kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Komunis mengganas di Kampung Sungai Limau, Tiada kematian akibat kebuluran

Tiada kematian akibat kebuluran

SELAIN menjadi saksi peristiwa bersejarah Rundingan Baling kira-kira 61 tahun lalu, daerah kedua terbesar di negeri Kedah ini juga menyaksikan berlakunya peristiwa tunjuk perasaan besar-besaran pada 1974. Dalam kalangan penduduk tempatan, peristiwa itu dikenali sebagai mogok lapar.

Peristiwa itu mula tercetus pada 19 November 1974 dan kemuncaknya pada 1 Disember 1974 apabila kira-kira 30,000 penduduk berkumpul bagi membantah kejatuhan harga getah. Penduduk mula berkumpul di hadapan Pejabat Daerah Baling (kini Majlis Daerah Baling) sebelum merebak ke seluruh pekan terutama di hadapan stesen bas Baling ketika itu.


SEBAHAGIAN penunjuk perasaan berkumpul di hadapan stesen bas di pekan Baling semasa Demonstrasi Baling 1974.
Tinjauan S2 mendapati stesen bas itu masih wujud sehingga hari ini tetapi fungsinya telah bertukar menjadi sebuah kedai runcit.
Di hadapan masjid yang berlatarbelakangkan Gunung Baling pula terletaknya Menara Jam Baling yang dibina pada 1957. Menara jam itu turut menjadi saksi peristiwa yang mencetuskan suasana tidak aman, bukan sahaja di daerah Baling tetapi juga di beberapa lokasi tertentu di Kuala Lumpur.
Peristiwa yang dicatatkan sebagai Demonstrasi Baling 1974 itu bermula apabila sekumpulan mahasiswa universiti menghasut penduduk supaya mengadakan tunjuk perasaan bagi membantah kejatuhan harga getah yang terlalu rendah.
Harga getah ketika itu jatuh ke paras paling rendah, daripada harga biasa 25 sen hingga 60 sen sekati kepada 15 sekati. Harga getah yang rendah menyebabkan penduduk jatuh miskin.


MUSZUKI Saad menunjukkan cara-cara memproses ubi gadung yang banyak terdapat di kaki Gunung Pulai.
Akibat miskin, ada penduduk terpaksa makan ubi gadung iaitu sejenis ubi beracun. Ubi itu boleh dimakan tetapi mesti diproses dengan betul. Cara memprosesnya ialah rendam dalam air garam selama tiga hari, kemudian rendam di dalam air sungai mengalir selama empat hingga lima jam bagi membuang racun di dalamnya. Hanya selepas itu, barulah ubi tersebut boleh dimakan dengan cara mengukusnya dan kemudian digaul dengan kelapa parut serta sedikit garam dan gula.
Dalam keadaan penduduk menderita akibat kejatuhan harga getah, golongan mahasiswa yang sedang mengalami era kebangkitan mengambil kesempatan. Kebangkitan mahasiswa berlaku antara 1971 hingga 1975. Sepanjang tempoh itu, banyak aktiviti demonstrasi diadakan di seluruh negara.
Suara mahasiswa bergema di seluruh negara termasuk meniupkan sentimen antikerajaan. Dalam ‘keributan’ itu, kumpulan mahasiswa terbabit mendakwa sebuah keluarga di Baling meninggal dunia selepas makan ubi gadung kerana terlalu miskin.
Seorang penduduk yang ketika itu berusia 16 tahun, Idris Mat Piah, 58, berkata, ingatannya terhadap peristiwa itu masih segar.
“Ketika itu, saya masih remaja dan tidak tahu apa-apa tentang demonstrasi yang diadakan. Apa yang saya tahu, saya nampak setiap penjuru jalan raya yang masuk ke pekan Baling dibanjiri penduduk yang berarak. Mereka keluar seawal subuh, malah ada yang lebih awal sudah mula berjalan,” katanya kepada S2.
Menurutnya, beliau tahu ada menteri yang datang ketika itu tetapi beliau tidak berani masuk ke pusat bandar.


Idris Mat Piah
Menurut sejarah, bagi meredakan kemarahan penduduk, Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak mengarahkan Menteri Perusahaan Utama (ketika itu), Musa Hitam datang ke Baling bagi bertemu penduduk.
Musa Hitam sampai dengan helikopter dan disambut oleh penduduk dengan ejekan. Mengulas lanjut, Idris berkata, dia hanya memerhatikan sahaja peristiwa itu dari jauh sahaja.
“Bila tengah hari, penunjuk perasaan yang lapar masuk ke kedai makan orang Cina di sepanjang jalan sana (sambil menuding jari ke arah deretan kedai di seberang sungai).
“Mereka makan tanpa bayar. Tauke kedai makan biarkan sahaja kerana tak mampu nak buat apa-apa,” katanya yang kini merupakan pengerusi merangkap imam Masjid Pekan Lama Baling.
Dalam pada itu, Muszuki Saad, 54, dari Kampung Paya, Mukim Pulai pula berkata, beliau ketika itu masih kanak-kanak iaitu berusia sekitar 12 tahun.
“Orang kampung panggil mogok lapar. Heboh orang tua bercerita mengenai ada keluarga meninggal dunia sebab makan ubi gadung. Orang sini panggil ubi ara.
“Apa yang saya tahu, tak ada sesiapapun meninggal dunia akibat makan ubi gadung ketika itu. Kalau adik (penulis) nak tahu, ubi gadung itu adalah makanan biasa penduduk di sini.
“Memang ubi itu beracun tetapi kalau betul cara prosesnya, ubi itu boleh dimakan. Ia bagi menggantikan nasi yang ketika itu susah nak dapat sebab bila harga getah jatuh, penduduk jadi miskin dan tak mampu beli beras,” katanya yang merupakan seorang bekas tentera yang kini bekerja kampung.
Antara pekerjaan yang dilakukannya sekarang ialah menjual ubi gadung yang telah siap diproses mengikut tempahan yang diterima.
Tinjauan S2 mendapati kalangan penduduk Baling masih tidak dapat melupakan peristiwa ini. Masing-masing mempunyai pengalaman dan versi cerita tersendiri tetapi yang pasti, tiada kematian berlaku akibat kebuluran ekoran kejatuhan harga getah pada tahun tersebut.

Komunis mengganas di Kampung Sungai Limau

KEKEJAMAN komunis memang dahsyat sehinggakan menyebut perkataan itu sahaja sudah membangkitkan kegerunan kepada penduduk terutama mereka yang ‘hidup’ semasa era komunis mengganas di negara ini. Dipetik dari buku bertajuk Pemberontakan Bersenjata Komunis Di Malaysia oleh Mohd Reduan Haji Asli, keganasan itu menyaksikan sebanyak 395 anggota pasukan keselamatan terbunuh, manakala 919 yang lain cedera antara tahun 1969 hingga 1978. Selain itu, seramai 70 orang awam turut terkorban, manakala 75 yang lain tercedera sepanjang tempoh 1968 hingga 1982.

Seorang penduduk di Kampung Sungai Limau, Baling, Abdullah Mahmud, 65, masih tidak dapat melupakan peristiwa datuk dan neneknya dibunuh kejam oleh komunis.

BANYAK penduduk awam dibunuh dengan kejam oleh komunis sepanjang tempoh darurat.

Menurutnya, datuknya yang dikenali sebagai Awang Kechik (Tok Dochik) dan isterinya, Siti Hajar dibunuh tanpa belas kasihan oleh komunis yang terserempak dengan mereka di dalam hutan.

“Ketika itu, Tok Dochik dan isterinya masuk ke dalam hutan untuk cari rotan. Tanpa diduga, mereka terserempak dengan sekumpulan anggota komunis yang sedang mencuci senjata.

“Disebabkan takut rahsia komunis itu pecah dan diketahui pasukan keselamatan, datuk dan nenek saya ditangkap. Kedua-duanya dicampak ke dalam sebuah perigi buta dalam keadaan kaki diikat.


Abdullah Mahmud

“Mereka dicampak dalam kedudukan kepala di bawah dan kaki terangkat ke atas. Kedua-duanya dibiarkan menemui ajal secara perlahan di dalam perigi buta itu,” katanya kepada S2.

Mengulas lanjut, katanya, apabila datuk dan neneknya tidak pulang ke rumah selama beberapa hari, orang kampung mula keluar mencari dan ketika ditemui kedua-duanya telahpun meninggal dunia dalam keadaan yang amat menyedihkan.

“Jarak perigi itu dengan kampung hanya kira-kira dua kilometer. Tak jauh, tetapi orang kampung tidak berani keluar rumah pada waktu malam untuk cari mereka. Suasana juga tidak berapa selamat ketika itu, kerana terdapat banyak anggota komunis di hutan sekitar kampung.

“Dua tiga hari selepas hilang, barulah orang kampung berani keluar rumah untuk mencari mereka,” katanya.

Selain itu, beliau juga masih mengingati kisah seorang lelaki bernama Syed Bakar yang dikatakan orang kuat kerajaan dan menjadi buruan komunis.

“Syed Bakar ini..., ada ilmu. Semasa komunis nak bunuh dia, ribut petir berlaku. Dengar cerita kena tembak dengan komunis tetapi tak tahu di mana kuburnya sekarang,” katanya lagi.

Tags: komunis, sejarah
Subscribe

Posts from This Journal “sejarah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments