang diperoleh masih lagi tidak mencukupi. Maka, tidak menghairankan mereka ini sanggup berbuat apa sahaja termasuklah menggunakan kuasa yang ada untuk melakukan pelbagai penyelewengan dan rasuah. Lebih memburukkan keadaan, golongan sebegini sanggup menindas, memfitnah dan mengaibkan serta memburuk-burukkan orang lain kerana berasakan dirinya sahaja betul, ingin menonjol dan berasa hebat berbanding orang lain.

Inilah yang amat dibimbangkan. Lebih-lebih lagi, saban hari ada sahaja pendedahan oleh media mengenai sikap golongan yang terlalu mementingkan kekayaan kebendaan, pangkat dan kuasa. Inilah yang wajar kita tekankan bagi membentuk murid dan pelajar yang terdidik hatinya. Jus­teru, pembelajaran dan pengajaran di bilik darjah pada masa hadapan wajib memiliki asas sebegini bagi melahirkan masyarakat yang terbilang untuk mensejahterakan kemakmuran negara. - Rohamie Shafie Utusan Malaysia Rencana 30 Mac 2016 6:05 PM

Tags: classroom, gen x, gen y
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments