kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kesan rasuah harus diberi penekanan, Jangan kalah lawan rasuah dalam perkhidmatan awam

Jangan kalah lawan rasuah dalam perkhidmatan awam

Kes-kes rasuah, penyelewengan dana dan pemalsuan dokumen dalam kalangan penjawat awam bukan perkara baharu malah menjadi bahan percakapan masyarakat yang tidak berkesudahan. Persepsi kakitangan kerajaan perlu ‘dibalas’ dengan ‘sesuatu’ bagi menyelesaikan satu-satu urusan telah menjadi satu perkara biasa walaupun tidak semuanya benar.

Tanggapan semua kerja boleh ‘dipermudahkan’ atau diselesaikan dengan pemberian sedikit ‘duit kopi’ di peringkat budak pejabat, peon, kakitangan perkhidmatan kaunter dan anggota penguat kuasa selalu kedengaran.



Hakikatnya kakitangan yang menjunjung tinggi budaya integriti lebih besar jumlahnya dibandingkan dengan pelaku-pelaku rasuah. GAMBAR HIASAN

Beberapa siri tangkapan dan pendakwaan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seolah-olah membenarkan lagi persepsi ini. Imej penjawat awam tidak pernah ‘bersih’ daripada pandangan sedemikian walaupun hakikatnya kakitangan yang menjunjung tinggi budaya integriti lebih besar jumlahnya dibandingkan dengan pelaku-pelaku rasuah.

Pada bulan lalu ada dua kes ­rasuah yang menjadi tumpuan ramai melibatkan kakitangan kerajaan atau agensi awam. Kedua-duanya adalah kes penyelewengan dana kerajaan yang melibatkan jumlah jutaan ringgit. Ekoran daripada kes tersebut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dan mendakwa seorang setiausaha bahagian sebuah kementerian. Beberapa kakitangan sebuah agensi kerajaan turut ditahan dalam minggu yang sama bagi membantu siasatan kes penyelewengan melibatkan pembelian satu hartanah di luar negara.

Dua kes tersebut serta kes-kes yang berlaku sebelum ini mahu tidak mahu terus menguatkan persepsi tidak baik orang ramai bahawa budaya rasuah sudah berakar umbi dan sukar dibendung. Malah apabila ‘jerung-jerung besar’ jabatan kerajaan mula ditangkap dan didakwa, sangka buruk segelintir masyarakat membesar bahawa amalan rasuah berlaku di semua peringkat dari peringkat paling bawah hingga ke peringkat tertinggi. Begitu dahsyat dan berat sekali tuduhan sedemikian!

Sudah tentu pandangan buruk seumpama itu kalaupun tidak banyak, sedikit pun tetap menjejaskan moral dan imej kakitangan dan perkhidmatan awam yang selama ini sudah dipandang serong. Mereka yang bekerja di bahagian-bahagian yang melibatkan hubungan terus dengan pelanggan seringkali dipandang ‘semacam’ walaupun sebahagian besar daripada mereka bekerja dengan jujur dan penuh dedikasi bagi memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.

Pandangan sedemikian mungkin disebabkan ada sahaja kes-kes baharu melibatkan jenayah rasuah dilaporkan setiap hari. Meskipun yang ditangkap itu lebih banyak ‘ikan bilis’ dan sekali sekala ‘ikan jerung,’ keadaan tersebut tetap tidak mengubah persepsi negatif mereka.

Ini belum lagi ditambah dengan pelbagai pendedahan yang dibuat oleh ahli-ahli politik berhubung perkara yang sama. Walaupun perkara itu tidak benar atau separuh benar, tokok tambah dengan ramuan berperisa politik menjadikannya seolah-olah betul. Ramai yang percaya meskipun sebahagian kes yang dibawa ke mahkamah membuktikan sebaliknya atau tidak benar.

Sebenarnya kerajaan telah mengambil banyak langkah untuk mencegah amalan buruk yang sudah menjadi barah dalam masyarakat ini. Banyak program, pendekatan dan mekanisme bagi memupuk budaya integriti, jujur dan bertanggungjawab dalam bertugas sudah disemai sejak dari hari pertama setiap penjawat awam menerima aku janji sebagai kakitangan awam. Bagaimanapun tidak semua mampu bertahan memegang sumpah yang dilafazkan sehingga ke hari terakhir berkhidmat. Sebahagian yang terlibat cepat kelabu mata lebih-lebih lagi setelah memegang jawatan penting dan sensitif.

Lantas, pendekatan menukar, mengehadkan atau menggilirkan para pegawai yang menyandang jawatan sensitif di bahagian-bahagian sensitif atau dengan bahasa mudah ‘lubuk duit’ satu langkah yang amat tepat.

Semua orang tahu apa peranan Bahagian Perolehan, Bahagian Kewangan dan Bahagian Kontrak dalam sesebuah kementerian. Bahagian ini memang dikenali sebagai bahagian ‘paling sensitif.’ Cabaran bekerjanya sungguh besar dan petugas-petugasnya perlu memasang benteng integriti dan keimanan yang paling kukuh.

Pendekatan sebegini menunjukkan kerajaan serius untuk memben­dung ketirisan, penyelewengan atau perbuatan rasuah. Mengehadkan setiap pegawai bertugas di satu-satu bahagian kepada tiga hingga lima tahun adalah wajar. Membiarkan mereka bertugas di bahagian-bahagian yang sama sehingga berpuluh tahun boleh mendedahkan mereka kepada pelbagai ‘ancaman integriti.’

Dalam masa yang sama, amalan mengekalkan seorang pegawai bertugas sehingga berpuluh tahun lamanya di satu bahagian sahaja juga tidak adil kepada penjawat awam itu sendiri dan kakitangan lain. Mereka perlu diberi pen­dedahan menjadi pegawai serba boleh. Langkah yang mula dikuatkuasakan bulan ini mungkin tidak disenangi oleh segelintir pegawai terlibat. Bagi kakitangan kerajaan yang sentiasa bekerja penuh integriti, pertukaran atau penggiliran seperti itu bukan satu isu apatah lagi satu masalah.

Kerajaan tidak boleh mengalah dalam perjuangan menjadikan per­khidmatan awam dan penjawat awam satu perkhidmatan yang bersih dan berintegriti. Perkhidmatan awam yang sentiasa dekat dengan rakyat perlu dilihat sebagai satu per­khidmatan yang sentiasa bersih dan menjadikan integriti sebagai teras utama dalam setiap praktisnya.


Kesan rasuah harus diberi penekanan

UMUM mengetahui memberi dan menerima rasuah adalah perbuatan yang dilarang oleh undang-undang dalam sesebuah negara dan juga agama. Sesiapa yang melakukan rasuah pasti tidak akan terlepas daripada hukuman di dunia jika terbukti bersalah, apatah lagi hukuman di akhirat yang tidak mengira pangkat dan kedudukan.

Sebenarnya, gejala rasuah bentengnya terletak kepada akhlak dan keimanan seseorang. Ia bukan terletak kepada kemajuan sesebuah negara. Seseorang yang berakhlak dan beriman tidak akan menerima rasuah untuk memberi makan hasil rasuah kepada anak dan isteri. Rasuah tiada kaitan dengan kemajuan sesebuah negara. Apa yang penting adalah kesedaran, tanggungjawab dan amanah terhadap tugas yang dijalankan.

Gejala rasuah juga tidak perlu dipolitikkan tetapi perlu dibanteras. Jika rasuah sehebat penyakit barah dalam badan yang dapat dilihat tentu masyarakat takut akan bahayanya. Pun begitu, rasuah lebih bahaya daripada barah. Ia ibarat anai-anai yang cepat menumbangkan sebatang pohon yang besar.

Justeru, negara yang tidak dapat mengawal perbuatan rasuah, kerajaan dan negari itu lambat laun pasti akan tumbang. Peradaban rakyatnya akan musnah dan rosak. Oleh itu, pelbagai langkah drastik perlu dilakukan antaranya sebelum seseorang penjawat awam atau pekerja swasta yang terlibat dalam urusan berkaitan wang perlu didedahkan dengan ­ceramah-ceramah keagamaan mengenai rasuah dan mereka perlu diberikan kefahaman mendalam mengenai bahaya rasuah.

Yang pastinya, jika ada pemberi akan adalah penerima. Bentuk rasuah pula pada masa kini bukan hanya terhad kepada wang, malah rumah, kereta, tawaran melancong dan juga wanita-wanita cantik. Semuanya ini akan membuatkan pihak yang ditawarkan merasa `goyang’ sekiranya tiada iman di dada.

Semuanya berpunca daripada rasa ingin kepada kekayaan, kemewahan dan dipengaruhi oleh ketamakan serta rasa tidak pernah cukup. Nilai yang tidak baik ini telah me­nguasai hati dan diri setiap manusia yang mudah terpengaruh.

Memetik pendapat Sejarawan Rom, Tacitus, - “Makin banyak rasuah dalam sesebuah negara, makin banyaklah peraturan dan undang-undang yang terpaksa dibuat oleh negara tersebut.” Sementara itu, menurut penulis W. J. Brown - “Orang yang baru kaya kerana hasil berjudi ataupun rasuah, sering kehilangan rasa daripada wangnya.”

Pendidikan berkaitan buruknya akibat rasuah mestilah diterapkan secara menyeluruh bermula di sekolah kepada pelajar Tingkatan 1 hingga 5 melalui mata pelajaran Pen­didikan Moral dan Agama Islam. Walaupun perkara berkaitan ada disentuh tetapi tidak secara mendalam untuk menyedarkan para pelajar yang akan dewasa dan ­menempuh alam pekerjaan. Pada masa kini terdapat satu topik berkaitan keburukan rasuah diajar dalam Pendidikan Moral di Tingkatan 4 dan 5.

Mereka yang terdidik dengan nilai-nilai agama akan sentiasa mensyukuri segala nikmat Allah yang diterimanya dan mengelakkan daripada sifat tamak serta ingin cepat kaya melalui jalan yang haram. Amal soleh sebagai pendin­ding dan perisai daripada serangan rasuah. Sikap sederhana dalam memiliki harta sangat penting bagi mengelakkan sifat tamak, haloba dan tidak pernah cukup terhadap harta dan kekayaan yang ada.

Harta dinilai sebagai kebaikan di tangan orang yang baik. Harta di dunia ini semua milik Allah sementara manusia hanya sekadar peminjam. Islam menyeru agar bekerja dan mencari mata pencarian yang baik dan menjauhi sumber-sumber pendapatan dan pencarian yang tidak baik seperti rasuah.

Berkaitan perkara ini Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “ Orang yang paling dirundung penyesalan pada hari kiamat ialah orang yang memperoleh harta dari sumber yang tidak halal (haram) lalu menyebabkannya masuk neraka.” (Riwayat Al Bukhari).

Oleh itu, berhati-hatilah terhadap harta yang diperoleh terutama harta yang berkaitan dengan rasuah. Kekayaan yang sebenar adalah harta yang diperoleh dengan cara halal yang diusahakan dengan tangan dan kudrat sendiri yang akan memberikan kepada ketenangan jiwa.

- Dr Aminudin Mansor Utusan Malaysia Rencana 09 April 2016 6:00 PM
Tags: rasuah
Subscribe

Posts from This Journal “rasuah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments