kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Finland diiktiraf dunia, Pupuk kemahiran berfikir secara strategik, Lahir guru serba boleh

Lahir guru serba boleh

Menggalas tanggungjawab sebagai guru bukan sekadar menjadi pendidik semata-mata, malah lebih daripada itu.

Ini kerana pendidikan perlu lebih menyeluruh dan tidak hanya memfokus kepada subjek yang diajar.

Naib Canselor Universiti Antarabangsa UNITAR (UNITAR) Prof Madya Dr Sakina Sofia Baharom berkata, tugas sebagai guru bukan untuk mereka yang hanya mahu bekerja dari jam 9 pagi hingga 5 petang semata-mata.



MINAT kunci utama bagi mereka yang ingin menceburi bidang perguruan. - Gambar hiasan

Beliau berkata, perguruan juga bukan kerjaya yang mempunyai pendekatan atau kaedah khas yang rigid (kaku) bagi mengatasi sebarang cabaran yang timbul.

“Jika anda bertanggung­jawab, anda pasti menyedari setiap kanak-kanak ada perbezaan antara satu sama lain. Sebagai guru, mereka juga perlu bertindak sebagai fasilitator untuk meninjau proses perkembangan kanak-kanak terbabit.

“Menjadi guru adalah pengalaman cukup berharga. Ia boleh menjadi kerjaya mencabar dan pada masa sama memuaskan hati. Ini kerana sebagai guru bertanggungjawab, kita perlu membentuk minda generasi masa depan,” katanya.

Katanya, menggalas tugas sebagai guru tidak hanya mengejar ganjaran peribadi kerana mereka perlu mengembangkan karier dan bersifat profesional.



KEMAHIRAN komunikasi yang baik serta kemahiran mengeratkan hubungan dua hala dengan pelajar penting dalam melahirkan guru berkualiti. - Gambar hiasan

“Jika mencari cara sesuai untuk perkembangan kerjaya, inilah kerjaya yang sesuai untuk anda.

“Walaupun mencabar, anda pasti dapat melihat kesan yang anda berikan terhadap kehidupan pelajar,” katanya.

Ditanya mengenai perbezaan dunia perguruan dulu dan sekarang dalam pendidikan swasta, Dr Sakina berkata, statistik yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan menunjukkan peningkatan ketara dalam pendaftaran pelajar di sekolah itu.

Sebagai contoh, katanya, seramai 39,460 pelajar mendaftar bagi pendidikan swasta pada tahun 2014 berbanding hanya 20,000 pada tahun sebelumnya.

“Statistik ini menunjukkan kerjaya dalam bidang pendidikan menawarkan peluang menarik kepada graduan. Ini terutama dalam autonomi pembangunan pelajar dengan membentuk kurikulum sesuai bagi memenuhi keperluan dan kehendak generasi zaman ini,” katanya

Dr Sakina berkata, UNITAR dan Kumpulan Pendidikan ILMU (ILMU) melihat pembangunan industri pendidikan di negara ini sebagai usaha kolektif yang perlu dimainkan semua peserta industri bagi mencapai matlamat dan visi digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan.

“Berdasarkan prestasi UNITAR melahirkan graduan program yang berkualiti, program pendidikan yang unik terus diperkenalkan dalam usaha menghasilkan tenaga pengajar serba boleh.

“Tenaga pengajar (guru) yang dilahirkan UNITAR juga mampu memenuhi semua keperluan institusi pendidikan di Malaysia, sama ada sekolah awam atau swasta.

“Kami melihat pendidikan sebagai daya penggerak intensif masa depan untuk pengetahuan dan ekonomi. Untuk itu kami menghargai peranan penting pelajar dan graduan dalam menjana ekonomi negara terutama menjelang wawasan 2020,” katanya.


MENJELANG 2020, negara menyasarkan dapat menghasilkan tenaga kerja berdaya saing setanding dengan negara maju lain di peringkat global. - Gambar hiasan

Menurut Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) negara, sektor pendidikan dijangka menjana impak Pendapatan Negara Kasar (PNK) tambahan sebanyak RM 33.6 bilion menjelang 2020.

Berdasarkan laporan sama, pada 2020 sebanyak 535,000 pekerjaan bakal diwujudkan dalam industri pendidikan.


Pupuk kemahiran berfikir secara strategik

Pelajar kursus pendidikan di Universiti Antarabangsa UNITAR (UNITAR) dilatih memupuk kemahiran berfikir secara strategik.

Naib Canselornya Prof Madya Dr Sakina Sofia Baharom berkata, setiap pelajar akan dididik untuk berfikiran strategik iaitu kebolehan berfikir di luar peranan harian sebagai seorang guru.

“Selari dengan falsafah Kumpulan Pendidikan ILMU aplikasi dunia nyata kemahiran yang diterapkan kepada graduan UNITAR membolehkan mereka membiasakan diri dalam persekitaran yang kompetitif,” katanya.

Katanya, UNITAR sudah lama melaksanakan elemen pemikiran strategik dalam semua program pendidikan yang ditawarkan selain mendedahkan pelajar kepada persekitaran sebenar bagi meningkatkan kefahaman mereka terhadap pasaran dan industri.

“Kami antara yang terawal membuat perubahan dalam sistem pembelajaran di institusi swasta bagi melahirkan lebih ramai graduan mahir dalam kurikulum.


UNITAR mempunyai rekod baik dalam pengajian pendidikan sejak menawarkan kursus itu pada 1998.

“Contohnya, bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan, inisiatif bersilang-fungsi diperkenalkan untuk menyediakan pelajar dengan pengetahuan lebih meluas dalam bidang diceburi,” katanya.

Mengenai cabaran utama dalam kerjaya perguruan, Dr Sakina berkata, ia mungkin sukar pada mulanya kepada golongan yang tidak berminat di bidang itu tetapi terpaksa menceburinya kerana didorong keluarga seperti pengalaman yang dilaluinya sendiri.

“Ayah saya bekas guru dan beliau mahu anak sulungnya ini juga menjadi cikgu.

“Pada mulanya sangat susah untuk saya ceburi bidang ini tetapi tidak lama kemudian saya menyedari tiada ganjaran lebih baik daripada melihat pencapaian pelajar dalam pelbagai segi,” katanya.

Dr Sakina berkata, minat dan kepuasan menjadi guru terus bercambah selepas melihat prestasi pelajar makin meningkat selain memberi ruang kepada guru untuk meningkatkan tahap kerjaya.

Beliau berkongsi beberapa tip untuk menarik minat individu menyertai bidang perguruan.

“Minat kunci utama untuk menjadi guru kerana tujuan utama pendidik ialah bagi menyemarakkan semangat pelajar.

“Ciri-ciri yang ideal bagi seorang pendidik termasuk pemahaman subjek yang mendalam, kemahiran komunikasi serta mengeratkan hubungan dua hala dengan pelajar.

“Pendidik adalah kerjaya mulia kerana mereka bertanggungjawab membentuk dan mendidik generasi muda yang bakal memimpin negara pada masa hadapan,” katanya.


Finland diiktiraf dunia

Sejak sekian lama, sistem pendidikan Finland sering menjadi rujukan masyarakat dunia merangkumi prasekolah, sekolah rendah dan peringkat pengajian tinggi.

Selepas melakukan reformasi 40 tahun lalu, Finland kini dianggap antara negara yang memiliki sistem pendidikan terbaik dunia.



MEMBANGUNKAN sistem pendidikan dengan menekankan kepentingan pada peringkat awal kepada pelajar.

Pencapaian itu terhasil daripada evolusi pendidikan yang dibangunkan dari semasa ke semasa sehingga negara Eropah lain menjadikan Finland sebagai rujukan utama dalam pembangunan pendidikan.

Ahli akademik Finland Dr Pasi Sahlberg berkata, asas utama sistem pendidikan negara itu ialah mekanisme guru sebagai ejen perubahan.

Beliau yang menjalankan kajian rambang di pelbagai institusi pendidikan sering bertanya kepada pelajar - siapa yang mahu menjadi guru?

“Menakjubkan apabila lebih separuh daripada mereka mahu menjadi guru kerana berpendapat kerjaya itu sangat profesional dan menarik.

“Ia menjelaskan penghormatan tinggi pelajar terhadap kerjaya guru,” katanya.

Berdasarkan perangkaan, 25 peratus penduduk Finland berminat dengan kerjaya perguruan.



SISTEM pendidikan di Finland tidak menekankan sistem peperiksaan secara keterlaluan

Guru biasanya memperuntukkan masa empat jam sehari di dalam bilik darjah dan dua jam seminggu sebagai ejen pembangunan profesional.

Di University of Helsinki pula, seramai 2,400 graduan sarjana menamatkan pengajian dalam program perguruan dalam program dibiayai sepenuhnya kerajaan.

“Sebenarnya, sangat sukar mengajar dan melatih seorang guru berbanding melahirkan seorang doktor atau peguam,” kata Dr Sahlberg.

Di negara yang mempunyai lebih lima juta penduduk itu, pendidikan formal tidak ditekankan secara keterlaluan kepada kanak-kanak sehingga berusia tujuh tahun, manakala hanya pelajar remaja diberikan ujian dan kerja rumah.

Bagaimanapun, ia tidak menghalang pelajar mencapai keputusan cemerlang dalam akademik. Ini dibuktikan pada 2001 apabila pelajarnya berjaya merangkul pencapaian tertinggi dalam matematik, sains dan bacaan di peringkat antarabangsa hingga mengagumkan ahli akademik dan pembuat dasar.

Pada 2009, Finland sekali lagi menduduki carta pertama dalam pencapaian terbaik, meninggalkan Amerika Syarikat di tangga ke-15 untuk bacaan, 19 (matematik) dan 27 (sains).

Di Helsinki, pejabat Menteri Pendidikan Finland menerima 100 delegasi rasmi daripada 40 hingga 45 negara dari seluruh dunia sejak 2005.

Sistem pendidikan Finland secara dasarnya masih sama seperti negara lain namun komposisi antara pelajar-guru menjadi penyumbang kejayaan.



GURU menjadi aset dan ejen utama pembangunan sistem pendidikan di Finland.

“Finland hanya ada 600,000 pelajar di seluruh negara manakala di bandar raya New York sahaja mempunyai lebih sejuta pelajar. Ini membolehkan fokus penuh diberikan kepada pelajar,” kata Timbalan Presiden American Institutes for Research Mark S Schneider.

“Sistem pendidikan di mana-mana juga sangat kompleks tapi pembangunan di Finland sangat pantas walaupun tiga dekad lalu sistemnya agak teruk,” katanya.

Sejak tahun 1970, guru di Finland perlu mempunyai ijazah sarjana. Pendapatan mereka juga lumayan, setanding dengan kerjaya profesional lain.

-
Tags: guru, pendidikan, ranking
Subscribe

Posts from This Journal “pendidikan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments