kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Beri peluang pelajar agama ambil PSV

PENDIDIKAN Seni Visual (PSV) adalah subjek wajib bagi pelajar tingkatan satu hingga tingkatan tiga manakala bagi pelajar tingkatan empat dan tingkatan lima mata pelajaran PSV adalah subjek pilihan ataupun elektif. Berdasarkan huraian sukatan PSV sekolah menengah, antara objektif pembelajaran yang disasarkan adalah untuk meningkatkan pengetahuan, daya kreativiti, inovasi, disiplin dan kemahiran dalam bidang seni visual.

Kemahiran ini kemudian boleh digunakan dalam kehidupan dan kerjaya. Menurut Ibnu Khaldun pula, seni itu suatu kebenaran, keindahan dan kebaikan. Subjek PSV ini sungguh meluas dan dapat dikaitkan dengan pelbagai kepentingan.


PELAJAR aliran agama khususnya yang meminati seni seharusnya diberi peluang untuk mengambil subjek PSV. GAMBAR HIASAN

Subjek ini bukan sekadar lukisan semata-mata sebaliknya memberi pendedahan awal kepada para pelajar dalam bidang seni yang tinggi seperti arkitek, rekaan hiasan dalaman, reka bentuk industri, rekaan kraf dimensi baru dan tradisional serta seni grafik dan multimedia.

Justeru, bagi pelajar aliran agama yang berbakat seni dan meminati bidang ini sewajarnya pihak sekolah agama menggalakkan mereka memilih subjek PSV sebagai subjek tambahan. Mereka inilah yang akan mencantikkan lagi peranan subjek PSV apabila rekaan dan kesenian yang dicurahkan seiring dengan syariat Allah SWT dan boleh dijadikan sebagai bahan dakwah alaf baru.

Namun begitu, bukan semua orang memahami konsep penerapan mata pelajaran PSV di sekolah agama. Ada juga kedengaran kenyataan-kenyataan yang tidak profesional semata-mata tidak mahu melihat pelajar aliran agama mengambil subjek PSV.

Sewajarnya pelajar-pelajar aliran agama yang berminat juga diberi peluang mengambil subjek itu dalam peperiksaan awam. Allah SWT itu Maha Indah dan sukakan keindahan. Perkataan ini membuatkan kita merenung sejenak sejauh manakah kita memahami nilai seni dalam ciptaan Allah SWT.

Jika kita memahami kepentingan atau kelebihan sesuatu amalan, terasa rugi jika tertinggal amalan tersebut. Begitu juga dengan subjek PSV yang ada kepentingan dan masa depannya khusus kepada para pelajar aliran agama yang berbakat seni. Adalah sesuatu yang amat merugikan jika para pelajar ini dinafikan hak untuk mengambil subjek PSV.

USTAZ SENI
 Pulau Pinang

Tags: agama
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments