kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Mengapakah kita sukar mencapai kejayaan?

Sebagai doktor pakar mata, saya suka menggunakan analogi “kanta” sebagai satu cara melihat dan menilai diri. Sebab penglihatan mata kita ini sama ada cerah/jernih, kelabu atau gelap bergantung pada “kanta”, dan kehidupan kita ini bergantung pada cara kita melihat sesuatu kejadian/peristiwa. Kalau “kanta” kita cerah/jernih, maka apa-apa yang kita lihat kita akan nampak cerah/jernih, dan begitulah sebaliknya.

Oleh sebab itu untuk mengubah cara orang melihat kehidupan dunia ini adalah dengan mengubah “kanta kehidupannya”, iaitu memilih dan menentukan “kanta” mana yang hendak kita gunakan? Analoginya pertama, “kanta cerah/jernih” ialah orang yang hatinya bersih (manusia jernih). Hidupnya sentiasa ingin dipenuhkan dengan kebaikan keilmuan dan ketakwaan.

Kedua, “kanta kelabu”, iaitu orang yang hidupnya di tengah-tengah antara baik dengan jahat. Hatinya berbolak-balik; sekejap dia bertaubat sekejap dia membuat maksiat. Tidak ada pendirian dan bertindak mengikut emosi serta mudah dipengaruhi oleh persekitaran. Orang yang begini ada peluang untuk kembali menjadi baik, jika mereka bergaul dan berdamping dengan orang yang baik dan beriman.

Ketiga, orang yang hidup dalam “kanta gelap” dia tidak mendapat cahaya langsung daripada Allah dan tidak nampak apa-apa cahaya untuk kembali menuju kebaikan. Hatinya hitam, gersang dan keras. Tidak ada rasa kemanusiaan dan terlalu mementingkan diri; suka melihat orang susah dan susah melihat orang senang. Hidupnya terdorong ke arah kejahatan dan seorang yang jahil (manusia keladak).

Ada dua sebab mengapa banyak orang sukar mencapai kejayaan dan matlamat kehidupan. Pertama, sebab terlalu sibuk hendak membetulkan diri orang, sibuk hendak melabel dan menghukum orang. Kesalahan, kelemahan dan keburukan orang, kalau tidak nampak dengan mata kasar, mahu diserlahkannya dengan “cermin kanta”. Sebaliknya aib diri sendiri kita tidak nampak, kalau nampak pun seberapa boleh mahu disorokkan. Hakikatnya kita memang tidak mampu untuk melihat diri sendiri, yang begitu hampir dengan kita, kecuali dengan bantuan cermin. Kita suka menuding jari tunjuk kesalahan diri, sedangkan kita lupa, apabila satu jari telunjuk kita menghala ke arah orang, ada tiga jari lagi sedang menghala ke arah kita. Jom audit diri, kita seorang yang bagaimana? Adakah kita hidup dengan menggunakan “kanta melihat orang” atau menggunakan “cermin melihat diri”?

Lihat potensi diri

Kedua, kita sukar mencapai kejayaan dan matlamat kehidupan kerana, asyik memikirkan apa orang kata. Kita tidak perlu takut kepada apa kata orang, tetapi yang kita patut takut adalah pandangan Allah. Selagi kita memikirkan apa orang kata, selagi itulah kita tidak akan ke mana-mana. Sebab setiap orang ada pandangan yang berbeza dan kita memang tidak mampu untuk memenuhi kehendak semua orang. Lazimnya pada pandangan orang apa-apa sahaja yang kita buat serba tidak kena, dan hal ini jika kita terlalu fikirkan akan membuatkan kita patah semangat.

Jadilah kita orang yang tidak suka dipuji, tidak mengharapkan penghargaan dan tidak takut dikeji. Terimalah kejian atau pandangan negatif orang terhadap apa-apa yang kita lakukan secara positif, malah tidak terjejas pun semangat, usaha dan tindakan kita untuk mencapai kejayaan dan matlamat kehidupan. Kejian dan kritikan daripada musuh kita adalah kekuatan untuk kita memperbaiki diri; kerana musuh sahaja yang nampak keburukan/kelemahan kita. Maknanya, kalau hendak tahu keburukan/kelemahan diri seseorang tanyalah musuhnya, dan kalau hendak tahu kebaikan/kehebatan, tanya sahabatnya.

Jom melihat diri, mengenal keperibadian diri, melihat potensi diri, mencari inspirasi diri dan seterusnya membuat transformasi diri. Seringlah bermuhasabah atau melakukan refleksi diri. Pilihan hidup kita sekarang menentukan nasib kehidupan kita pada masa akan datang, sama ada kita bahagia, tenang, sihat dan stabil kewangan. Kalau kita diberi peluang memilih, apakah pilihan kita? Pertama, kita ada segala-galanya di dunia, dan kita tenang. Kedua, kita ada segala-galanya di dunia, tetapi kita tidak tenang. Ketiga, kita tidak ada apa-apa tetapi kita tenang.

Banyak orang berpendapat duit adalah kuasa, kalau tidak ada duit kita tidak bahagia. Ada pula orang berpendapat, dalam hidup ini, duit bukan segala-galanya. Tetapi, hakikatnya dalam kehidupan sekarang, segala-galanya memerlukan duit. Sebenarnya hidup kita adalah interpretasi yang kita buat, terhadap peristiwa yang berlaku ke atas diri kita di dunia ini. Iaitu makna yang kita berikan dan gambarkan dalam minda, serta yang kita zahirkan melalui hati kita, atas setiap peristiwa kehidupan, sama ada yang baik atau yang buruk, bahagia atau derita.

Sebab itu ukuran kebahagiaan dan ketenangan untuk seseorang itu berbeza. Bagi orang yang miskin, mereka beranggapan mereka akan bahagia jika mereka kaya, mempunyai wang yang tidak terkira, dan tidak ternilai harta benda boleh beli apa yang mereka suka. Bagi mereka, wang adalah segala-galanya. Bagi orang yang sakit, mereka akan berasa bahagia jika mereka sihat. Apatah lagi jika orang yang sakit itu berduit, mereka akan berasa duit bukan segala-galanya, kerana duit tidak boleh membeli kebahagian dan ketenangannya yang telah hilang sejak ditimpa penyakit.

Orang yang bijak; pertama, dia akan memilih pemikiran, yang menguatkannya bukan yang melemahkannya. Kedua, dia sentiasa berusaha meningkatkan dirinya kepada kebaikan. Setiap kebaikan yang kita buat, sebenarnya kita sedang membuat kebaikan kepada orang lain dan dunia. Dengan kebaikan, kita akan memberi tenaga kepada orang lain, dan sebaliknya setiap kejahatan kita akan merosakkan orang lain.

Sesungguhnya, orang yang benar-benar tenang ialah orang yang memiliki fikiran yang baik, kesihatan yang baik, hubungan yang baik dengan manusia, keyakinan yang baik kepada agama dan kewangan yang baik. Yang penting bukan di mana kita berada secara fizikal, tetapi di mana kita berada dalam jiwa dan minda. Contohnya kita tidak perlu bilik yang cantik secara nilaian fizikal, tetapi macam mana kita atur atau bayangkan dalam minda kita kecantikan di dalam bilik itu, yang dapat kita zahirkan melalui emosi yang positif (tenang, bahagia, sihat dan mantap dari segi kewangan).

Kecerdasan emosi penting untuk kita mendapatkan sesuatu matlamat dan tujuan kehidupan. Orang yang cerewet sentiasa hendak membuktikan mereka sempurna dan positif, sedangkan pada hakikat sebenarnya tidak. Setiap kali kita katakan kita hendak “membuktikan” bermakna kita sedang sibuk mengharapkan penghargaan, sanjungan, dan pujian. Hal ini mendatangkan suasana yang negatif, kerana pasti mewujudkan suasana persaingan, bukan kerja sama, sebab masing-masing hendak tunjuk merekalah yang paling hebat. Suasana negatif tersebut akan menjadi halangan untuk kita mencapai kejayaan dan matlamat kehidupan. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”. - Dr. Muhaya Muhamad Utusan Malaysia Rencana 10 April 2016 6:03 PM

Tags: kejayaan, potential
Subscribe

Posts from This Journal “kejayaan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments