kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kebanjiran imigran membimbangkan

PERTEMBUNGAN budaya memang telah berlaku di seluruh dunia sejak nenek moyang hingga kini akibat daripada penghijrahan imigran-imigran luar yang dibawa masuk ke dalam negara.

Samalah juga halnya dengan Malaysia yang mempunyai rakyat berbilang bangsa akibat daripada penjajah membawa masuk buruh dari China dan India bagi memenuhi keperluan industri pada ketika itu.

Baru-baru ini, negara kita dikejutkan dengan pengumuman akan membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh bagi memenuhi keperluan industri tempatan dan sektor perkilangan.

Jumlah yang dikira begitu besar. Tetapi tidak lama selepas itu, dikhabarkan pengambilan tersebut dibekukan atas beberapa sebab. Hal ini memberi khabar gembira buat rakyat Malaysia, terutama golongan muda. Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa kemasukan semula pekerja Bangladesh ini boleh terjadi pada bila-bila masa sahaja disebabkan oleh keperluan industri negara kita.

Kedatangan pekerja asing semakin ketara bermula pada tahun 1980-an. Kebanyakan media menganggarkan jumlah pekerja asing di negara kita telah melebihi dua juta orang. Majoriti mereka adalah yang datang dari negara jiran seperti Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan Nepal. Kebanjiran pekerja asing, sama ada secara sah atau pun haram memberikan impak dan telah menimbulkan kebimbangan kepada negara.

Kebelakangan ini, ekonomi negara dilihat semakin berkembang dengan pesat walaupun mata wang negara dilihat semakin jatuh, namun ia tidak menghalang projek-projek pembangunan raksasa untuk berjalan dengan lancar. Sebagai hasilnya, wujudlah peluang pekerjaan yang meluas dan timbul masalah kekurangan tenaga kerja. Jadi, Malaysia menjadi tumpuan pendatang asing yang ingin mencari rezeki lumayan.

Dek kerana peluang pekerjaan yang terbuka luas dan pertambahan imigran dari tahun ke tahun, tidak dinafikan terdapat banyak keburukan akibat daripada permasalahan ini, antaranya:

Kekurangan peluang pekerjaan dalam kalangan rakyat Malaysia, terutama bagi sektor perkilangan dan buruh. Boleh dikatakan hampir semua peluang pekerjaan sudah dimonopoli oleh imigran dan pekerja asing lebih-lebih lagi dalam sektor tersebut.

Hal ini disebabkan, perkembangan ekonomi dan pentadbiran politik di Malaysia menjadi faktor yang menarik perhatian mereka kerana kebergantungan Malaysia terhadap pekerja asing amat tinggi, terutamanya dalam sektor perkhidmatan, pembinaan, perladangan dan pembuatan.

Kebanjiran pekerja asing dan imigran memberi impak negatif daripada sudut moral. Sebagai contoh, terdapat kes-kes jenayah seperti samun, pecah rumah bersenjatakan parang atau pisau dan memiliki senjata api, amah mencuri wang majikan dan membawa masuk dadah ke Malaysia. Secara tidak langsung, ia juga mencemarkan nama negara di mata dunia.

Sesetengah mereka membuka kawasan hutan sebagai kawasan perumahan. Wujudlah setinggan yang tidak teratur dengan kekurangan kemudahan asas seperti sistem pembuangan sampah dan air kumbahan. Ia sekali gus menyebabkan pencemaran alam sekitar.

Pembangunan negara pada masa akan datang juga terbantut kerana kemunculan setinggan ini. Imej negara terjejas kerana ini menggambarkan kelemahan pentadbiran kerajaan dan pengagihan ekonomi yang tidak seimbang.

Akibat daripada kekurangan kesedaran sivik dan moral menyebabkan tahap kebersihan persekitaran menjadi teruk. Ia memberikan satu cerminan buruk kepada pelancong asing yang datang ke negara kita apabila melihat keadaan persekitaran setinggan yang didirikan oleh mereka yang sangat tidak sempurna kemudahan asasnya.

Justeru, satu langkah yang sistematik perlu dirangka dari sekarang bagi menyelesaikan permasalahan ini. Kerajaan dan masyarakat perlu berganding bahu agar satu langkah efisien dapat ditangani bersama, bukan hanya menuding jari dengan mencari kesalahan sesetengah pihak.

Kerajaan, khususnya perlulah menarik belia di negara ini agar menceburi bidang-bidang industri yang memerlukan tenaga buruh. Terdapat banyak kelebihan menggunakan tenaga tempatan, antaranya dapat mengharumkan nama Malaysia di persada global dengan kemahiran tenaga pekerjanya yang multi-tasking, arif dengan pelbagai kemahiran termasuk kemahiran soft-skill dan insaniah.

Akhirnya, satu kajian yang holistik dan mendalam perlu dilakukan oleh kerajaan daripada segenap aspek mengenai pengambilan pekerja asing sebagai salah satu langkah dalam menyahut dan mencapai sebuah negara yang mampu ‘berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah’ dengan negara-negara membangun lain.

Tags: pati
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments