kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Moyang dan Muslim Tionghoa

SABAN tahun masyarakat Tionghoa akan menyambut satu hari yang dikenali sebagai Qing Ming atau Cheng Beng iaitu Hari Memperingati Moyang. Qing Ming jatuh pada awal minggu pertama bulan April.

Sempena hari tersebut, masyarakat Cina akan berkunjung ke kubur ibu bapa serta moyang mereka untuk membersihkan kubur dan mempersembahkan keperluan untuk kegunaan mereka di alam sana seperti rumah, perabot, kereta, pakaian, dan wang yang kesemuanya dibuat daripada kertas.

Moyang sangat bermakna dalam kehidupan Cina kerana mereka mengingatkan yang hidup, terutama daripada kalangan darah daging mereka tentang peri pentingnya menjaga maruah dan nama baik moyang dan bukannya memalukan serta mengaibkan mereka dengan melakukan perkara seperti mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga, menunjukkan tingkah laku kurang sopan kepada jiran dan rakan, serta melakukan jenayah dan kemungkaran. Pendek kata, moyang memainkan peranan untuk memastikan seseorang itu menjadi manusia yang baik dan bukan hanya manusia yang berguna.

Kepada yang memilih Islam sebagai lembaran baharu kehidupan, tentunya mereka akan bertanya tentang tempat moyang dalam kehidupan mereka sekarang.

Pertalian dengan moyang tidak terputus walaupun seseorang itu sudah Islam. Islam sangat menganjurkan kita untuk mengingati tentang moyang dan al-Quran mengandungi banyak cerita tentang moyang kita yang terdahulu, bermula dengan Adam dan Hawa sebagai moyang kita yang pertama.

Malah moyang kita yang terdahulu ada yang menjadi pengantara antara Tuhan dan kita dan mereka bergelar nabi dan rasul di mana mereka menjadi contoh ikutan tentang bagaimana menjalankan kehidupan dengan saksama dan sempurna.

Nabi Muhammad, moyang kita yang merupakan pembawa risalah yang terakhir untuk umat manusia, senantiasa berpesan supaya kita berbaik terhadap ibu bapa dan mengingatkan bahawa syurga terletak di telapak kaki ibu yang tercinta.

Walaupun sudah memilih Islam sebagai jalan hidup, berbaik kepada ibu bapa adalah sesuatu yang Islam tuntut dan mesti diteruskan lebih-lebih lagi apabila ibu bapa kita masih bernafas kerana selagi hayat mereka dikandung badan, selagi itulah peluang keemasan untuk berbakti kepada kedua ibu bapa dengan melakukan perkara yang menjadikan mereka bangga dan bukannya yang memalukan serta mengaibkan mereka.

Selepas peninggalan mereka, yang tinggal hanyalah kenangan manis bersama dan segala keinginan untuk menabur bakti kepada mereka serta menunjukkan yang kita boleh menjadi manusia sebagaimana idaman mereka hanya tinggal impian semata kerana mereka sudah tiada.

Memilih hidup Islam semestinya menjadikan kita lebih nekad untuk meningkatkan kualiti kemanusiaan kita. Walaupun tidak lagi mengamalkan Qing Ming, namun pengertiannya kita boleh jadikan iktibar supaya ia menjadi peringatan bahawa satu hari nanti kita akan berhijrah ke alam sana dan menjadi moyang pula. Tetapi moyang yang bagaimana yang kita ingin jadi?

Nabi Muhammad berpesan bahawasanya apabila seseorang meninggal dunia, segala-galanya terputus daripada dirinya kecuali tiga iaitu amal jariah atau perbuatan baiknya, ilmu yang dia manfaatkan kepada selain daripada dirinya serta doa anak yang soleh.

Justeru, bagi yang memilih jalan hidup Islam, kita kena pastikan yang tahap ilmu Islam kita melangkaui alif, ba, ta dan fardu ain sehingga kita boleh menjadi orang yang mengajar agama dan bukan hanya dipandang mualaf semata. Kita juga kena pastikan yang ilmu kita miliki mesti yang berkualiti tinggi sehingga mampu menghasilkan buah fikiran serta amalan yang dikagumi dan menarik untuk diikuti.

Dan sekiranya kita menjadi ibu bapa, kita hendaklah pastikan yang anak-anak kita juga memiliki ilmu, adab dan akhlak yang berkualiti kerana ketinggian ilmu anak-anak kita berserta dengan rupa amalan yang mengagumi boleh menjadi penyumbang kepada kesejahteraan kita di akhirat dan doa mereka boleh menempatkan kita di syurga dengan kehidupan yang penuh manis dan kekal abadi dengan taman, teman, sungai, minuman, buah-buahan dan mahligainya sekali yang sudah tersedia untuk kita nikmati

Tags: cina
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments