kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

'Abdullah datang lagi' imbas nostalgia pencinta bahasa Melayu

WANITA tua itu memang tidak menanti saya. Tetapi, sebaik sahaja matanya bertentang dengan saya, dia melambai dan kemudian memukul-mukul lututnya sambil melepaskan kata-kata ini dengan nada kuat - "Abdullah datang lagi! Abdullah datang lagi!"

Kami saling mengenali. Bagi saya, pertemuan itu bukanlah satu kejutan. Memang saya sengaja berkunjung lagi. Ternyata bukan sahaja saya seorang yang ingat, dia juga mengingati saya.




GAMBAR kenangan Pogadev bersama penduduk kampung.
Hati saya rasa amat terharu hingga tidak sedar saya memasuki rumah Othman Hassan di Kampung Tanjung Pahang Tua itu di mana selama belajar di Universiti Malaya pada tahun 1971 dan tinggal selama sebulan di situ untuk menyempurnakan proses menguasai bahasa Melayu.

Keluarganya menganggap saya sebagai anak angkat.

Bahkan, saya diberi nama Melayu, Abdullah. Ada sesuatu yang mendorong saya kembali ke asal usul masa muda.

Mungkin ia disebabkan untuk menikmati semula suasana kebebasan dan kebahagiaan yang saya pernah kecapi pada masa itu.

Saya rasa seakan-akan 'mandi' dalam kelembutan bahasa Melayu dan dengan ceria mendengar kata-kata bahasa itu yang menjadi bahasa kesayangan saya sendiri.

Memang tiada masalah bagi saya untuk berbual dengan penduduk kampung di negeri Pahang itu. Kefasihan berbahasa Melayu bukan kebetulan tetapi hasil pelajaran selama lima tahun di Universiti Moscow dan setahun di Universiti Malaya.




KETIKA menghadiri majlis perkahwinan penduduk kampung.
Pada waktu itu, saya menikmati kebebasan di kampung yang jauh dari tanah air saya.

"Dari belakang tirai besi ke dunia bebas mencari pengetahuan" - begitu judul sebuah artikel di akhbar setempat melukiskan rasa empat mahasiswa Russia yang pertama datang ke Malaysia.

Saya salah seorang daripada mereka. "Masih kenal (saya)?"

Suara wanita tua itu mengalihkan renungan kepada Sahar yang berusia 45 tahun. "Masih boleh kenal," kata saya sambil berdiri di sebelahnya dan cuba mengecam wajahnya sama ada berbeza dengan raut muka budak berumur tiga tahun yang mengekori saya setiap masa suatu ketika dahulu.

"Kamu ingat aku?" tanya saya pada Sahar sambil menjabat tangannya. "Tidak, saya hanya mendengar cerita ibu dan bapa (mengenai kamu).

Aku diberitahu bahawa abang pernah hadiahkan mainan kepada saya. Sekarang aku sendiri beri mainan kepada anak-anak."

KETIKA menghadiri majlis perkahwinan penduduk kampung. Kata-katanya menyebabkan saya teringat kepada sesuatu dan kembali menoleh kepada wanita tua yang juga suri rumah itu. "Ibu, saya bawa hadiah. Tolonglah terima," kata saya.

Saya habiskan masa selebihnya selepas itu di pantai Teluk Cempedak, Kuantan, dibawa oleh teman lama saya, Yaakub Isa.

Jarang sekali saya dapat baring di pantai di bawah terik panas matahari. Lebih tepat, ia hampir tidak pernah terjadi bagi teman saya itu juga.

Mungkin hanya pada masa cutinya dia ada masa untuk lepak. Memang saya beruntung kerana sempat melawat kampung yang jauh itu dikelilingi sawah sekali lagi.

Ketika kali pertama di situ, saya mengambil bahagian dalam kerja penterjemahan dan penerbitan buku puisi Malaysia dijemput masa itu oleh Gabungan Penulis-Penulis Nasional Malaysia (Gapena) menyertai Sayembara Deklamasi Sajak Hari Kemerdekaan.

Baca terjemahan sajak

Di sini juga saya membaca terjemahan sajak penyair Russia, Bella Akhmadulina. Saya kira terjemahan itu berhasil.

Sekurang-kurangnya hadirin mendengarnya dengan penuh minat.

POGADEV bersama keluarga angkat.
Tambahan lagi, sajak itu juga susah difahami orang Russia.

Padahal pendengar bukan sahaja perlu faham isi sajak, mesejnya tetapi merasai suasana hati penyair yang mengarangnya.

Bukankah itu disebut puisi semula jadi yang ada kehalusan dan berirama.

Banyak puisi Melayu termasuk sajak Kemala, Baha Zain, Abdul Aziz Deraman, Ahmad Razali, Rahimidin Zahari atau pun Taufiq Ismail dari Indonesia yang saya pernah terjemahkan ke dalam bahasa Russia.

Saya datang ke rantau ini bukan satu atau dua kali tetapi setiap kali berlaku perubahan di negara serantau.

Saya memang suka berada di sini, termasuk melakukan kerja sebagai penterjemah apabila menyertai lawatan beberapa delegasi rasmi Russia ke Pertubuhan Perpaduan Asia-Afrika, rombongan ke Malaysia atau delegasi parlimen di Indonesia.

Selama kerja itu saya berjumpa dengan tokoh terkenal seperti (Tun) Musa Hitam, Datuk Harun Idris, (Tan Sri Datin Paduka Seri Dr) Aishah Gani dan (Datuk Seri) Najib Razak yang ketika itu Menteri Belia dan Sukan.

Saya juga cuba bergiat dalam bidang sains. Pada 1976, saya mendapat PhD dalam sejarah Malaysia. Kemudian, pada tahun 1978 menerbitkan bersama dengan rakan-rakan saya Kamus Malaysia-Russia-Inggeris dan pada tahun 1986 - Kamus Bahasa Russia-Bahasa Malaysia sebagai ketua penyusun, dan beberapa Panduan Percakapan.

Pensyarah kanan Universiti Moscow

Sejak 1996, saya menjadi pensyarah kanan di Universiti Moscow. Pada 2000, saya terbabit dalam menjayakan penyusunan Ensiklopedia Saku Malaysia, pada 2001, DBP menerbitkan novel Leo Tolstoy Hadji Murat yang saya terjemahkan ke dalam bahasa Melayu.

Dr Anwar Ridhwan dalam pengantar kepada buku itu menulis, bahawa 'penguasaan bahasa Melayu Victor Pogadaev tidak diragukan lagi.

Beliau bukan sahaja telah menghasilkan sejumlah makalah tentang bahasa dan sastera Melayu, malah turut menyusun sebuah kamus bahasa Russia-Melayu.

"Oleh yang demikian, terjemahan Hadji Murat langsung daripada bahasa Russia menghasilkan suatu terjemahan yang lebih setia, menyeluruh dan tepat".

Tidak dilupakan bahawa saya juga aktif sebagai ahli badan pengurus Persatuan Nusantara (Moscow) dan pada tahun 1996-2000 pernah menjadi Naib Presidennya dan menjadi ahli Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu.

"MasyaAllah! Bagaimana segala-galanya boleh sempat dibuat!" Begitulah kata-kata seorang wartawan apabila mendengar mengenai aktiviti saya itu. "Kalau mahu, boleh," kata saya sambil angkat bahu.

"Sampai sekarang saya belajar bahasa." Benarkah? Ya, bahasa seperti organisma hidup yang sentiasa berkembang. Apabila saya membaca akhbar dan menemui kata atau ungkapan kata yang baharu maka saya mencatatnya dan menghafalnya.

Pada pendapat saya, kata wartawan itu, apabila seseorang boleh berfikir dalam bahasa asing maka bahasa itu baginya menjadi seperti bahasa ibunda.




POGADEV di majlis perkahwinan.
Ya, kadang-kadang saya boleh berfikir dalam bahasa asing. Sekurang-kurangnya apabila saya membuat rencana maka menulis terus dalam bahasa Melayu tanpa terjemahan.

Akan tetapi susah untuk menjelaskan prosesnya dalam fikiran. Pada masa sama, saya tidak berani menyebut bahasa yang saya pelajari sebagai bahasa ibunda.

"Saya tahu, Victor bekerja sekarang sebagai pensyarah bahasa Russia di Universiti Malaya (UM)," kata wartawan itu lagi. Memang betul. Apapun,

Malaysia sudah sejak lama menjadi rumah kedua saya. Hati saya juga berbelah dua. Pun begitu, saya gembira kerana dua anak saya mengikuti jejak ayah mereka - Anna tamat pelajaran sarjana di Akademi Pengajian Melayu UM selepas mengkaji karya Kemala, manakala Polina yang pernah belajar bahasa Indonesia berjaya memiliki PhD dalam bidang sejarah dan budaya Bali.

Saya teringat kepada laungan 'Abdullah datang lagi!'

Memang itu sangat simbolik. Bagaimana orang yang dilahirkan beribu-ribu batu jauh daripada satu sama lain boleh berjumpa dan terus menjadi satu keluarga.

Saya ada nama Melayu, ada ibu bapa angkat dan ramai sahabat di Malaysia serta memandang negara itu sebagai rumah yang kedua. Ada sesuatu yang menawan hati saya di sini, sesuatu yang kita semua perlu hargai dan menjunjung tinggi.

INFO

Kampung Pahang Tua di negeri Pahang terletak 191 kilometer dari ibu negara, Kuala Lumpur

Antara kampung berdekatan ialah Kampung Ceruk Paluh, Kampung Tanjung Selangor, Kampung Teluk, Kampung Ubai dan Kampung Tanjung Aceh

Mengikut cerita orang tua, pada zaman dahulu di Sungai Pahang iaitu di Kampung Pahang Tua, ada sebatang pokok kayu mahang yang besar. Dari pokok mahang itu kononnya berasal nama negeri Pahang Darul Makmur.
Tags: bahasa, sejarah
Subscribe

Posts from This Journal “bahasa” Tag

  • Bahasa

    Bahasa berfungsi sebagai pintu masuk ke dalam minda, kata ahli psikologi. Oleh itu, tidak menghairankan bahawa cara kita bercakap dapat…

  • Kuasai bahasa ibunda

    Celik atau kenal huruf ( literasi) ditakrifkan sebagai kemampuan membaca dan menulis dalam bahasa. (Kamus Dewan) Literasi sering dilihat sebagai…

  • DBP tidak ada kuasa, Pertahan bahasa kebangsaan, Bahasa Melayu semakin terpinggir

    Bahasa Melayu semakin terpinggir BAGI penduduk asal dalam kebanyakan tempat di Kuala Lumpur terutama di pinggir bandar, pasti mengetahui sejarah…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments