kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kerajaan mesti sekat penaklukan bahasa Inggeris

SEJAUH dan selama mana Malaysia dapat bertahan daripada serangan dan penaklukan bahasa Inggeris? Soalan ini perlu dikemukakan kerana semakin banyak tempat awam di negara kita menggunakan bahasa Inggeris.

Gejala ini mula menghakis makna sejarah serta citra tempatan. Di Kuala Lumpur umpamanya, banyak nama tempat yang asalnya berbunyi Melayu telah diInggeriskan.

Umpamanya nama Bukit Bintang diubah serta dikenali sebagai Star Hill. Kampung Kerinchi pula berubah nama kepada Bangsar South.

Di samping itu banyak kompleks komersial tidak menggunakan nama Melayu. Dahulu ada Kompleks Pertama.

Tetapi, selepas itu kompleks baharu telah menggunakan nama asing, seperti Sogo, Pavilion, The Quill, Bangsar Shopping Center, Bangsar Village dan sebagainya lagi.

Kawasan perumahan juga tidak terkecuali menggunakan nama Inggeris, seperti 'The Effingham' dan lain-lain.

Kita tahu bahawa pihak berkuasa tempatan peringkat negeri dan Persekutuan telah memberi kawasan kepada kalangan kapitalis ini untuk tujuan pembangunan.

Namun, tampaknya pihak dewan bandaraya atau pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mempunyai kuasa yang cukup berwewenang untuk menghalang penaklukan bahasa Inggeris itu.

Kejar keuntungan

Bagi golongan kapitalis yang mengejar keuntungan material, mereka mungkin tidak mempunyai nilai sentimental kepada bahasa dan budaya Melayu, kerana mereka tidak membesar dalam lingkungan budaya tempatan ini.

Orang Melayu pula malangnya masih sedikit yang menceburi bisnes pembangunan hartanah. Jika ada pun, sebilangan mereka mungkin terikut-ikut membenarkan bahasa Inggeris diangkat menjadi nama kompleks baharu yang mereka bangunkan.

Terdapat suatu perkembangan global di mana ciri dan citra tempatan di kebanyakan negara dunia ketiga khususnya, diambil alih oleh bahasa Inggeris. Lebih-lebih lagi negara yang pernah dijajah oleh Inggeris seperti Malaysia dan India.

Malah, di negara yang dahulunya tidak dijajah oleh Inggeris pun, fenomena ini juga sedang menular. Contohnya, di Vietnam (yang dahulu dijajah Perancis), serta di Indonesia (yang dahulu dijajah Belanda).

Kita masih belum terlewat untuk menyekat penaklukan bahasa Inggeris di tempat awam di negara kita. Usaha menyekat fenomena ini pertama-tamanya harus datang daripada pihak yang betul-betul mempunyai wewenang atau kuasa, iaitu kerajaan yang seharusnya mempunyai iltizam politik yang tinggi.

Di samping Putrajaya, pihak dewan bandaraya serta PBT, sewajarnya memberi contoh serta isyarat yang jelas dan tegas terhadap status, kedudukan dan masa depan bahasa Melayu dalam pelbagai aspek kehidupan - yang rasmi atau pun yang tidak rasmi.

Sehubungan itu Putrajaya, terutama wajar menyatakan pendirian terhadap isu bahasa kebangsaan bagi perkara berikut, agar memberi natijah bahawa Putrajaya mengambil langkah perlu bagi memartabatkan bahasa kebangsaan, serta menyekat penaklukan bahasa Inggeris di tempat awam.

Martabat bahasa Melayu di universiti

Perkara yang perlu terus dipantau ialah sejauh mana Bahasa Kebangsaan digunakan sepenuhnya dalam semua urusan rasmi kerajaan.

Rakyat juga berharap agar menteri kabinet dan pegawai awam menggunakan bahasa Melayu dalam setiap ucapan pada majlis rasmi.

Bagi memartabatkan bahasa Melayu di universiti awam, diharapkan penggunaan bahasa Melayu bagi pengajaran mata kuliah di universiti ditambah dan dipertingkatkan.

Bagi menyekat penaklukan bahasa Inggeris di tempat awam, umpamanya penamaan bangunan, jalan, dan kawasan baharu, perlu dilakukan pindaan dan perluasan peruntukan beberapa akta.

Ini termasuklah Akta Jalan, Parit dan Bangunan, Akta Pertubuhan, Akta Pendaftaran Perniagaan, Akta Syarikat, Akta Cap Dagang, Akta Industri Pelancongan, Akta Komunikasi dan Penyiaran dan Undang-Undang Kecil Pengiklanan.

Takrif negara maju bukanlah semestinya mempunyai wajah yang seiras dengan negara maju yang lain. Usaha untuk menjadi sebuah negara maju bagi Malaysia seharusnya melepaskan diri dari minda tawanan Barat dan kolonial lampau.

Kita harus bebaskan tempat awam di negara ini daripada ditakluki oleh kuasa bahasa Inggeris. Nama asal tempatan kita mempunyai nilai sejarah dan budaya yang tinggi, kerana unsur naratif, atau flora dan fauna yang unik.

Akhirnya ciri tempatan inilah yang membezakan kita sebagai negara maju bermaruah yang mempunyai citra budaya tersendiri.
Anwar Ridhwan Berita Harian Kolumnis 12 APRIL 2016 @ 8:09 AM
Tags: bahasa, english, melayu
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments