kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Sambung khidmat Profesor terbilang

Sambung khidmat Profesor 'boleh bilang' terbilang

BAGI 2016, Universiti Malaya (UM) telah mengukir prestasi cemerlang kerana kini berada di tangga 146 mengikut QS University Ranking, mengalahkan universiti-universiti antarabangsa yang pernah menewaskannya.

Umpamanya adalah IvyLeague University seperti Dartmouth dan lain-lain antaranya Universiti Chulalongkorn, SOAS, McMaster, Liverpool, Vienna, Dublin, National Tsing Hua, Xianen dan banyak lagi universiti di Amerika, New Zealand, Australia, Britain, Kanada, dan negara-negara Eropah.

Dalam subjek Sains Kehidupan dan Kesihatan UM di tangga 48 telah mengalahkan banyak universiti yang terkemuka di dunia seperti Princeton, Columbia, Pennsylvania, Nanyang Technological University Singapore, New York, Glasgow dan banyak lagi. Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik di tangga 37 telah mendahului universiti Yale, Columbia, Yonsei, Pennsylvania, IIT Madras, Edinburgh, RMIT, National Tsing Hua, California dan banyak lagi.

USM (286), UTM (303), UKM (312)dan UPM (331) telah juga menunjukkan prestasi baik yang boleh dibanggakan, apabila diambil kira bahawa terdapat pada waktu ini lebih daripada 20,000 universiti di dunia ini. Untuk berada di tangga 300 terbaik di dunia adalah sesuatu yang sangat rumit untuk dicapai. Tetapi walaupun begitu universiti-universiti utama kerajaan telah berjaya ditarafkan di tahap itu.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, walaupun ranking dunia penting sebagai penanda aras kedudukan sistem pengajian tinggi negara pada peringkat global, namun perlu diingatkan bahawa ini bukanlah segala-galanya.

Beliau berharap hasil daripada universiti akan dapat membawa impak positif yang bermakna, mampan dan berkekalan kepada masyarakat setempat dan antarabangsa.

Sebagai seorang ahli akademik, saya amat menyokong pendirian ini, kerana bukan hanya ranking yang dikejarkan, tetapi juga perkara-perkara lain seperti kemahiran insaniah yang bersangkutan dengan kehidupan juga ditekankan dalam pendidikan tinggi. Dengan cara ini maka seseorang mahasiswa itu akan menjadi lebih sempurna.

IDRIS JUSOH (lima dari kiri) dan Duta Besar Ireland ke Malaysia, Eamon Hickey (empat dari kiri) bergambar bersama panelis dan tetamu pada perasmian Persidangan Pendidikan Tinggi Kesatuan Eropah-Malaysia Kali Ketiga di UM pada 14 Mac lalu. Turut sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang (lima dari kanan) dan Naib Canselor UM, Profesor Datuk Dr. Mohd. Amin Jalaludin (tiga dari kiri). UTUSAN/ABDUL RAZAK LATIF

Bagaimanakah UM khasnya dan universiti utama kerajaan yang lain telah dapat menewaskan banyak universiti terkemuka dunia dan soaring upwords dengan pantas? Enam kriteria yang dipakai oleh QS University Ranking ialah: Penilaian Rakan Sejawatan (40%), Rujukan Penerbitan (Sitasi)(20%), Kualiti Pengajaran (Nisbah Pensyarah/Pelajar) (20%), Penilaian Majikan (10%), Bilangan Staf Asing (5%),dan Bilangan Pelajar Asing (5%).

Cubalah saudara tumpukan kepada markah ranking yang diberikan kepada tiga kriteria pertama di atas, iaitu Penilaian Rakan Sejawatan, Rujukan Penerbitan (Sitasi), dan Kualiti Pengajaran yang menyumbang sebanyak 80%. Dalam Penilaian Rakan Sejawatan, pendapat ahli-ahli akademik dari universiti seluruh dunia adalah digunakan untuk mendapatkan maklum balas tentang kewibawaan staf akademik yang berkhidmat dalam sesebuah universiti yang ingin ditarafkan.

Dalam penilaian Rujukan Penerbitan (Sitasi), rujukan adalah dibuat ke atas sitasi yang diterbitkan oleh staf sesebuah universiti yang ingin ditarafkan. Dalam penilaian Kualiti Pengajaran, rujukan adalah dibuat berlandaskan nisbah jumlah pensyarah kepada penuntut.

Pada fikiran saya markah 80% yang tersebut di atas itu adalah besar datangnya daripada sumbangan yang telah diberikan oleh kakitangan kanan terutamanya profesor yang bijaksana kerana mempunyai pengalaman yang mantap dalam bidang penyelidikan, penerbitan dan pengajaran.

Mereka inilah yang telah menyumbangkan markah yang tinggi dalam tiga kriteria yang menjadi asas terpenting dalam menentukan ranking sesebuah universiti. Tengoklah kalau tidak percaya pada sumbangan-sumbangan besar yang diberikan oleh kumpulan ini dalam aspek yang saya sebut di atas itu, berbanding de­ngan kakitangan akademik yang lebih muda.

Oleh itu, sekiranya sesebuah universiti mahu menaikkan tarafnya supaya menjadi sebuah universiti yang cemerlang dan gemilang seperti mana yang dianjurkan oleh kerajaan, maka universiti itu hendaklah tidak secara automatik menamatkan kontrak profesor-profesornya yang berwibawa dan cemerlang semata-mata kerana usia. Profesor-profesor ini hendaklah dinilai dari segi kebijaksanaan dan kecemerlangan dalam melaksanakan tugas-tugas mereka untuk disambungkan perkhidmatan walaupun telah melebihi usia bersara.

Seorang profesor bukanlah seperti seorang buruh yang boleh digantikan dengan seorang kakitangan yang lebih muda. Seorang profesor menggunakan daya pemikiran dan pengalaman yang tidak boleh ditukar ganti dengan orang yang baru menceburkan diri dalam dunia akademik. Persaraan awal ahli akademik yang telah menjadi matang tidak akan membantu universiti untuk menjadi cemerlang dan negara dihormati dan disegani.

Kriteria penilaian majikan, penilai­an bilangan staf asing, dan penilaian bilangan pelajar asing hanya menyumbang sebanyak 20% markah sahaja. Maka itu kriteria-kriteria ini tidaklah memainkan peranan sepen­ting yang saya sebut di atas dalam menentukan penarafan sesebuah universiti.

-
Tags: profession
Subscribe

Posts from This Journal “profession” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments