kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Orang Asli Kensiu hanya terdapat di Baling, Jom mendaki gunung, berkayak

Baling promosi pelancongan tentera

BALING bukan sahaja terkenal dengan pelbagai peristiwa bersejarah, malah daerah itu turut diwarnai dengan aneka produk pelancongan yang mampu melonjakkan nama Baling sebagai destinasi pelancongan utama tanah air. Apatah lagi, segala aset pelancongan yang ada akan ditonjolkan menerusi projek mega yang diketuai oleh Pegawai Daerahnya, Dzohir Md Zain.

Menurut Dzohir, selain memperkasakan produk pelancongan sedia ada seperti tempat berlangsungnya Rundingan Baling 1955 di Sekolah Kebangsaan Tunku Putera, pihaknya kini memberi tumpuan untuk memperkenalkan beberapa lokasi bersejarah lain seperti kubu komunis dan kubu Jepun yang menjadi sebahagian daripada sejarah daerah itu.



Terowong Komunis Weng ini akan dibuka sebagai destinasi pelancongan di Baling dalam masa terdekat ini

“Kubu-kubu ini telah lama ditemukan tetapi tidak dilakukan apa-apa pembangunan terhadapnya. Saya lihat kesemua produk itu ada potensi untuk menjadi tarikan pelancong.

“Jadi, sejak beberapa bulan lalu, saya telah mengarahkan beberapa pihak berkaitan supaya menaiktaraf kemudahan di tempat-tempat tersebut,” katanya kepada S2.

Menurutnya, kubu Jepun yang terletak di kaki Gunung Baling yang terbiar sejak sekian lama kini telahpun dipasang pintu jeriji yang baharu bagi menggantikan pintu lama yang telah hilang.



ANTARA gua yang akan dibangunkan sebagai destinasi pelancongan di Baling.

Katanya, kerja-kerja menolak tanah untuk membuat jalan masuk ke kubu itu juga sedang berjalan dan apabila siap kelak, ia akan menjadi akses utama untuk pelancong masuk ke kawasan kubu tersebut.

Tinjauan S2 di kawasan kubu itu mendapati sebuah jentolak digunakan untuk meratakan tanah di hadapan pintu masuk gua yang mana jalan itu bersambung dengan jalan berturap sedia ada di belakang Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Daerah Baling.

Penulis turut masuk ke dalam kubu itu yang gelap gelita. Berbekalkan lampu suluh, keluasan kubu itu tidaklah seberapa. Beberapa serpihan mangkuk atau pinggan seramik turut ditemui di bawah timbunan tanah merah yang baru ditolak oleh jentera berat terbabit.

“Selain kubu Jepun, pihak kami juga akan mempromosikan kubu komunis yang terdapat di Weng. Buat masa sekarang, hanya kenderaan pacuan empat roda sahaja yang boleh sampai ke kubu tersebut. Untuk fasa kedua kelak, kita akan turap jalan hingga ke kawasan gua,” tambah Dzohir.

Selaku bekas pegawai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) di sebuah universiti awam, beliau amat meminati apa-apa sahaja yang ada kaitan dengan ketenteraan.

Justeru, beliau bakal memperkenalkan konsep military tourism (pelancongan tentera) di daerah Baling, khususnya yang melibatkan kawasan penemuan kubu komunis di hutan berdekatan.

“Terowong Komunis Weng yang sedang dibangunkan sekarang akan memiliki sebuah kompleks pelancongan tentera yang lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti kompleks penerangan, surau, pondok rehat, kedai makan, cenderahati dan tandas awam.

“Kompleks tersebut akan dirasmikan oleh tetamu kehormat dalam masa terdekat ini,” katanya yang bercadang untuk membawa rombongan media melihat sendiri kemudahan di kompleks berkenaan apabila siap sepenuhnya kelak.

Beliau berkata, bagi merealisasikan impian tersebut, pihaknya kini bekerjasama dengan Muzium Tentera Darat di Port Dickson, Negeri Sembilan dan apabila siap kelak, ia akan dipromosikan menerusi program Discovery Kedah 2016.


Jom mendaki gunung, berkayak


BIASANYA gunung yang menjadi tumpuan pendaki terletak di hutan belantara, sehinggakan untuk sampai ke kaki gunung memerlukan kumpulan pendaki menyewa kenderaan pacuan empat roda. Ini kerana laluan masuk ke tempat mula mendaki adalah denai hutan atau laluan balak yang hanya boleh dimasuki jentera tersebut.

Ini berbeza dengan dua puncak gunung yang semakin dikenali ramai di daerah ini, Gunung Baling dan Gunung Pulai. Kedua-dua gunung itu terletak di pekan Baling dan pendaki boleh memandu kereta sehingga ke tempat mula mendaki.

Penghulu Mukim Pulai, Badrol Hisham Che Li berkata, sejak keindahan kedua-dua gunung itu menjadi viral dalam Facebook pada tahun lalu, jumlah mereka yang datang untuk mendaki gunung-gunung tersebut terutama Gunung Baling semakin ramai, sehinggakan dalam sehari pada hujung minggu, jumlah pendaki mencecah lebih 500 orang.




SEORANG pendaki, Noorbasiran Wahab melihat keindahan alam dari puncak Gunung Baling.

“Saya difahamkan ramai pendaki datang dari luar daerah Baling. Ada yang datang dari Pulau Pinang, Perak dan Kuala Lumpur. Malah saya turut diberitahu terdapat juga pendaki dari Singapura,” katanya kepada S2.

Gunung Baling memiliki ketinggian 420 meter, manakala Gunung Pulai (610 meter). Namun, pendaki lebih tertumpu pada Gunung Baling kerana trek mendaki yang lebih mudah berbanding dengan Gunung Pulai.

“Trek mendaki Gunung Pulai adalah 80 peratus batu. Ini bermakna pendaki perlu mendaki dinding batu di beberapa tempat. Tempoh mendaki juga lebih lama iaitu sekitar tiga jam, berbanding mendaki Gunung Baling yang memakan masa dua jam untuk sampai ke puncak,” tambahnya.

Memandangkan semakin ramai pendaki maka kejadian sesat dan tersasar dari laluan dilaporkan kerap berlaku kerana kebanyakannya mendaki tanpa dipandu oleh penunjuk arah.

Berikutan itu, selepas berbincang dengan orang kampung yang biasa mendaki gunung tersebut untuk mencari hasil hutan, pasukan Malim Gunung Baling dan Malim Gunung Pulai ditubuhkan pada Februari lalu.

Badrol Hisham berkata, kesemua penunjuk arah itu terdiri daripada orang kampung yang mahir dengan selok belok laluan ke puncak gunung-gunung berkenaan.

“Sebelum menjadi viral, kedua-dua gunung itu biasanya didaki oleh orang kampung yang mencari hasil hutan seperti pokok paku aji, rebung dan menjerat burung.

“Bila dah popular jadi kawasan mendaki, pihak kami meminta bantuan orang kampung untuk menjadi penunjuk arah. Setakat ini, jumlah penunjuk arah yang berdaftar adalah 36 orang bagi Gunung Baling dengan diketuai oleh Azman Ishak atau lebih dikenali Pak Teh. Jumlah penunjuk arah bagi Gunung Pulai pula adalah 30 orang yang diketuai oleh Nazri,” katanya.

Bagi penyelarasan harga penunjuk arah pula, katanya, harga yang ditetapkan adalah seorang pendaki dikenakan bayaran sebanyak RM20.

Katanya, penunjuk arah itu bukan setakat membawa pendaki ke puncak, malah turut memastikan keselamatan mereka dengan sentiasa berhubung dengan kru yang bertugas di kaki gunung, selain akan membawa pendaki meneroka beberapa gua yang terdapat di gunung-gunung tersebut.

Beliau memberitahu, antara gua yang boleh dilawati ialah Gua Layang, Gua Kambing, Gua Ikan, Gua Kelambu dan Gua Tembus.

“Bagi yang berminat untuk berkayak pula, bolehlah menduga arus Sungai Baling dan untuk tempahan pakej kayak, boleh hubungi Cikgu Jack di talian 019-5034132,” katanya.



Orang Asli Kensiu hanya terdapat di Baling

TIDAK ada di tempat lain, hanya ada di daerah Baling. Begitulah ayat yang dilontarkan oleh Penghulu Mukim Baling/Bongor, Muhammad Fazdli Ali Yasah kepada penulis yang menemubualnya di Pejabat Daerah Baling baru-baru ini.



SEBUAH keluarga daripada suku kaum Kensiu sedang berehat di pondok kayu yang didirikan di tepi rumah batu yang dibina oleh pihak kerajaan.

Ayat itu cukup menarik perhatian penulis. Lantas penulis bertanyakan kepada Muhammad Fazdli tentang apa yang hanya boleh ditemui di Kampung Lubuk Legong, kira-kira 12 kilometer dari pekan Baling.

Berdasarkan maklumat daripada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (2003), Kampung Lubuk Legong merupakan satu-satunya kawasan penempatan Orang Asli Kensiu di negeri Kedah khususnya dan Semenanjung Malaysia amnya.




Muhamad Fazdli Ali Yasah

Muhammad Fazdli berkata, statistik terkini menunjukkan terdapat 43 keluarga suku kaum Kensiu dengan jumlah keseluruhan penduduk sebanyak 273 orang.

Beliau kemudian membawa penulis ke kampung tersebut dan dipertemukan dengan seorang ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Lubuk Legong, Kamal Din, 36. Menurut Kamal, beliau bersyukur kerana kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan penduduk di kampungnya.

“Syukur kerana nasib kami tidak dipinggirkan,” katanya kepada S2.

Ditanya mengenai keunikan suku kaum Kensiu, katanya, tidak banyak bezanya dengan kehidupan suku kaum Orang Asli yang lain. Ini kerana katanya, kehidupan mereka cukup ringkas iaitu lebih suka meraih rezeki dengan mencari hasil hutan.

Kamal Din

“Kami masih masuk ke hutan untuk mencari rotan. Ada juga yang bekerja di ladang getah milik RISDA. Cukuplah hasil yang kami dapat kerana kami tidak belanja besar,” katanya sambil memberitahu majoriti penduduk kampung itu telah lama menganut agama Islam.

Selain itu, pihak kerajaan turut menyediakan kemudahan surau, balai raya dan Pusat Bimbingan Kanak-kanak di kampung tersebut.

Tinjauan S2 mendapati walaupun pihak kerajaan membina rumah batu untuk penduduk, namun mereka tetap mendirikan rumah kayu beratap rumbia yang dibina di sebelah rumah batu tersebut.

Ditanya mengenai perkara itu, Kamal memberitahu mereka sudah terbiasa tinggal di dalam rumah kayu beratap rumbia yang lebih ‘redup’ dan nyaman.

“Rumah batu ini masih digunakan sebagai tempat tinggal, tetapi rumah kayu yang di sebelah itu, kami gunakan untuk berehat bersama keluarga dan jiran tetangga,” ujarnya.

Dalam pada itu, suku kaum Kensiu menetap di Kampung Lubuk Legong sejak 1957. Pihak kerajaan menempatkan mereka yang asalnya hidup berpindah randah di Lot No.3623. Lot itu telah diwartakan pada 1958 sebagai Rizab Orang Asli melibatkan kawasan seluas 173 hektar.

-
Tags: etnik, sejarah
Subscribe

Posts from This Journal “etnik” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments