?

Log in

No account? Create an account

Previous Entry | Next Entry

CEPAT sekali kita mengambil langkah positif untuk mengatasi masalah ketidakcekapan berbahasa Inggeris di negara ini. Ia tindakan bestari kerana penguasaan baik bahasa antarabangsa itu memang diperlukan kini, apatah lagi apabila ia bahasa terpenting dalam era ini.

Sebab utama yang selalu dikaitkan dengan kemestian kecekapan ini ialah ekonomi, sama ada untuk tujuan peningkatannya pada peringkat perseorangan, keluarga atau negara.

Terbaharu dalam hal ini ialah rancangan Bahasa Inggeris 1Malaysia (BI1M) oleh kerajaan untuk membantu masyarakat umum, khususnya usahawan mempertingkat kemahiran berkomunikasi di dalam bahasa itu, agar lebih tangkas dalam ikhtiar dan daya pemasaran mereka.

Syabas diucapkan kerana kerajaan begitu prihatin terhadap masalah kebahasaan ini sehingga sanggup memberi kelas percuma pada sebilangan tempat di merata negara.

Alangkah baik dan bertuahnya jika bahasa Melayu juga menerima perhatian sedemikian daripada kerajaan kerana ia tidak banyak dipeduli masyarakat umum dari segenap sektor pekerjaan, sedangkan ia bahasa negara ini.

Walaupun sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi, bahasa Melayu sebenarnya tidak mendapat banyak perhatian, apatah lagi pembelaan setimbal daripada semua pihak, jika dibandingkan dengan tumpuan yang diberikan kepada bahasa Inggeris.

Bukan bahasa perlembagaan

Jaminan kedudukan mulianya di sisi perundangan negara, bukan sahaja sudah basi didengar, retorik itu juga tidak dapat menjadikan bahasa Melayu penting.

Bahasa Melayu bukan lagi bahasa perlambangan semata-mata dalam Perlembagaan Persekutuan dan beberapa akta lain, ia hendaklah bersifat fungsional, iaitu digunakan dalam segenap bidang kenegaraan, iaitu pendidikan, perdagangan dan lain-lain.

Tidak dapat dinafikan nilai ekonomi bahasa Melayu tidak setinggi yang dikecapi bahasa Inggeris. Sebagai bahasa negara, ia memiliki nilai budaya yang tinggi untuk menyalurkan unsur jati diri kepada rakyat dan negara ini.

Walaupun begitu utama peranannya, ia tidak banyak dipeduli masyarakat umum. Dalam peranannya sepenting ini, tiada usaha untuk mempertingkat kebolehan berbahasa Melayu dalam kalangan ramai yang tidak mahir dalam bentuk bakunya, khususnya dalam kalangan sektor bukan Melayu.

Sepatutnya ia digemblengkan bentuk Bahasa Melayu 1Malaysia (BM1M) agar mereka yang masih lemah dimahirkan untuk menggunakannya dalam bentuk yang baik dan betul, dan bukan lagi dalam bahasa pasar yang jelik.

Dengan ini, BM1M bukan sahaja akan meningkatkan kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Melayu, ia juga mengubah sikap kaum bukan Melayu agar lebih positif terhadap bahasa Melayu dan kaum Melayu sendiri, selepas mengenali kedua-duanya untuk dihapuskan buruk sangka, stereotaip dan etnosentrisme akibat resmi tak kenal maka tak cinta.

BM1M yang mungkin dikritik kuasa penjanaan dari segi ekonominya berbanding BI1M yang diadakan khas untuk tujuan itu, hendaklah lantas diadakan untuk natijah budaya, disebabkan kita bagaikan bukan satu negara dari segi penguasaan bahasa Melayu yang baik selaku bahasa negara selepas wujud sekian lama.

Dengan ini, BM1M hendaklah digemblengkan untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai asas perdana bukan sahaja melindungi jati diri budaya kita, tetapi melestarikannya atas pelbagai sebab.

Antaranya termasuk filsafat bahasa jiwa bangsa yang ikut mementingkan bahasa negara sebagai penanda unggul kerakyatan, selain bahasa itu adalah kehidupan, semangat dan kecendekiaan kita.

Sudah tiba masanya rakyat Malaysia memberi pertimbangan serius kepada natijah budaya dan bukannya ekonomi sahaja, dalam membangunkan negara untuk menjadikannya maju.

Apabila budaya berada pada landasan betul, yakni diberi perhatian sewajarnya, semua unsur di dalamnya bukan sahaja menjadi penting, ia juga menjadi teguh.

Sehubungan ini, bahasa Melayu yang menjadi wahana penting untuk berkomunikasi, menyampaikan gagasan, menyalur dan mengekalkan warisan, dan terpenting ialah ia identiti perdana kita sebagai rakyat Malaysia, pasti akan menjadikannya behena dan kental sekali.

Norma dan nilai dalam budaya juga akan membimbing rakyat untuk berkelakuan sesuai dengan keadaan supaya tepat pemikiran dan betul tingkah lakunya.

Dengan ini, bahasa Melayu pasti akan diberi penghormatan sejajar dengan kedudukannya sebagai bahasa negara, dan tidak lagi dikesampingkan semua pihak seperti yang berlaku sekarang.
Teo Kok Seong Berita Harian Kolumnis 14 APRIL 2016 @ 6:53 AM

Tags:

Recent Posts from This Journal

  • Sivik dan Moral sama penting

    Pelaksanaan Pendidikan Sivik di sekolah yang bermula sejak Jun lepas akan menumpukan kepada empat nilai teras iaitu kasih sayang, kegembiraan,…

  • ‘Tua’ hanya mainan minda dan percakapan

    ARTIKEL ’Persahabatan MRSM tetap kukuh’ (MRSM friendship stays strong) bertarikh 16 September lalu menarik minat saya untuk mencoret…

  • Are we old?

    When someone especially your colleagues who will always say ‘we are old, so we better be very careful and take very good care with our lives…

Latest Month

September 2019
S M T W T F S
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
2930     

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow